Friday, July 10, 2009

Adakah DS Nizar Jamaluddin akan kembali bergelar MB Perak.??

Salam..


Nampaknya, isu politik Perak ini kembali hangat apabila Mahkamah Persekutuan semalam telah memberi kebenaran kepada DS Nizar mengemukakan permohonan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2009 yang mengisytiharkan DS Zambry Kadir sebagai MB Perak yang sah. Ini bermakna, peluang DS Nizar untuk kembali bergelar MB Perak bakal terjawab apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kelak.

Segala macam kekusutan, kekalutan dan kecacamerbaan politik yang terjadi di Perak sejak awal tahun lalu, tidak dapat tidak perlu diakui semua pihak, bahwa ianya bermula daripada usaha-usaha terancang dari DS Mohd.Najib Razak dan konco-konconya termasuk 3 ADUN ‘lompat’ itu. Natijahnya, Perak sudah dikenali di seluruh dunia, kerana kekalutan krisis politiknya yang kini menjadi kajian akademik para sarjana dan kadang kala juga menjadi bahan ketawa rakyatnya sendiri.

Menatap laporan dalam Harakah Bil.1454, m/s N12, ruangan Primafacie tulisan peguam terkenal, Haji Mohamed Hanipa Maidin bertajuk Isu Perak Akan Kembali Panas, terlihat seakan satu cahaya menembusi kabus-kabus kekalutan politik itu. Pertamanya, apabila semalam, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada DS Nizar mengemukakan permohonan rayuan ke atas keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei 2009. Bermakna DS Nizar telah mara setapak lagi dalm perjuangan menuntut hak yang direnggut, meninggalkan DS Zambry yang sudah pasti panas punggung..

Malam semalam pula, bersaksikan jutaan rakyat Malaysia yang menonton warta berita, ratusan wartawan dalam dan luar negara mengerumuni DS Nizar yang baru keluar dari kamar mahkamah. Hal ini sebenarnya menjadi satu petanda yang positif bahawa bekas MB Perak itu pasti menang dalam kes ini. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran sebegitu ramai wartawan, kita yang menonton ini berasa beliau masih mendapat perhatian media sekaligus membenarkan kenyataan bahawa beliau bukanlah seseorang yang sukakan publisiti murahan seperti menoreh getah di ceruk kampong yang dilakukan oleh puak hipokrasi.

Keduanya, tafsiran Perlembagaan Negeri Perak yang diberikan Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 lalu, diakui benar dan sahih oleh seorang Pakar Perlembagaan iaitu Profesor Dr.Andrew Harding. Beliau merupakan professor Undang-undang di Universiti Victoria, Kanada. Dalam artikelnya iaitu ”Crisis of Confidence and Perak’s Constitional Impasse”, Harding telah menegaskan bahawa hilangnya kepercayaan ADUN-ADUN terhadap seseorang Ketua Eksekutif (Menteri Besar) perlulah dipertanggungjawabkan kepada DUN, iaitu dengan undi tidak percaya, seperti mana termaktub dalam Fasal 16 (6) UTKP itu. Tafsiran Mahkamah Tinggi pada 11 Mei itu juga disokong Profesor Kevin YL Tan, seorang pakar perlembagaan dan professor di National University of Singapore.

Ketiganya pula, keputusan Mahkamah Persekutuan kelak juga akan memberi kesan pelbagai kepada landskap politik negara amnya dan politik Perak tentunya. Keadaan ini nanti dapat diukur dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang, paling lewat ketika pilihanraya umum ke-13 nanti. Gerombolan DS Najib pasti gelisah dengan situasi kini. Semuanya serba salah. Menang susah, kalah lagi parah.

Jika DS Nizar menang, DUN Perak hampir pasti dibubarkan. Dengan mood pengundi yang masih setia berdiri di belakang DS Nizar, ini akan menyebabkan Pakatan Rakyat akan menawan Perak dengan majoriti lebih besar lagi, mungkin 10 kawasan DUN yang kini masih dikuasai BN akan menjadi milik Pakatan Rakyat (mungkin lebih) jika pilihanraya semula diadakan. DS Zambry dan barisan Exconya pula akan berpindah tempat duduk dalam DUN sekali lagi, kunci kereta rasmi dipulangkan, dan DS Zambry kena angkut ‘tilam bantal’ keluar dari kediaman MB Perak (jika beliau tinggal di situ).

Jika DS Nizar kalah lagi, DS Najib pula akan susah hati kerana walaupun kes ini selesai nanti, ia akan mencetuskan perdebatan panjang yang tak berkesudahan. Jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan DS Nizar itu nanti, sekaligus mengiyakan dan membenarkan keputusan Mahkamah Rayuan, hal ini bermakna mahkamah telah memberi kuasa secara tidak langsung kepada Sultan (atau YDP Agong dalam konteks kerajaan pusat ) untuk memecat MB @ PM tanpa ada usul undi tidak percaya di DUN @ Dewan Rakyat. Nescaya akan timbul perdebatan panjang yang tak kesudahan kerana pasti ada pihak terutamanya pengamal perundangan akan mempersoal di manakah letaknya kewajaran Fasal 16 (6) UTKP itu digunapakai, jika benar keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu adalah betul.

Hal ini juga bermakna jika keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah benar, DS Anwar Ibrahim boleh mendapatkan kira-kira 29 orang ahli Parlimen BN bersama-sama 81 ahli Parlimen PR mengadap Seri Paduka YDP Agong di Istana Negara (112 orang). YDP Agong pula boleh mengisytihar bahawa DS Najib telah hilang keyakinan majoriti ahli dewan dan dengan itu, jawatan Perdana Menteri yang disandang DS Najib terlucut dengan sendirinya. Inilah keadaan sama yang berlaku di negeri Perak. Adakah DS Najib sanggup mengambil risiko ini.. Sudah tentu tidak.. Mahu tidak mahu, DS Nizar perlu dimenangkan di mahkamah terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya, langkah ini dapat sedikit sebanyak membantu meraih kembali sokongan terhadap parti yang kononnya ‘keramat’ itu..

Jika fakta-fakta dikemukakan dan diadili sebenar-benarnya ditambah dengan kejujuran para hakim, doa berterusan dari rakyat jelata dan bantuan daripada Allah s.w.t, insya Allah, DS Nizar akan kembali bergelar YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan..


p/s : Menang Nizar, Najib susah, Kalah Nizar, Najib lagi parah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...