Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts
Showing posts with label BELASUNGKAWA. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Perginya Seorang Sahabat...

Salam, selamat bertemu kembali..

AL-FATIHAH :


Pagi ini kira-kira jam 9.00 pagi, penulis menerima panggilan daripada seorang sahabat membawa perkhabaran yang mengejutkan. Sahabat penulis iaitu Mohd.Azhar Haji Hassan dari Jengka 15 telah kembali ke Rahmatullah pada jam 6.45 pagi tadi.. Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan Ayob @ Abang oleh rakan-rakan beliau menderita penyakit saraf setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 10 Mei 2010.

Beliau dikejarkan ke Hospital Kepala Batas dan berada di ICU hospital berkenaan selama beberapa bulan. Selepas itu dimasukkan ke Hospital Temerloh, sebelum mendapat kebenaran pihak hospital membawa beliau pulang ke rumahnya di Jengka 15. Dalam keadaan tidak boleh bangun dan mengurus diri sendiri, keluarga beliau begitu tabah menghadapi dugaan Allah ini.

Penulis hanya berkesempatan melawat beliau hanya sekali sepanjang tempoh itu walaupun jarak rumah tidaklah jauh mana pun. Benarlah kata orang, benda yang ada di depan mata, kadang2 sukar sekali kita nak hargai, tapi bila sudah tiada, baru timbul penyesalan dalam hati..

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Doa sahabat-sahabat Allahyarham sentiasa mengiringinya, InsyaALLAH.. Takziah buat keluarga Allahyarham..


p/s : Kau sahabatku, kau teman sejati...

Tuesday, June 15, 2010

Belasungkawa : Ustaz Hassan Shukri

Salam, selamat bertemu kembali..

Takziah atas kembalinya ke rahmatullah tokoh Pas, Ustaz Haji Hassan Shukri.. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.. Amin..

Tuesday, November 24, 2009

24 Tahun Berlalu : Al-Fatihah Kepada Para Syuhada Memali

Salam, selamat bertemu kembali..

Walaupun sebetulnya sudah 5 hari berlalunya detik ulangtahun memperingati tragedi Memali, penulis tetap ingin mengabadikan secebis coretan mengenangkan kekejaman terhadap umat Islam di tanah air tercinta ini..



Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]


Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa..

baca lagi di SINI

Wednesday, October 7, 2009

Mereka Telah Pulang Ke Rahmatullah..

Salam, selamat bertemu kembali…

Di kampong penulis, majlis-majlis kenduri perkahwinan sering diserikan dengan majlis berzanji dan marhaban. Sejak kecil, penulis sering dibawa ayah bersama-sama pak cik-pak cik lain turut sama berzanji dan bermarhaban. Mungkin kerana pendedahan sejak kecil itu, penulis sempat juga belajar kelas berzanji ketika di sekolah menengah, bersama Ust.Tn.Haji Azman Mat Amin, seorang guru yang sangat berpengalaman di SMK Jengka Pusat.. Namun, pembelajaran sekerat jalan, memandangkan ketika itu sudah agak hampir dengan peperiksaan SPM, kami bersepakat untuk berhenti dari mengikuti kelas berzanji itu.

Antara penggerak utama acara berzanji di kampong penulis ialah Tn.Haji Shamsuddin Anjam, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie, Tn.Haji Mat Taha Lingga, Pak Cik Arshad Masran termasuk Haji Harun Ahmad, Haji Ahmad Sulaiman, Haji Ismail Ibrahim dan ramai lagi.. Baru-baru ini, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie telah meninggal dunia. Hilanglah seorang ‘orang penting’ marhaban di kampong penulis. Penulis sekeluarga agak terkejut dengan berita kematiannya memandangkan beberapa jam sebelum itu, beliau rancak berbual dengan ayah penulis ketika mereka bertemu di kedai runcit. Arwah yang dikenali dengan nama panggilan Mat Awi turut menjadi imam di surau An-Nur yang berdekatan dengan rumah penulis.

Terdahulu sebelum itu iaitu beberapa bulan lepas, seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis iaitu Pak Cik Husin Kadiman telah kembali ke Rahmatullah. Pak Cik Husin merupakan seorang yang mahir dengan kerja pendawaian elektrik (wiring). Mungkin hampir semua penduduk di kampong penulis pernah mendapatkan khidmat beliau. Dari kerja pemasangan plag, soket, lampu sehingga pemasangan wayar di dinding rumah telah menjadi permainan beliau sejak bertahun-tahun. Namun, kini beliau tiada lagi..

Seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis ialah Pak Cik Yahya Mansor yang dikenali dengan nama Pak Ya di kalangan penduduk kampong. Kini, beliau tiada lagi. Arwah meninggal dunia juga beberapa bulan lepas ketika masyarakat Jengka heboh dengan wabak Chikungunya. Arwah mendirikan sebuah kedai makan bertentangan dengan rumah penulis. Ia dibuka bermula selepas Subuh hingga kira-kira jam 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan jika ada kenduri. Menu utama?? Segala jenis juadah mee termasuk mee kari, mee goring, mee rebus, mee rojak. Laksa, cucur udang, keropok lekor dan banyak lagi. Namun, yang paling ‘famous’di kedai Pak Ya ialah nasi lemak, mee goring dan ais batu campur (ABC)

Sejak penulis Darjah 1, penulis bersarapan nasi lemak ikan bilis dari kedai Pak Ya berharga 30 sen, kadang-kadang nasi lemak separuh berlauk ayam masak merah berharga 50 sen. Minuman pula, teh tarik yang hanya berharga 60 sen. Ironinya, harga serendah itu tidak berubah langsung sehingga kini, sudah lebih 15 tahun arwah mengekalkan harganya yang sangat membantu perancangan kewangan (untuk makan sarapan) bagi mereka yang anak ramai. Juadah mee kedai Pak Ya juga turut di’promosi’kan penulis kepada guru-guru penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu antaranya Cikgu Sukairi Abu yang tak jemu bertanyakan ‘bila pulak nak makan lagi mee goreng Pak Ya’. Kepulangan Pak Ya ke Rahmatullah pada satu pagi memang mengejutkan semua orang. Masing-masing bersedih dan ada yang menitiskan air mata..

Kenangan bersama ketiga-tiga mereka takkan luput dalam ingatan..

AL-FATIHAH.

p/s : Mudah-mudahan roh Allahyarham Pak Cik Mat Awi, Pak Cik Husin dan Pak Ya akan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..InsyaAllah..

Saturday, September 5, 2009

Selamat di Kota Seputeh, Gelisah di Bagan Pinang

Salam, selamat bertemu kembali..

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham YB Azman Mohd Nor, ADUN Bagan Pinang yang telah meninggal dunia pada hari semalam. Sesungguhnya, Allah SWT lebih sayangkan beliau melampaui sayangnya keluarga dan sahabat handainya pada beliau. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, lebih-lebih lagi rohnya dipanggil Ilahi dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini..

Hakikatnya, kurang dari 2 bulan lagi, negara ini akan menyaksikan satu lagi pilihanraya kecil, kali ke-9 sejak PRU 12 pada Mac 2008. Sudah pasti tercatat dalam sejarah negara, pada penggal pemerintahan BN sejak 2008 kali inilah yang menyaksikan banyak PRK terpaksa diadakan kerana pelbagai sebab, antaranya wakil rakyat meninggal dunia dan wakil rakyat meletak jawatan.


Baru-baru ini, timbul konflik di Kedah antara Speaker DUN dengan SPR berkenaan kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh. Speaker kata DUN itu kosong, malah surat pemakluman telah dihantar tetapi SPR memutuskan ADUNnya iaitu Datuk Abu Hasan Sharif masih bergelar ADUN. Takpalah, BN terselamat dari terpaksa bertarung dalam PRK sekali lagi selepas tewas teruk dalam 7 pilihanraya sebelum ini..

Populariti BN di kaca mata rakyat kini jatuh menjunam menghempas lantai. Sebaliknya berlaku di pihak PR. Di sebalik serangan media bertali arus, umpan pembangunan berjuta-juta ringgit, fitnah dan putar belit terhadap pemimpin PR, rakyat nampaknya maih tetap menolak BN.. Kota Seputeh berjaya diselamtkan dari menyaksikan BN sekali lagi dimalukan..

Namun, perancangan ALLAH mengatasi segala-galanya..

Jika dulu di Perak, kerajaan PR ditumbangkan dengan cara tidak sah tetapi pemimpin BN tetap mengatakan ia cara yang betul dan tindakan itu diRESTUi rakyat Perak. Bagi merungkaikan persoalan, Allah takdirkan MP Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum meninggal dunia. PRK trpaksa diadakan dan ia dijadikan referendum oleh rakyat Bukit Gantang, menolak calon BN dan mengangkat DS Nizar sebagai MP yang baru.. Allah bagi jawapan bahawa rakyat Perak tak RESTU tindakan rampas kerajaan..

Jika dulu ketika begitu kuat tuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim yang digambarkan sebagai pengkhianat negara, agen negara asing, peliwat, perasuah dan sebagainya, Allah takdirkan ADUN Permatang Pasir meninggal dunia. ADUN baru, Hj.Salleh Man diangkat dengan majoroit undi yang begitu besar dalam PRK kmudiannya. Allah bagi jawapan bahawa rakyat Permatang Pasir (yang terletak dalam Parlimen Permatang Pauh) menerima DS Anwar Ibrahim yang digelar 'pengkhianat' itu. TS Muhyidin tersenyum malu bila rakyat Permatang Pauh terima pengkhianat.

Dan kini, bila SPR bertindak isytihar kerusi DUN Kota Seputeh kekal milik BN, Allah takdirkan ADUN Bagan Pinang meninggal dunia.. BN terpaksa juga mengharungi pilihanraya kecil akhirnya.. Ingatkan sudah boleh tidur lena, rupa-rupanya terpaksa juga menghadapi mimpi ngeri di Bagan Pinang..


p/s : Mudah-mudahan digandakan balasan Allah terhadap amalan kita..

Wednesday, April 22, 2009

Al-Fatihah : Encik Zul Azman Zakaria kembali ke Rahmatullah..

Salam..

Gambar di'grab' dari blog Matjang. Baca catatannya di SINI

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali..

Kira-kira jam 5.00 petang semalam, En.Zul Azman Zakaria telah kembali ke rahmatullah akibat serangan sakit jantung. Ku mendapat berita mengejutkan ini melalui panggilan telefon daripada sahabatku, Fairuz. Tidak disangka, kurang sejam sebelum itu, ku melihat dari jauh Allahyarham berjalan menuruni tangga dari RPPP di bangunan baru FSSS.

Allahyarham yang merupakan tutor RPPP pernah mengajar 2 subjek yang ku ambil iaitu subjek Undang-undang & Dasar Bandar dan subjek Pengangkutan Bandar. Ku bersama2 beberapa rakan lain juga pernah bekerjasama dengan beliau dalam projek kajian morfologi Rawang di bawah Pn.Syra Lawrence Maidin.

Kepada semua pengunjung, marilah kita bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang2 yang beriman, Insya Allah..

AL-FATIHAH

p/s : Takziah diucapkan kepada isteri dan keluarga serta sahabat handai Allahyarham, semoga tabah menghadapi dugaan ini..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...