Showing posts with label ILMIAH. Show all posts
Showing posts with label ILMIAH. Show all posts

Monday, October 5, 2009

Bencana Alam di Sumatra : Peringatan Allah Kepada Umat Islam Di Malaysia

Salam, selamat bertemu kembali.


Berlakunya beberapa peristiwa gempa bumi dan pelbagai bencana alam lain di sekeliling negara kita Malaysia sewajarnya diambil sebagai pengajaran yang menginsafkan umat manusia betapa Allah s.w.t ingin memberikan peringatanNya dan menunjukkan upayaNya, bahawa Dia yang berkuasa ke atas semua perkara atas muka bumi ini..

Dua tiga hari lepas, semasa menonton siaran berita di televisyen, penulis sendiri berasa gerun apabila menyaksikan laporan berlakunya gegaran gempa bumi di merata tempat termasuklah Padang di Sumatra, Papua Barat, sebahagian wilayah di China dan juga di Amerika Syarikat. Apakah rahsia yang ada di bumi dan langit Allah yang berterusan menurunkan bala’ (ujian) kepada umat manusia, mungkinkah kerana dosa-dosa dari tangan-tangan manusia sendiri..??

Dari segi penjelasan sains, fenomena gempa bumi berlaku apabila terjadinya pelanggaran antara plat-plat tektonik yang terdapat di kerak bumi. Ia juga boleh terjadi apabila plat-plat ini berselisih antara satu sama lain. Garisan plat yang paling tidak stabil terletak di rantau Asia, melingkari dari utara Jepun, China, Taiwan, Filipina, Sulawesi hingga ke kepulauan Indonesia (Pulau Jawa dan Sumatra) seterusnya hingga ke selatan India. Zon ini dikenali dengan nama Lingkaran Api Pasifik.

Dalam lingkaran ini, terdapat banyak jajaran gunung-gunung berapi, sering berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir besar yang memusnahkan. Dalam siri gempa bumi dalam sejarah, terdapat 2 peristiwa bencana yang paling diingati dunia. Pertama, peristiwa letusan Gunung Krakatau di Jawa pada tahun 1883. Gempa bumi terbesar itu bukan sahaja menyebabkan letusan yang sangat kuat hingga menghancurkan sebahagian gunung terbabit bahkan menyebabkan paksi bumi bergerak sedikit dari kedudukan asalnya. Bahang panasnya menjulang beberapa kilometer ke langit. Debu dari letusannya pula dilaporkan meliputi sehingga ke Australia yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari Jawa.

Peristiwa kedua berlaku pada 26 Disember 2004, kira-kira 5 tahun lalu. Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter ini mengorbankan hampir 250 000 umat manusia di sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan, dan pantai timur benua Afrika. Gempa bumi tengah laut itu berpusat di dasar Laut Andaman dan mencetuskan ombak tsunami menakutkan setinggi 30 meter menghempas pantai wilayah Acheh di utara Sumatra, menyebabkan wilayah autonomi Islam itu bertukar sekelip mata menjadi padang jarak, padang tekukur. Turut merasai badaian tsunami ialah penduduk di pantai sekitar Kuala Muda, Kedah, pantai Langkawi dan Tanjung Tokong di Pulau Pinang serta pantai-pantai di India, Sri Lanka, Somalia, dan beberapa negara lain.

Walaupun penjelasan sains tentang kejadian gempa bumi ini wajar diketahui dan dipelajari, kita perlu sedar bahawa penjelasan dari Allah sahajalah yang paling benar dan paling perlu dipelajari. Kejadian ini perlu diinsafi dengan sebenar-benarnya oleh semua umat Islam bahawa Allah mendatangkan peringatan kepada manusia dalam bentuk bencana alam agar ia diambil iktibar dan pengajaran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :

“..Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya...”

Surah Al-Israa' : ayat 16

Allah s.w.t berfirman lagi :

“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."

Surah Maryam : ayat 88-91

Sabda Rasulullah SAW:

"...Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)..."

Allahu Akbar...!!

Maka, sewajarnya kita umat Islam menginsafi kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Keadaan muka bumi Malaysia hari ini sudah cukup banyak dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Moga Allah pelihara bumi kita ini dari sebarang malapetaka. Semoga kita semua kembali mematuhi perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi kita, Muhammad s.a.w..

p/s : Ampunkan kami Ya Allah..

Thursday, August 20, 2009

Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Salam, bertemu kembali..



Mafhumnya:

"..Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.."

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)


Daripada rumah kayu ini :

Kepada banglo ini :


Subhanallah... Allahu Akbar..

Maka, benarlah janji Allah yang menjanjikan bahawa barangsiapa di kalangan hambaNya yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan melepaskannya dari masalah hidup, dan Allah juga akan memberikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak terlintas di hatinya..

Begitulah keajaiban Allah yang menurunkan keadaan yang serupa kepada adik Nik Madihah.. Semoga beliau terus mencipta kejayaan sebagai muslimah sejati yang dibanggakan seluruh umat Islam..

Takbir..!!!

Monday, February 9, 2009

Urus Tadbir Yang Baik 1 : Satu Perkongsian

Assalamualaikum w.b.t..


Seringkali kita mendengar kerajaan dan masyarakat umum melaung-laungkan perlunya good governance (urus tadbir yang baik) diterapkan dalam pentadbiran kerajaan. Namun tahukah kita apakah itu good governance itu. Post kali ini, penulis kongsikan sedikit sebanyak apa yang penulis tahu, jika ada salah silap maaf la ye..


Antara lain, good governance (urus tadbir yang baik) boleh ditentu ukur menggunakan sekurang-kurangnya 8 aspek iaitu :


1. Participation both gender


Urus tadbir yang baik menuntut setiap tindakan atau keputusan yang diambil perlulah melibatkan penyertaan dari kedua-dua jantina, tiada diskriminasi. Dalam proses membuat keputusan atau dalam pentadbiran sesuatu kerajaan itu, keterlibatan kedua-dua jantina sangat perlu. Mengambil contoh penglibatan dan suara wanita di negara kita sekarang ini yang semakin meningkat, ini menunjukkan negara ini menuju ke arah good governance (urus tadbir yang baik). Selain itu, sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan orang awam bukan sahaja perlu mengambil kira kedua-dua jantina, tetapi perlu menitikberatkan juga kepentingan kepada golongan warga tua, kanak-kanak, golongan miskin dan sebagainya.


2. Rule of laws


Sesuatu perkara yang dilakukan perlulah mengikut undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan. Sesuatu tindakan tidak boleh dilakukan sesuka hati tanpa ada pertimbangan undang-undang. Jika tindakan itu didapati salah pula, ia harus dihukum mengikut lunas undang-undang.


Pada pendapat penulis, rule of laws belum tertegak sepenuhnya di negara ini. Ini kerana masih ada beberapa kes yang boleh dirujuk yang menggambarkan negara ini seolah mengamalkan law of the jungle, hehe.. Sebagai contoh, tentang kes melibatkan pimpinan negara, walaupun ada bukti-bukti yang sahih, ia didiamkan, namun jika kes melibatkan pemimpin pembangkang, cepat sahaja kertas pertuduhan disiapkan, menunggu untuk dibicarakan.


Bukanlah niat penulis untuk menyebelahi mana-mana pihak, namun jika benarlah seseorang itu bersalah, ia harus dihukum. Bagaimana nak tahu salah atau tidak, bicarakan di mahkamah.. Jika ada ‘pengecualian’ pada sesetengah pihak dihadapkan ke mahkamah, benarlah negara ini mengamalkan law ot the jungle, sapa kuat dia menang, sapa kuat dia yang berkuasa .


3. Transparency


Dalam urus tadbir yang baik juga, perlulah ada ketelusan dalam penggunaan harta kerajaan, baik dari segi kewangan, harta benda dan lebih penting lagi penggunaan kuasa yang diberi kepada kerajaan berkenaan. Jangan salahguna wang, jangan salahguna harta benda dan jangan salah guna kuasa.


Contoh baik yang mudah difahami terdapat dalam filem arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee kira-kira 40 tahun yang lalu iaitu filem Anak Bapak. Dalam filem berkenaan, Harun Mahfis (P.Ramlee) telah memberikan sekeping cek tunai kepada Normah (Ruminah Sidek). P.Ramlee menerapkan amalan transparency dalam skrip filem ini dan watak Harun Mahfis tanpa kita sedari apabila cek yang diberi kepada Normah itu ialah cek persendirian dan tidak menggunakan cek syarikat, walaupun Harun Mahfis mengetahui bahawa tiada wang dalam akaun bank peribadinya. Jadi, Harun Mahfis tidak menyalahgunakan wang syarikat dalam urusan peribadinya.


Satu contoh lagi ialah bagaimana telusnya MB Kelantan, Tok Guru Nik Aziz melakukan urusan pentadbirannya. Pernah dikhabarkan oleh seorang sahabat dari Kelantan, Tok Guru akan menggunakan pen miliknya sendiri apabila tamat waktu pejabat jika urusan negerinya belum selesai. Tok Guru risau jika selepas tamat waktu pejabat itu, beliau masih menggunakan pen milik kerajaan, itu akan diletakkan sebagai menyalahgunakan harta kerajaan. Tingginya peribadimu Tok Guru..


Semua ini merupakan secebis contoh sahaja bagaimana dikatakan transparency (ketelusan) dalam menjalankan pentadbiran. Dalam erti kata mudah, jangan melakukan salah guna terhadap hak yang bukan milik kita, baik kuasa, harta benda atau wang ringgit.


Nantikan sambungannya dalam Urus Tadbir Yang Baik 2 yang akan membicarakan lagi 5 aspek good governance iaitu responsiveness; consensus oriented; equity and inclusiveness; effectiveness and efficiency; dan accountability.


p/s : Jika ada yang salah, harap dapat kongsi maklumat ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...