Tuesday, March 31, 2009

Azizul "The Pocket Rocket Man"...

Assalamualaikum w.b.t..


Selepas nama Malaysia diharumkan melalui Datuk Nicol Ann David dalam sukan skuasy, Shalin Zulkifli dalam sukan bowling, Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, kini dalam usianya baru 21 tahun, Mohd.Azizul Hasni Awang pula menggegarkan dunia, memberi isyarat bahawa Malaysia bakal melahirkan jaguh pecut trek basikal dunia..

Legenda basikal trek Perancis, Arnaud Tournant sendiri misalnya mengagumi skil yang dimiliki Azizulhasni sehingga menyifatkan sebagai pelumba paling berbakat ketika ini.

"Dia cukup pantas, taktikal dan juga cukup berbakat walaupun bertubuh kecil. Dan kerana badannya yang kecil itulah, dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa yang kita tidak terfikir," kata bekas pelumba yang masih memegang rekod dunia 1 kilometer ujian masa itu kepada AFP.

Kehebatan Azizul cukup diiktiraf sehingga mereka menggelar Azizul sebagai "The Pocket Rocket Man", satu gelaran yang membawa makna yang cukup besar kepada anak Melayu dari Malaysia ini. Semangat Azizul membara bersama keazamannya untuk membela nasib keluarga..

Sekalung tahniah kepada Azizul dan selamat maju jaya, semoga terus berjaya mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia..doa rakyat Malaysia sentiasa bersama anda..

p/s : Majulah sukan untuk negara..

Monday, March 30, 2009

Pertempuran sudah bermula di Bukit Gantang..

Assalamualaikum w.b.t..

Sihat adik comel ni, wajah bakal pemimpin masa depan..

Salah satu gambar paling menarik, menggerunkan pihak lawan..

Puluhan ribu pendokong Pakatan Rakyat

Dengan keizinan Allah s.w.t, pihak yang benar akan menang dalam perhitungan ini dan pihak yang salah akan di'benam'kan oleh rakyat ke dalam tanah di Bukit Gantang.. InsyaAllah...

Selamat berkempen, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional..

Kepada pengundi-pengundi di Parlimen Bukit Gantang, gunakan kuasa anda untuk menghantar Dato'Seri Ir.Mohammad Nizar Jamaluddin ke Dewan Rakyat..


p/s : Beramal kerana Allah..

Saturday, March 28, 2009

MPMUM kembali relevan di mata mahasiswa..

Assalamualaikum w.b.t..

Merakamkan ucapan tahniah kepada kabinet dan pimpinan MPMUM sesi ini yang berjaya mewujudkan sebuah laman sesawang (http://www.mpmum.org/) sebagai medium terbaru menyampaikan dan menyalurkan maklumat kepada warga UM..

Setelah berjaya menganjurkan roadshow dan dialog sebaik berakhir PRK tempoh hari, peranan MPMUM kembali relevan di mata mahasiswa UM, setelah kelesuan dan zaman 'kegelapan' MPMUM sesi sebelum ini.. Sesi 06/07 menyaksikan badan pelajar UM ini diterajui Afandy Sutrisno Tanjung, dan beliau menjadi YDP nya buat kali kedua pada sesi 07/08 sebelum pemerintahannya tumbang kepada Pro-M yang kini diterajui Sdr.Mohd.Ridzuan Mohamad..

Sedikit komen kepada 2 wakil MPMUM yang menang di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, papan kenyataan aktiviti MPMUM bersebelahan Dewan Kuliah E, masih memaparkan gambar wakil MPMUM sesi sebelumnya.. Harap dapat lakukan sesuatu, anda sudah diangkat sebagai wakil pelajar di FSSS, jalankanlah tanggungjawab sebaiknya..


p/s : Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga..

Belajar hingga luar negara, tapi masih berfikiran cetek..

Assalamualaikum w.b.t..

Dari Malaysiakini.Com

Seorang perwakilan kelab Umno luar negara petang ini menggesa persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir diharamkan dengan dakwaan ia menyebarkan ideologi pembangkang. Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan juga menggesa biasiswa pemimpin Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik.

"PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya. "Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut. "Malah, kami sendiri tidak mendapat tempat apabila asrama dikuasai pembangkang," katanya, yang sedang menuntut sebuah universiti di Southampton, Britain.

Terasa malu melihat kelakuan anak Melayu ini.. Belajar sehingga ke luar negara tetapi masih berfikiran dangkal dan cetek.. Mengapa cepat melatah sehingga beliau begitu bersungguh-sungguh mahu PMRAM diharamkan... Tahukah beliau apakah PMRAM itu..

Jika benar PMRAM menyebarkan ideologi pembangkang, apa bezanya dengan Kelab UMNO Luar Negara itu, juga menyebarkan ideologi berteraskan kepartian, malah jelas-jelas lagi menggunakan lambang UMNO pada logo dan nama kelabnya sendiri..

Jika Wan Hazlin mahu PMRAM diharamkan, tindakan yang sama harus diambil kepada seluruh Kelab UMNO Luar Negara yang ada ketika ini..

Jika inilah wajah pemimpin muda yang UMNO hendak wariskan kepada bumi tercinta ini, aku tidak rela menerimanya..aku tak rela...

p/s : Mengata dulang paku yang serpih, mengata PMRAM, sebenarnya Kelab UMNO Luar Negara yang lebih-lebih..

Pertandingan Akhir Dikir Barat Festival Seni UM 2009..

Assalamualaikum w.b.t..


Pertandingan Akhir Dikir Barat Festival Seni UM 2009

Johan
Kolej Kediaman Kesembilan (KK9)

Kedua
Kolej Kediaman Pertama (KK1)

Ketiga
Kolej Kediaman Kesepuluh (KK10)

Tok Jogho Terbaik
Kolej Kediaman Kesembilan (KK9)

Tukang Karut Terbaik
Kolej Kediaman Pertama (KK1)

Muzik Terbaik
Kolej Kediaman Keempat (KK4)


p/s : Kalah menang adat pertandingan..

Monday, March 23, 2009

Apabila pemimpin Cina berbangga dengan pemerintahan Islam..


Surah Muhammad ayat 37 yang bermaksud:

"Nah! kamulah orang-orang yang diajak membelanjakan harta pada jalan Allah, tetapi ada antara kamu orang-orang yang bakhil, sedangkan barangsiapa yang bakhil, maka tidaklah ia bakhil melainkan terhadap dirinya sendiri, dan Allah itu kaya (tidak perlu kepada kamu), tetapi kamulah yang miskin (memerlukan kepadanya) dan jika kamu berpaling (dari agama Allah) akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu".

Seorang pemimpin berbangsa Cina yang bukan Muslim berucap dalam Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz "Islam dan Kenegaraan" di Pulau Pinang, dan ungkapan berikut diselitkan dalam ucapannya :

1. "Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat.

2. "Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakkan seluruh masyarakat dan negara,"

3."Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan.

4. "Dengan tenang Khalifah memberi jawapan 'Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaikan dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, "


p/s : Mendoakan Allah memberi hidayah dan membuka hati beliau untuk memeluk Islam..

Sunday, March 22, 2009

Festival Seni Universiti Malaya 2009

Assalamualaikum w.b.t..

'klik' gambar di atas untuk imej lebih besar

Bermula sejak 16 Mac lalu, Festival Seni Universiti Malaya (FESENI 09) sedang berlangsung dan akan berakhir pada 3 April depan. Berbagai-bagai pertandingan diadakan termasuklah nyanyian lagu asli Melayu, nasyid, pertandingan kompang, dikir barat, dan banyak lagi..

Dan pada 27 Mac 2009 (Jumaat) depan, penulis akan mengambil bahagian dalam pertandingan dikir barat pada sebelah malamnya mewakili Kumpulan Dikir Barat Seri Sepuluh (Kolej Kediaman Kesepuluh UM). Harapnya kami akan bergelar juara pada malam berkenaan, InsyaALLAH..

Jadi kepada semua, jemputlah datang tengok penulis beraksi sebagai 'Tok Jogho' pada malam itu..jemput ramai2 penuhkan DTC ye..datang jangan tak datang ye..


p/s : FESENI terakhir bagiku sepanjang bergelar student UM..

Friday, March 20, 2009

Teruskan berjuang Datuk..

Assalamualaikum w.b.t...


Selepas berjaya menundukkan Lin Dan di Terbuka Switzerland, Ahad lalu, Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton no.1 dunia akan menghadapi tentangan seorang lagi pemain handalan dunia dari Indonesia, Taufik Hidayat pada minggu depan dalam Terbuka India di Hyderabad.

Sekalung tahniah pada Datuk atas kejayaan di Terbuka Swiss dan selamat berjuang di Terbuka India.. Malaysia Boleh..

Taufik Hidayat


p/s : Siapakah pengganti Chong Wei selepas ini..??

Thursday, March 19, 2009

Bagaimana masa depan Malaysia..??

Assalamualaikum w.b.t..

“ ...Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ` baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku...”.

- Prof.Dr.Yusof Qardhawi
Sarjana dan Pemikir Islam Terkemuka


p/s : Sama-sama muhasabah diri...

Najib perlu bersihkan imej sebelum jadi PM..

Assalamualaikum w.b.t..

Merujuk kepada kenyataan Datuk Zaid Ibrahim dalam laporan Malaysiakini pada semalam yang menggesa Yang Dipertuan Agong agar jangan memperkenankan pelantikan Dato'Sri Mohd.Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri akan datang.
Baca teks penuh ucapan Dato'Zaid di SINI

Penulis sebagai seorang warganegara Malaysia berasa begitu khuatir dengan situasi ketika ini di mana belum pernah dalam sejarah Malaysia, tanah air tercinta kita ini menghadapi pemilihan @ perlantikan PM yang begitu genting sekali. Atas dasar persetujuan dua pemimpin, jawatan Perdana Menteri yang sangat besar tanggungjawabnya itu akan bertukar tangan pada hujung bulan ini..

Namun imej calonnya, Dato'Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak telah tercemar bukan sahaja pada pandangan mata rakyat negara ini, malah sehingga ke merata dunia. Sebagai rakyat negara ini yang mempunyai hak kebebasan suara, penulis menyeru kepada Dato'Sri agar terlebih dahulu membersihkan imejnya yang tercemar teruk sebelum layak menduduki kerusi Perdana Menteri.

Penulis ingin bertanya kepada semua, jika sebuah akhbar di Perancis, Liberation berani menyiarkan kononnya bakal PM Malaysia terlibat dalam kes pembunuhan, apakah perasaan kalian semua?? Tidakkah implikasi yang besar akan timbul dari masyarakat antarabangsa..?? Bagaimana kerajaan Malaysia nanti mahu menghadapinya..?? Sudah tentu Malaysia yang terkenal dengan imej bersih selama ini akan dipandang serong oleh dunia..

Kerana itu, Dato'Sri Mohd.Najib Tun Razak harus mengadakan penjelasan secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia bagi membetulkan keadaan yang penulis lihat semakin hari semakin parah. Sepertimana kata Dato'Zaid Ibrahim apabila ditanya sebab beliau menggesa Agong tidak perkenan Najib sebagai PM, ini jawapan beliau,.".Saya keberatan untuk menyatakannya tetapi untuk sebab-sebab yang telah saya katakan, saya terpaksa menyebut bahawa Najib pasti akan memecahbelahkan kita dan dalam berbuat demikian, akan menolak kita semakin hampir ke tepian..."

Memang benar masa depan negara ini harus dicorak oleh generasi akan datang, namun generasi pemimpin pada hari ini juga harus sedar bahawa kekuasaan yang mereka ada harus juga disertai dengan sahsiah dan keperibadian yang mulia, bersih dan terpuji akhlaknya..


p/s : Sokong Pak Lah pegang jawatan PM hingga PRU 13..HidupLAH..

Tuesday, March 17, 2009

Cuba anda lakukan ini..

Assalamualaikum..

Penulis mendapat satu mesej dari seorang kawan, begini bunyinya :

Saya juz nk kongsi Tulisan Dlm Microsoft Word ..SubhanAllah..!! Cuba buat n tgk...

1. Bukak Microsoft Word korang.
2. Taipkan dalam huruf besar, Q33 NY .. Q33 NY ni adalah number pesawat yang melanggar WTC tu..
3. Tukar saiz font tu kepada saiz fon 48.
4. Korang highlightkan Q33 NY tu kemudian tukar kepada font WINGDINGS. Apa yang korang nampak?

ALLAHU AKBAR.. sesungguhnye benda ni dah lama wujud tanpa sesiapa yang menjangkakannye ... Kelihatan gambar sebuah kapal terbang melanggar WTC (menara berkembar tu) .. kemudian ade lambang tengkorak dan lambang yahudi dah cube dan mmg betul SUBHANALLAH.... Cubalah...

Penulis dah cube, memang ada seperti yang dikatakan..


p/s : Tafsirlah sendiri, segala yang berlaku adalah ketentuan ALLAH..

Hancur berkecai harapan Pak Ali...


Ali Rustam dilarang tanding No 2 Umno
Abdul Rahim Sabri Mar 17, 09 4:22pm

Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno hujung bulan ini selepas didapati melanggar peraturan pemilihan Umno. Dngan itu, pertandingan bagi jawatan tersebut kini menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Baca lagi di SINI

Maka tinggallah Pak Din dan Pak Mat akan bertarung satu lawan satu. Pak Din orang Johor akan menentang Pak Mat orang Selangor.. dulu ada Pak Ali Melaka, tapi Pak Ali pulak dikatakan 'main kotor'. Terpaksa la ikut peraturan yang sudah termaktub..

Yang pelik sikit,
Abang Khai Rembau pun didapati 'main kotor' jugak, tapi kena amaran saja, awat tak kena tindakan macam Pak Ali Melaka..?? Oooh, mungkin Pak Ali dah tua kot..abang Khai Rembau ni muda lagi..bagi peluang la.. Takpa lah.. Pak Jib Pekan pula berharap Pak Ali dapat terima dengan hati terbuka. Pak Jib kata Pak Ali seorang pemimpin yang setia dan harap Pak Ali akan terus bagi sumbangan pada masa akan datang..

Pak Jib pun bagus juga.. Pak Jib pun tak lama lagi akan naik jadi PM ganti Pak Lah.. Khabarnya pada 29 Mac depan, insya Allah..


p/s : Apa jadi kalau Pak Lah tak jadi serah jawatan pada Pak Jib, haha.. kita tengok sapa yang tepuk tangan.

Satu ketika dahulu...


Pada dekad 90-an, gandingan Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad dilihat sebagai dua tokoh besar dari Asia yang mampu mencerna dan memaju pembangunan ekonomi Malaysia dengan begitu berkesan. Kedua-dua mempunyai episod hidup dan perjuangan yang gilang-gemilang malah nama dan ketokohan mereka tersohor ke merata dunia..

Dekad ini, Anwar Ibrahim kembali berpencak di halaman politik setelah muncul kembali dalam 'political comeback' yang hebat. Setelah dihumban di sebalik tirai besi, selama 6 tahun bergelar banduan penjara, kini membawa harapan besar hampir separuh rakyat Malaysia, merintis jalan ke arah Malaysia baru..

Mahathir Mohamad pula selepas 22 tahun menghuni Seri Perdana, masih dengan sifat semulajadinya yang tegas pendirian dan suka merendah diri. Namun pandangannya masih kritikal dan diperlukan banyak pihak terutamanya dalam isu-isu besar negara..

Selamat maju jaya kepada dua tokoh besar Malaysia ini..

Cuma penulis menunggu masa bila agaknya Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad dapat makan tengahari bersama-sama dalam satu dulang..pasti jadi tajuk besar di akhbar utama..hehe..


p/s : Mungkin Tok Guru Nik Aziz boleh jadi orang tengah kot..??

Saturday, March 14, 2009

Ya Allah.. bahagiakanlah kedua ibu bapaku..

Assalamualaikum..

Kadang-kadang bila keseorangan, terkenang pada wajah kedua orang tua di kampung..sesekali terbit air mata memikirkan susah payah mereka membesarkan aku sejak kecil tanpa penat dan lelah..

Ayah berulang alik menoreh getah setiap hari dari Jengka 16 ke Kg.Awah, lebih kurang 20 kilometer jaraknya. Dengan motor Yamaha 110 itulah, ayah mengambil risiko setiap hari melalui jalan raya yang dikongsi dengan lori balak, bas dan kadang kala dengan pemandu 'gila' yang gemar memecut laju sesuka hati kenderaan mereka..Tak sanggup aku membayangkan sesuatu yang buruk terjadi pada ayahku.. Ayah, bang cik sayang ayah..

Mak pula keseorangan di rumah, membasuh baju, memasak, menyapu sampah dan kerja rumah lainnya. Lebih 30 tahun mak berbakti, mencurahkan kasih sayang, melakukan sedaya mampu untuk anak-anak.. adikku pula kini di politeknik Kuantan, anak sedaraku kini di Tingkatan Satu..setiap pagi di hari-hari biasa, tinggal ibu keseorangan di rumah melakukan pelbagai kerja.. Kadang kala, ada juga jiran bertandang, Mak Cik Yam, Mak Ngah Rahmah.. Kesian mak sorang-sorang kat rumah.. Bang cik sayang mak..

Minggu lepas aku pulang ke kampung, heboh diperkatakan kes pecah rumah sedang menggila di Jengka 16. Rumah Mak Cik Sarah depan rumahku telah dipecah masuk, dipercayai angkara pendatang asing yang dah tak dak keje (ekonomi gawat pak..). Tercetus kebimbangan di hati..sebelum pulang ke KL, berkali-kali ku pesan pada mak, jangan lupa kunci pintu rumah walaupun hari siang..

Ya Allah Ya Tuhanku..Selamatkan kehidupan kedua ibu bapaku di dunia dan di akhirat..ampunilah dosa keduanya..rahmatilah mereka Ya Allah.. Peliharalah mereka agar sentiasa dalam redho Mu..peliharalah diriku agar tidak sekali-kali menyinggung perasaan dan hati mereka..

Ambillah pengajaran dari kisah anak durhaka di SINI dan di SINI

Ni lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad :

Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapatlah melihat bulan dan
Matahari

Ahai...


Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...

Ayah dan ibu lah

Mesti dihormati


Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat

Pada mereka kita beri hormat

Ahai...


Bagilah tunjuk ajar dan nasihat

Supaya hidup
supaya hidup kita akan selamat



p/s : Berbaktilah kepada ibu dan ayah kita sementara mereka masih hidup

Thursday, March 12, 2009

SPM 20 A : Tahniah Nik Nur Madihah.!!!

Assalamualaikum w.b.t..


Ketika ini posting ini ditulis, entah berapa lagi blog mengutus ucapan tahniah kepada anak Kelantan ini, mungkin mencapai ratusan, mungkin ribuan. Nik Nur Madihah Nik Mohd.Kamal, pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan memperoleh keputusan 20 A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan hari ini. Untuk itu, penulis ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nik Nur Madihah, semoga terus berjaya di masa akan datang dan terus mengangkat martabat Islam. Link di SINI

Sesungguhnya pencapaian menakjubkan ini harus disyukuri oleh seluruh umat Islam kerana bukan calang-calang orang dapat menguasai sebegitu banyak subjek. Mengimbas prestasi penulis ketika SPM 2003 (hehe, malunye), penulis hanya mampu meraih 2 A sahaja, itu pun dalam Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam, yang lain hanya "A dengung" saja. Namun penulis masih mampu lulus dalam 'killer subjek' - Fizik (7), Kimia(6), Biologi (8) dan Matematik Tambahan (7).


Terima kasih tidak terhingga kepada cikgu-cikgu penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu, Pn.Azmah Ramli (Bahasa Inggeris), Pn.Hjh.Siti Ros Hj.Ismail (Bahasa Melayu), Cikgu Marzuki Yusoff (Fizik), Cikgu Norhayaniwati Abd.Razak (Kimia), Cikgu Hajjah Noraini Abd.Manaf (Biologi), Cikgu Hajjah Siti Rahmah Hussien (Matematik Tambahan), Cikgu Saupi Mat Jusoh (Sejarah), Tn.Haji Zulkifli Hussin (Matematik Moden), Usth.Hjh.Saimah Hashmawi (Pendidikan Islam).

Penulis belum mendapat maklumat mengenai keputusan STPM dan SPM di sekolah lama penulis itu. Namun, penulis ucapkan tahniah kepada semuanya, terutamanya pelajar-pelajar di SMK Jengka Pusat, sekolah yang dah lama penulis tak jejak kaki, semoga bertambah berjaya di masa depan, insyaALLAH..

Apapun, tahniah sekali lagi kepada Nik Nur Madihah atas kejayaannya merangkul gelaran Pelajar Terbaik SPM 2008 Peringkat Kebangsaan yang mengharumkan nama ibubapanya, sekolahnya, kampung halamannya, negerinya dan tentu sekali mengharumkan nama ISLAM...

p/s : (A dengung - istilah yang digunapakai budak2 SMKJP kalo dapat gred selain dari A1 atau A2)

Wednesday, March 11, 2009

Sembah Tahniah Tuanku..


BANGKOK 11 Mac — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Sains Politik oleh Prince of Songkhla University.

Anugerah itu disampaikan oleh presiden universiti berkenaan, Boonsom Siribumrungsukha, dalam satu istiadat di Hotel Mandarin Oriental Bangkok dengan disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah dalam rangka lawatan negara selama empat hari ke Thailand bermula Isnin lepas.

Perdana Menteri pertama almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menerima Ijazah Doktor Kehormat Pentadbiran Awam daripada universiti itu pada 1977.


Baca lagi di SINI

Pertemuan yang tak disangka


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Hulu Langat, Selangor.. Laporan penuh di SINI

p/s : Mengharap yang terbaik untuk negaraku..

Sunday, March 8, 2009

"..Rupanya begini cara menyelamatkan bahasa.."

Assalamualaikum w.b.t..


Sekalung tahniah kepada hampir 20,000 pejuang bahasa Melayu yang berjaya "memutihkan" sekitar kawasan Masjid Negara petang semalam.

Memetik berita Malaysiakini..

Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan. "Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.

Tambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).

Pak Samad tidak keseorangan. Berpuluh-puluh lagi Profesor Melayu turut membantah PPSMI, seperti yang terdapat di SINI.

Penulis berasa agak sedih kerana tidak berkesempatan mengikuti sepenuhnya himpunan semalam. Lantaran pensyarah penulis mengadakan kuliah ganti tengahari semalam, penulis tiba lewat Masjid Negara, kira-kira jam 4.00 petang, hanya sempat mendengar kisah tindakan ganas FRU menembak gas pemedih mata ke dalam masjid melalui seorang ustaz yang sedang berehat di belakang bangunan Stesen KTM Kuala Lumpur.

Apapun tahniah sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia, dan pejuang bahasa Melayu No.1 di Malaysia, Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang semalam turut merasai kepedihan gas pemedih mata angkara tindakan ganas FRU, itulah sebenarnya harga yang perlu dibayar oleh mereka yang ingin melihat Bahasa Melayu kembali didaulatkan di tanah air sendiri..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...