Tuesday, March 15, 2011

3 Tahun Berlalu : Menagih Janji-janji Yang Berhormat di Jengka...

Salam, selamat bertemu kembali..

Hujan yang turun lebat mencurah-curah di kawasan Jengka dan kawasan sekitar sejak 2,3 minggu yang lalu telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di perkampungan Felda dinaiki air. Kuasa Allah yang merancangkan turunnya air dari langit itu mengimbau kenangan masyarakat Jengka pabila dilanda banjir besar pada bulan Disember 2007..

Pada 8 Mac 2011 yang lalu pula, hujan lebat semalaman telah menyebabkan hampir sebahagian perumahan dan kedai-kedai kawasan pekan Matau di Bandar Jengka ditenggelami air. Begitu juga di kawasan-kawasan perumahan Felda yang mana rumah peneroka berada di kawasan rendah, terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Tidak hanya itu, hujan lebat juga menyebabkan jalan-jalan sekitar Jengka semakin berlubang-lubang dan lopak kecil yang sedia ada menjadi semakin melebar..Bagi warga luar Jengka yang memandu melalui ke kawasan Jengka pada masa kini, pasti akan terkesan dengan keadaan ini. Berdasarkan pengalaman penulis, kondisi jalan-jalan sekitar Jengka semakin buruk. 

Antara jalan utama yang penulis kategorikan paling buruk ialah dari simpang Kampung Awah (Temerloh-Maran) hinggalah ke simpang Jengka 8 (Tekam-Jerantut). Perlulah diketahui bahawa jalan ini merupakan laluan penting yang menghubungkan Bandar Jengka dengan Jerantut. Penduduk atau orang luar yang mempunyai urusan di Pejabat FELDA Wilayah Jengka serta pelancong-pelancong yang ingin ke Gua Kota Gelanggi juga pasti menggunakan jalan ini.

Satu lagi ialah jalan utama dari simpang Bandar Jengka menghala ke Jengka 13 sehingga simpang Kilang Getah Jengka 21 dan membawak ke simpang Jengka 24 serta kawasan DUN Kerdau iaitu Jengka 25, Rumpun Makmur dan terus ke Jambatan SHAS menghala ke pekan Kuala Krau. Dengan keadaan jalan yang sempit, berkongsi pula dengan lori-lori sawit, lori-lori tangki, lori-lori balak, bas sekolah, pejalan kaki dan penunggang motorsikal, keselamatan pengguna seringkali seperti telur di hujung tanduk pabila menempuh jalan utama yang beralun, lopak besar di kiri kanan jalan dan pelbagai masalah lagi.


Seperti mana yang penulis katakan tadi, keadaan cuaca hujan lebat menambahkan lagi 'pakej' yang sudah sedia ada pada kondisi buruk jalan-jalan terbabit.. ok, apa yang pihak berwajib buat?? Setakat pengetahuan dan pemerhatian mata kasar, jalan-jalan yang disebut di atas, jika ada lopak besar, pihak berkuasa akan MENAMPAL tar di kawasan yang berlopak.. Itupun jika ada kemalangan yang berlaku, contoh terbaru, malam semalam (13 Mac), berbelas-belas kenderaan mengalami masalah tayar pancit akibat lopak besar di jalan utama antara Jengka 15 dan Jengka 16. 

Pagi tadi (14 Mac), lopak besar berkenaan DITAMPAL dengan tar yang baru.. Di tempat lain?? Sekadar memberi contoh kerosakan j/raya yang serius.. 

Simpang pekan Awah (dah teruk sangat, habis bergegar kereta), 
Jalan utama antara Felda Kg.Awah dan Sg.Nerek (lopak besar, jalan beralun)
Jalan utama antara Jengka 19 dan Jengka 18 (lopak kiri kanan jalan)
Jalan utama antara Jengka 20 dan Jengka 16 (lopak kiri kanan jalan, kondisi jalan teruk)
Jalan utama antara Jengka 16 dan Jengka 15 (lopak kiri kanan jalan)
Jalan utama antara Jengka 14 dan simpang ke kilang ALPS (lopak di kiri jalan) baca di SINI
Jalan utama antara simpang kilang ALPS ke Petronas (kondisi jalan teruk)
Jalan utama sepanjang Jengka 13 ke simpang Kilang Getah Jengka 21 (lopak kiri kanan jalan) 


Pada hemat penulis, keadaan j.raya sekitar Jengka tidak boleh diperbaiki dengan cara TAMPAL pada lopak sahaja, sebaliknya ia perlu DITURAP sepenuhnya, dari simpang Kampung Awah sehingga ke Jengka 8 seperti mana yang pernah dijanjikan kerajaan. 

JANJI 1 :
Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato'Haji Ismail Mohamed Said berkata kepada Utusan Malaysia dalam satu majlis perjumpaan bersama peneroka di Felda Jengka 15 pada 20 Mei 2008 (2 bulan selepas pilihanraya umum 2008). Beliau dipetik sebagai berkata, kerajaan telah meluluskan cadangan membina jalan 4 lorong dari Kampung Awah sehingga ke Jengka 8. Pengumuman tersebut disambut dengan riang hati oleh seluruh masyarakat Jengka kerana beliau berkata projek akan dimulakan seawal Ogos 2008. Namun, masyarakat dan pengguna Jengka dapat menjawab sendiri apa status janji berkenaan sehingga kini..

BACA :

Di mana perginya projek ini dan bajetnya ke mana pun rakyat Jengka tak tahu... Peruntukan sudah diluluskan dalam RMK-9.

JANJI 2 :  

Tup tup, selepas sekitar 2 tahun setengah selepas itu, wakil rakyat yang sama, Dato'Haji Ismail Mohamed Said dalam majlis hari raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau peringkat Dewan Undangan Negeri Jengka di Bandar Jengka telah berkata kepada Utusan Malaysia bahawa Parlimen Kuala Krau memohon peruntukan sebanyak RM90 juta bagi menaik taraf dan melebarkan tiga jalan Persekutuan utama di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
 
Beliau berkata, peruntukan khas itu akan digunakan menaiktaraf jalan Kampung Awah-Simpang Jengka 8, Simpang Felda Jengka 18-Felda Jengka 21 dan melebarkan jalan Jengka 24-ke Kampung Kuala Mai.

BACA

Peruntukan dah lulus dalam RMK 9, kemudian kata mohon dimasukkan dalam RMK 10  pulak, apa cerita ini?? Demi kepentingan rakyat Jengka, mohon YB turun memberi penjelasan kepada rakyat.. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...