Showing posts with label ISLAM. Show all posts
Showing posts with label ISLAM. Show all posts

Tuesday, November 24, 2009

24 Tahun Berlalu : Al-Fatihah Kepada Para Syuhada Memali

Salam, selamat bertemu kembali..

Walaupun sebetulnya sudah 5 hari berlalunya detik ulangtahun memperingati tragedi Memali, penulis tetap ingin mengabadikan secebis coretan mengenangkan kekejaman terhadap umat Islam di tanah air tercinta ini..



Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]


Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa..

baca lagi di SINI

Monday, October 5, 2009

Bencana Alam di Sumatra : Peringatan Allah Kepada Umat Islam Di Malaysia

Salam, selamat bertemu kembali.


Berlakunya beberapa peristiwa gempa bumi dan pelbagai bencana alam lain di sekeliling negara kita Malaysia sewajarnya diambil sebagai pengajaran yang menginsafkan umat manusia betapa Allah s.w.t ingin memberikan peringatanNya dan menunjukkan upayaNya, bahawa Dia yang berkuasa ke atas semua perkara atas muka bumi ini..

Dua tiga hari lepas, semasa menonton siaran berita di televisyen, penulis sendiri berasa gerun apabila menyaksikan laporan berlakunya gegaran gempa bumi di merata tempat termasuklah Padang di Sumatra, Papua Barat, sebahagian wilayah di China dan juga di Amerika Syarikat. Apakah rahsia yang ada di bumi dan langit Allah yang berterusan menurunkan bala’ (ujian) kepada umat manusia, mungkinkah kerana dosa-dosa dari tangan-tangan manusia sendiri..??

Dari segi penjelasan sains, fenomena gempa bumi berlaku apabila terjadinya pelanggaran antara plat-plat tektonik yang terdapat di kerak bumi. Ia juga boleh terjadi apabila plat-plat ini berselisih antara satu sama lain. Garisan plat yang paling tidak stabil terletak di rantau Asia, melingkari dari utara Jepun, China, Taiwan, Filipina, Sulawesi hingga ke kepulauan Indonesia (Pulau Jawa dan Sumatra) seterusnya hingga ke selatan India. Zon ini dikenali dengan nama Lingkaran Api Pasifik.

Dalam lingkaran ini, terdapat banyak jajaran gunung-gunung berapi, sering berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir besar yang memusnahkan. Dalam siri gempa bumi dalam sejarah, terdapat 2 peristiwa bencana yang paling diingati dunia. Pertama, peristiwa letusan Gunung Krakatau di Jawa pada tahun 1883. Gempa bumi terbesar itu bukan sahaja menyebabkan letusan yang sangat kuat hingga menghancurkan sebahagian gunung terbabit bahkan menyebabkan paksi bumi bergerak sedikit dari kedudukan asalnya. Bahang panasnya menjulang beberapa kilometer ke langit. Debu dari letusannya pula dilaporkan meliputi sehingga ke Australia yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari Jawa.

Peristiwa kedua berlaku pada 26 Disember 2004, kira-kira 5 tahun lalu. Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter ini mengorbankan hampir 250 000 umat manusia di sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan, dan pantai timur benua Afrika. Gempa bumi tengah laut itu berpusat di dasar Laut Andaman dan mencetuskan ombak tsunami menakutkan setinggi 30 meter menghempas pantai wilayah Acheh di utara Sumatra, menyebabkan wilayah autonomi Islam itu bertukar sekelip mata menjadi padang jarak, padang tekukur. Turut merasai badaian tsunami ialah penduduk di pantai sekitar Kuala Muda, Kedah, pantai Langkawi dan Tanjung Tokong di Pulau Pinang serta pantai-pantai di India, Sri Lanka, Somalia, dan beberapa negara lain.

Walaupun penjelasan sains tentang kejadian gempa bumi ini wajar diketahui dan dipelajari, kita perlu sedar bahawa penjelasan dari Allah sahajalah yang paling benar dan paling perlu dipelajari. Kejadian ini perlu diinsafi dengan sebenar-benarnya oleh semua umat Islam bahawa Allah mendatangkan peringatan kepada manusia dalam bentuk bencana alam agar ia diambil iktibar dan pengajaran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :

“..Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya...”

Surah Al-Israa' : ayat 16

Allah s.w.t berfirman lagi :

“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."

Surah Maryam : ayat 88-91

Sabda Rasulullah SAW:

"...Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)..."

Allahu Akbar...!!

Maka, sewajarnya kita umat Islam menginsafi kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Keadaan muka bumi Malaysia hari ini sudah cukup banyak dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Moga Allah pelihara bumi kita ini dari sebarang malapetaka. Semoga kita semua kembali mematuhi perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi kita, Muhammad s.a.w..

p/s : Ampunkan kami Ya Allah..

Monday, March 23, 2009

Apabila pemimpin Cina berbangga dengan pemerintahan Islam..


Surah Muhammad ayat 37 yang bermaksud:

"Nah! kamulah orang-orang yang diajak membelanjakan harta pada jalan Allah, tetapi ada antara kamu orang-orang yang bakhil, sedangkan barangsiapa yang bakhil, maka tidaklah ia bakhil melainkan terhadap dirinya sendiri, dan Allah itu kaya (tidak perlu kepada kamu), tetapi kamulah yang miskin (memerlukan kepadanya) dan jika kamu berpaling (dari agama Allah) akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu".

Seorang pemimpin berbangsa Cina yang bukan Muslim berucap dalam Wacana Pemikiran Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz "Islam dan Kenegaraan" di Pulau Pinang, dan ungkapan berikut diselitkan dalam ucapannya :

1. "Saya berbangga dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang mempunyai sikap adil, telus dan berjiwa rakyat.

2. "Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai prinsip membangunkan negara menerusi nilai-nilai kebajikan dalam bidang kenegaraan dan masyarakat di samping membasmi segala kemungkaran yang melekat sebagai kuman penyakit yang merosakkan seluruh masyarakat dan negara,"

3."Ada cacatan yang meriwayatkan bahawa anak Khalifah Umar pernah mendesak bapanya supaya menggunakan kekerasan untuk menjayakan reformasi pemerintahan.

4. "Dengan tenang Khalifah memberi jawapan 'Wahai anak ku, apa yang engkau maksudkan seolah-olah pembaharuan hanya boleh dicapai dengan pedang. Tetapi tidak akan ada apa-apa kebaikan dalam pembaharuan jika ia memerlukan kuasa pedang, "


p/s : Mendoakan Allah memberi hidayah dan membuka hati beliau untuk memeluk Islam..

Monday, February 9, 2009

Mengapa Buta Mata Lebih Baik Dari Buta Hati..??

Assalamualaikum w.b.t..

Di bawah ini ialah lirik lagu nasyid yang paling ngetop di hati penulis dari dulu hingga kini, dendangan Hijjaz, Antara Mata Dan Hati... Jika lagu nasyid ini benar-benar dihayati, akan mendatangkan satu perasaan keinsafan yang sangat mendalam di lubuk hati kita, betapa hinanya diri ini di hadapan Allah s.w.t.

ANTARA MATA DAN HATI


Bila melihat alam yang indah ini,
Tidak terasa kebesaran Allah,
Bila mendapat musibah, lupa dirinya hamba,

Nikmat yang datang tiada rasa dariNya


Sepatutnya rasa malu kepadanya
Kerana anugerah kepada kita

Membuat dosa rasa kekesalannya


Buta hati lebih merbahaya
Buta mata tidak nampak dunia
Buta hati tidak nampak kebenaran
Buta hati ditipu nafsu dan syaitan


Bahkan dilupakan saja,
semua orang rasa bangga dengan dosa
Bila menyebut neraka tidak terasa akan gerunnya
Bila menyebut syurga tidak terasa akan nikmatnya
,
Itu menunjukkan jiwa kita mati atau buta..




Video klip nasyid ini di YouTube :

Di link ini http://www.youtube.com/watch?v=dB9s9DPtyO8


p/s : Part yang paling mengesankan jiwa ialah rangkap terakhir tu..memang realiti masyarakat Islam pada hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...