Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha Kepada Seluruh Muslimin Muslimat


Blogger Pak Tam Jengka mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin muslimat walau di mana jua kalian berada..

Semoga lebaran ini menjanjikan seribu keinsafan kepada kita berkenaan nilai pengorbanan terhadap diri, keluarga, bangsa, agama dan negara sebagaimana pengorbanan yang dilakukan datuk kita Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s..

InsyaAllah..

ALLAHU AKBAR..
ALLAHU AKBAR..
ALLAHU AKBAR..
WALILLAHIL HAMDU..


p/s : Kepada kengkawan, jemput datang ke rumah ye.. ada ketupat dan rendang, buatan sendiri..hehe

Wednesday, November 25, 2009

Wajah-wajah Pemimpin Kita : Sekeping Gambar , Seribu Makna..

Salam, selamat bertemu kembali...

Tersengih je DS Nazri Aziz

Gaya yang sama

Cayang manyak2..

Aku mintok maah Derih deh..huhu

kenal tak?? Lim Guan Eng la..

masa muda dulu, hehe

sama-sama hebat..

senang hati pak haji tu ye..?? hehe

Presiden PAS yang menjala ikan tu..

Datuk S dan Datuk K kunjungi Datuk N

halal dan haram.. pilih sndiri..

aku nikahkan akan dikau..

bahaya ni..!!

tak mau komen..

ter'sangat' solehah..

guane ganu le ning..??

Amin Ya Rabbal Alamin..

awat Pak Lah siap makan awai sangat??

turun molek-molek deh..

yang ni pun bahaya jugak..!!

jasamu dikenang Datuk Ghani

two real red warriors

ish..ish..

ish..ish..ish..

ha..!! yang ni PALING bhaya.. jangan tiru tau..



p/s : Coretan di atas adalah sekadar rekaan dan untuk tujuan hiburan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau pun yang mati.. Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan..

Tuesday, November 24, 2009

Jebak Puyuh : Mereka Memang Tak Faham Nilai Warisan Alam..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Gunung Senyum di kiri, Gunung Jebak Puyuh di kanan




Semua imej ini hanyalah sekelumit daripada hadiah keindahan warisan alam yang terdapat di gugusan gua-gua batu kapur di Gunung Jebak Puyoh, Temerloh, Pahang. Ia sengaja diatur oleh Allah sebagai tatapan umat manusia agar sedar tentang kebesaran dan kekuasaanNya. Bagi yang belu melihatnya, percayalah.. Anda akan merasa takjub dan merasa kerdil di sisi Allah setelah menyaksikan keindahan rupa bentuk Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Haluan Kapal, Gua Mayat, Gua Jebak Puyoh, Gua Tasik Biru dan gugusan gua-gua yang lain..

Ekspedisi penulis ke Jebak Puyoh pada 13 November lepas sememangnya menggamit kenangan yang sungguh bermakna.. Lantaran keputusan kerajaan Pahang yang dikatakan akan bekerjasama dengan syarikat YTL Cement untuk memulakan operasi pengorekan batu kapur di Jebak Puyoh awal tahun depan.. Alangkah sayangnya..

Antara keistimewaan Jebak Puyuh :

1. Khazanah alam ini berusia 240 juta tahun dan merupakan antara lokasi terpenting dalam aspek pengkajian biologi di Malaysia.

2. Pakar biologi, Dr.Reuben Clements telah menemui 47 jenis spesis siput tanah (land snails) di mana 7 daripada dikategorikan sebagai spesis terancam.

3. Pakar botani, Dr Ruth Kiew daripada Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) menemui sejenis tumbuhan baru yang dinamakan Senyumia minutiflora, yang tidak terdapat di mana-mana hutan di dunia ini kecuali di tanah daratan antara Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyoh.

Lebih menakjubkan, tumbuhan yang ditemui Dr.Ruth itu merupakan satu-satunya induk tunggal spesis berkenaan. Hal ini bermaksud, jika induk tunggal ini dimusnahkan, maka musnahlah terus spesis berkenaan sampai bila-bila..

Mungkin ada yang berkata penulis bercakap kosong, namun inilah buktinya.
http://www.genera-gesneriaceae.at/genera/senyumia.htm.

Selamatkanlah Jebak Puyuh.. Tolonglah bertindak wahai kerajaan negeri Pahang..

Penulis tahu sudah ada bantahan yang dilakukan sebahagian penduduk, namun adakah kerajaan mendengar bantahan mereka. Pandangan penulis, kerajaan harus bertegas dan tidak menggadaikan khazanah alam yang tidak ternilai ini dengan mendirikan kilang simen berkenaan. Jika tidak, pembinaan kilang yang hanya memakan masa sebulan dua akan menghancurkan pembinaan gua-gua dan gunung yang mengambil masa ratusan juta tahun..

Saksikan pengalaman mereka ini di Gunung Senyum dan Jebak Puyoh..

Pengalaman Kak Long Nita
Pengalaman Malaysian Bikers Community
Pengalaman Tukang Merepek
Pengalaman Setia Hawa
Pengalaman Hazaldin
Pengalaman Daniel Franklin Gomez
Pengalaman Enzofei
Pengalaman UluTopian
Pengalaman dan liputan di WildAsia.Org

Lain-lain pengalaman, banyak lagi di SINI



p/s : Kepada mereka yang pernah menyaksikan kejaiban ciptaan Allah di Jebak Puyoh, suarakanlah bantahan anda di laman maya ini, di laman blog anda dan sebagainya.. Mudah-mudahan ikhtiar kita ini berhasil...

Lihatlah Dunia : Inilah Tok Guru Yang Kami Sanjungi..

Salam, selamat bertemu kembali..


Namanya Tok Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Haji Nik Mat. Beliau seorang ketua kerajaan negeri di Malaysia sejak 19 tahun yang lalu. Pernah juga bergelar ahli parlimen Malaysia sejak tahun 1970-an lagi. Baru-baru ini diiktiraf sebagai antara 50 pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia.

Namun, kezuhudan beliau jelas terserlah. Tidak dapat dinafikan lagi, di sebalik jawatannya sebagai CEO sebuah kerajaan, beliau tidak kisah makan bersama-sama rakyat di warung rakyat di tepi jalan. Makan nasi bungkus tu..

Allahu Akbar..
Allahu Akbar..
Allahu Akbar..

p/s: Selamatkanlah pemimpin kami Ya Allah..

24 Tahun Berlalu : Al-Fatihah Kepada Para Syuhada Memali

Salam, selamat bertemu kembali..

Walaupun sebetulnya sudah 5 hari berlalunya detik ulangtahun memperingati tragedi Memali, penulis tetap ingin mengabadikan secebis coretan mengenangkan kekejaman terhadap umat Islam di tanah air tercinta ini..



Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]


Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa..

baca lagi di SINI

Saturday, November 21, 2009

Pengiktirafan Dunia Islam Kepada Tok Guru, Anwar dan Mahathir..

Salam, selamat bertemu kembali..

Mereka sebenarnya berdiri sama tinggi dengan tokoh pimpinan Islam dunia yang lain sejurus terpilih sebagai antara 500 pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia.. Mereka memang layak..

Tahniah Tok Guru..

Tahniah Dato'Seri

Tahniah Tun..

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009. Para tokoh Muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai katagori muslim radikal.

Nama tokoh Islam dari Malaysia yang tersenarai ialah Mursyidul Am PAS, TG Nik Abd Aziz Nik Mat yang menduduki tangga ke 42 dari keseluruhan 500 Muslim Yang Berpengaruh.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia. Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Dato Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dua orang pemimpin SIS yang kerap menimbulkan kontroversi dan pendokong Islam liberal di kalangan feminis, Sharifah Aljeffri dan Zaynah Anwar juga disenaraikan.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Dari SINI..


p/s : Mengapa pelopor Islam Hadhari tidak tersenarai ye?? erm..

Monday, November 16, 2009

Pilihanraya Kecil : Menagih Referendum Dari Rakyat Kota Siputeh

Salam, selamat bertemu kembali..

Lewat petang tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa DUN N3 Kota Siputeh sebagai kosong dan satu pilihanraya kecil perlu diadakan sekali lagi seperti yang dilaporkan di SINI.


Maka, akan berlakulah satu lagi pertentangan sengit yang bakal disajikan kedua-dua parti lawan di utara Semenanjung pula. Keadaan sebenarnya agak genting memandangkan Merdeka Centre dalam Edisi 7 jam 7 malam tadi mendedahkan bahwa keyakinan rakyat terhadap DS Najib semakin meningkat sejak beliau mengangkat sumpah sebagai PM..

Sesungguhnya, keputusan PRK yang akan diadakan ini akan mengesahkan pilihan rakyat selepas keputusan di Bagan Pinang menunjukkan UMNO-BN bernafas kembali.. Apakah pilihan rakyat Kota Siputeh.???

Hasil keputusan PRK Kota Siputeh kelak bakal dijadikan referendum rakyatnya kepada kedua-dua sang penguasa, Pakatan Rakyat-PAS yang menerajui Kedah dan UMNO-BN yang menerajui kerajaan Pusat..

Sama-sama kita nantikan keputusannya..


p/s : Tertunggu-tunggu siapa calon yang akan berentap..??

Wednesday, November 11, 2009

Janganlah Gemar Bersikap Baling Batu, Sembunyi Tangan

Salam, selamat bertemu kembali..


Petang tadi, penulis mendapati ada satu komen ditinggalkan oleh Encik Anonymous. Berkenaan posting penulis sebelum ini bertajuk Royalti Kelantan : Diskriminasi Yang Sudah Terang Lagi Bersuluh. Berikut adalah komennya :

Anonymous Anonymous said...

P/s:sebelum baca comment ni, jgn marah2..klu rasa nak marah istifar byk2 dulu. penulis comment nak minta maafla klu ada tulisan yang mengguris hati penulis blog. macam kata2 ni"marah itu api, api itu syaitan."


tak paham dengan orang sekarang. bagi salah. tak bagi salah. nampak saja salahnya. padahal yang selalu membentak tu hidup bekerja untuk kerajaan. makan gaji dr kerajaan.
macamlah kucing yang tersepit. dah dilepaskan. dibela, dijaga, dibagi makan,dibagi minum, lepas tu siap dibagi katil empuk untuk tidur. masih tak puas hati.
teringat kata2 kwn indonesia dan thailand(jiran je)

kwn indonesia(sama bkerja di sektor perindustrian):kamu bersyukur hidup di malaysia.
saya di indonesia klu tak ada duit tak boleh belajar. kamu sih masih ada yg memberi walau perlu dibayar kembali. sekurang2nya ada modal kok untk blajar.

Kawan Thailand: belajar di sini best. aman. tenteram. nak pergi mana2 pun tak susah hati. tak macam tempat saya. takut.

klu macam tu lepaskan jawatan yg diberi kerajaan lps tu prgi kat pemimpin yg disanyangi(cemburu pada msyrakat yg sllu dpt kelebihan mcm peneroka,n org yg keluar je blajar terus dpt kerja). bagi pada orang yg selalu menyokong tapi langsung tak ada peluang bekerja untuk ketua yang digemarinya.

sekali lagi saya mohon maaf ya. sekadar mengusik saja.

November 6, 2009 11:39 AM

Penulis sebenarnya tak berapa gemar pada tukang komen jenis 'anonymous' ni. Tahu kenapa..?? Kerana mereka suka 'baling batu sembunyi tangan'.. Dah berbahas pun tak best, kerana mereka ni jenis yang 'penakut' untuk mendedahkan identiti mereka..

Apapun, terima kasih kepada Encik Anonymous kerana sudi menjengah blog penulis yang tak seberapa ni. Teruskan membaca ye, hehe...




p/s : Marah itu api, api itu syaitan.. Terima kasih anonymous..

Wednesday, November 4, 2009

Royalti Kelantan : Diskriminasi Yang Sudah Terang Lagi Bersuluh

Salam, selamat bertemu kembali..


Hari ini, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memberikan wang ehsan kepada kerajaan negeri Kelantan sebagai hasil kepada perolehan petroleum dan gas di perairan negeri itu. Wang ehsan tersebut adalah sama dengan yang diperolehi Terengganu dari segi pelaksanaan dan mekanisme peruntukannya..

Najib berkata, kerajaan persekutuan telah meneliti isu royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan secara mendalam termasuk dari sudut perundangan berkaitan kuasa kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.

Katanya, sama seperti Terengganu, pembayaran wang ehsan itu diberi setelah kerajaan pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara.

"Bagi memastikan agihan wang ehsan itu dibuat dan dinikmati secara langsung oleh rakyat Kelantan, peruntukan tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program membasmi kemisminan dan akan disalurkan terus oleh kerajaan (pusat) setelah berbincang dengan kerajaan negeri," katanya, lapor Bernama.

Bagi penulis, inilah satu lagi bukti diskriminasi yang dilakukan kerajaan pusat kepada kerajaan Kelantan...!!!



Rakyat didahulukan kononnn... Poooraaaahhhh...!!!

Baca di SINI, fakta-fakta mengenai hak Kelantan dalam isu royalti..


p/s : Negeri UMNO-BN = Royalti, Negeri PAS = Wang ehsan

Monday, November 2, 2009

Tiada Tauliah Sampaikan Kuliah Agama..???

Salam, selamat bertemu kembali..


Terkejut juga penulis bila awal pagi ini, seorang rakan memaklumkan menerusi SMS bahawa bekas Mufti Perlis, Dr.Asri Zainul Abidin atau Dr.Maza telah ditahan JAIS lewat malam tadi.. Bila penulis belek Utusan Malaysia pula, alasan penahanan yang dikemukakan JAIS ialah Dr.Maza tiada tauliah untuk menyampaikan kuliah agama.. Penulis tidak dapat mengagak apakah justifikasi sebenar alasan ini digunakan terhadap seorang bekas Mufti Kerajaan Negeri yang sudah tentu ilmu dan pengetahuannya tentang Islam sudah terbukti hingga dilantik ke jawatan setinggi itu. Lainlah jika alasan ‘tiada tauliah’ itu digunakan terhadap mereka yang tak ‘mengaji’ secara khusus dalam bidang agama seperti penulis ni..

Masuk bab ‘tiada tauliah’ ni, penulis terkenang satu peristiwa yang dialami penulis sendiri, dua tiga hari menjelang Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac 2008. Kisahnya begini. Penulis berada di rumah di Jengka 16 petang itu apabila penulis dihubungi Us.Nasaie (kini KP Pas Lembah Pantai), memaklumkan bahwa sahabat kami, Us.Dzulkhairi (ketika itu Presiden Gamis) telah dijadualkan untuk memberi kuliah Maghrib pada sebelah malamnya. Us.Nasaie meminta penulis mengiringinya ke masjid. Syukur segalanya berjalan lancer. Us.Dzul memberikan tazkirah dengan lancar tanpa sebarang gangguan walaupun suasana ketika itu ‘panas’ berikutan suasana pilihanraya.

Esoknya, perjalanan harian berjalan seperti biasa. Masuk waktu Asar hari berkenaan, penulis bergegas berjemaah di masjid. Selesai solat, penulis menghala motorsikal ke rumah. Sampai di satu simpang, ternampak kelibat Pak Lang Mat di depan rumahnya. Pak Lang Mat merupakan orang kuat Umno di kampong penulis. Sejurus melihat penulis, dia memanggil sambil melambai tangannya bersungguh-sungguh memanggil penulis ke arahnya. Penulis menghulur salam lalu disambutnya..

Rupa-rupanya, dia mempertikaikan tindakan penulis membawa Us.Dzul menyampaikan tazkirah di masjid kerana baginya Us.Dzul yang menuntut jurusan Pengajian Islam di Universiti Malaya itu, tiada TAULIAH untuk menyampaikan tazkirah di masjid..


p/s : Ye la, penulis la yang salah, huhu

Monday, October 19, 2009

Ibrahim Ali : Antara Nikah Cerai dan Political Backstabber

Salam, selamat bertemu kembali..

Ibrahim bin Ali merupakan seorang bekas aktivis mahasiswa ITM sekitar 1970-an. Beliau pernah menggerakkan demonstrasi jalanan bersama-sama Anwar Ibrahim pada tahun 1974. Selepas tamat belajar, Ibrahim Ali mendirikan ‘gerbang perkahwinannya’ dengan Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Malaysia) sekitar tahun 1977. Perkahwinannya hanya bertahan setahun apabila pada tahun 1978, beliau ‘bercerai’ dengan Berjasa dan ‘berkahwin’ dengan UMNO. Ibrahim dan UMNO pun melayari hidup bersama hinggalah satu ketika pada tahun 1988, beliau ‘bercerai’ pula dengan UMNO dan ‘menikahi’ seorang janda bernama Semangat 46. Hampir 7 tahun bersama, pada tahun 1994, Semangat 46 menemui ‘ajal’ akibat kegagalan ‘jantung’.

Ibrahim yang menjadi ‘duda’ mengambil keputusan untuk ‘rujuk’ semula dengan UMNO pada tahun 1995. Dalam perkahwinan keduanya dengan UMNO ini, beliau menjalani kehidupan yang penuh bahagia sehingga pernah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian paling kanan dalam kerajaan. Kehidupan mereka berdua begitu harmoni sehinggalah kira-kira 9 tahun kemudian iaitu pada tahun 2003, perkahwinannya berantakan apabila bapa mentuanya (ayah UMNO) iaitu Pak Lah tidak mahu menyambung ‘kontrak’ Ibrahim sebagai menantu. Dalam erti kata lain, pak mentuanya mahu Ibrahim berpisah dengan UMNO.


Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu bertindak membuat ‘kacau’ dalam pilihanraya umum mencari menantu yang diadakan pak mentuanya di Pasir Mas pada tahun 2004. Beliau yang tewas teruk akhirnya berkelana seorang diri. Bekas pak mentuanya pula terus melucutkan gelaran ‘bekas menantu’ yang ada pada Ibrahim seumur hidup. UMNO pun sudah menyampah kepadanya. Pada pilihanraya kecil cari menantu di Pengkalan Pasir pada tahun 2005, Ibrahim sekali lagi mencuba nasib tetapi kalah juga.

Pada tahun 2008 pula, Ibrahim ingin sekali lagi bertanding dalam pilihanraya umum mencari menantu. Kali ini, jiran sekampungnya, Pok Nik Ajih menawarkan ‘gadisnya’ bernama Pas untuk Ibrahim. Ibrahim senang hati. Tapi peliknya Ibrahim tidak mahu Pas dijadikan sebagai isteri, tapi hanya sebagai teman. Pas memang cukup cantik, tapi mengapa Ibrahim menolaknya sebagai isteri, itu penulis tak tahulah pulak. Pok Nik Ajih setuju. Maka, atas ehsan Pok Nik Ajih itu, maka berkawanlah Ibrahim dengan Pas. Ibrahim tidak tinggal serumah dengan Pas kerana mereka bukan suami isteri, beliau cuma berteduh di bawah rumah Pas. Dapatlah Ibrahim merasai nikmat kehidupan semula selepas beberapa tahun keseorangan..


Namun, peliknya selepas beberapa bulan tumpang berteduh di situ, Ibrahim mula buat hal. Beliau selalu mengata dan mengutuk rumah Pok Nik Ajih. Sana tak kena, sini tak kena. Beliau juga mengutuk Pas dan kawan-kawan Pas seperti PKR dan DAP. Kawan-kawan baik Pok Nik Ajih seperti Pak Syeikh Nuar dan Ayah Chik Hadi Awang pun selalu dihentamnya walaupun semua mereka itu berkawan baik dengan Ibrahim satu ketika dulu.

Ibrahim juga sudah beberapa kali tumpang berteduh di bawah rumah UMNO, bekas isterinya dulu. Selalu juga Ibrahim muncul berucap di bawah rumah UMNO itu bersama-sama NGO-NGO yang berkawan baik dengan UMNO. Mereka berhujah, bersyarah berapi-api konon hanya merekalah pejuang bangsa Melayu. Ibrahim juga berani menjadi presiden sebuah NGO pro-Melayu yang menjemput bekas ayah UMNO pada tahun 1980-an iaitu Tok Det menjadi perasmi penubuhannya.

Keadaan ini berterusan hinggalah pada ketika ini yang menjadikan keadaan semakin panasss.. Situasi di mana Ibrahim secara terang-terang mengakui beliau sebenarnya masih ada hati dengan UMNO, bekas isterinya. Berani betul Ibrahim ni..hehe.. Mungkin sebab bekas pak mentuanya, Pak Lah dah tiada. Pak Lah dah letak jawatan sebagai ayah UMNO pada awal 2009. Sekarang UMNO ada ayah baru, iaitu Tok Jib. Mungkin Ibrahim boleh ambil hati Tok Jib kot, untuk ambil beliau sebagai menantu semula. Mungkin juga Tok Jib terima, kita tengoklah..


Tapi saudara UMNO di Kelantan minta Tok Jib fikir semula untuk terima Ibrahim sebagai menantu semula. Kata mereka, Ibrahim ni banyak sejarah. Banyak kali kahwin cerai.. Takut-takut nanti UMNO tengah sakit tenat, dia bantai cerai bini dia waktu tu.. Kesian la pada UMNO.. Sudahlah sakit, kena cerai pulak.. Paling sedih apakah perasaan Pok Nik Ajih dan Pas yang mengambil Ibrahim berteduh di bawah rumah mereka satu ketika dulu..?? Ketika orang lain tak mahu Ibrahim, Pok Nik Ajih dengan tangan terbuka terima Ibrahim, walaupun Ibrahim orang luar. Sanggup Ibrahim lupa pada jasa Pok Nik Ajih..??

Selepas apa yang Ibrahim lakukan pada Pok Nik Ajih dan Pas termasuklah UMNO, Berjasa dan Semangat 46, adakah beliau layak digelar "political backstabber"..??


p/s : Sekadar melawak jenaka..

Wednesday, October 14, 2009

Piala Malaysia : Akhirnya Kedah Tersungkur..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Setelah gah di persada Piala Malaysia selama 2 tahun berturut-turut, juara bertahan merangkap pasukan ‘favourite’ penulis, Kedah akhirnya tersungkur jua dalam saingan Piala Malaysia apabila gagal layak sebagai 8 pasukan terbaik untuk beraksi di pusingan suku akhir piala tertua negara itu.. Sungguhpun menampilkan persembahan bertenaga membelasah Pulau Pinang 4 – 0 malam tadi, kemenangan pasukan Kuala Muda Naza ke atas gergasi merah, Selangor menutup terus intaian Kedah ke suku akhir..

Kedah sudah melakukan sedaya upaya mereka. Benar telahan penulis dalam artikel petang semalam (yang disiarkan petang ini), Kedah perlu menang dengan jaringan besar bagi mencerahkan peluang itu. Kedah berjaya melakukannya, menang dengan jaringan besar ke atas Pulau Pinang. Namun, sangkaan dan ramalan peminat yang mengharap Kuala Muda Naza, Perlis dan Perak tewas teruk kepada lawan masing-masing jauh tersasar. Kuala Muda Naza dengan tidak disangka-sangka berjaya menumbangkan juara tiga piala musim ini, Selangor dengan gol tipis 3 – 2, manakala Perak pula sekadar seri dengan 1 – 1 dengan Johor FC manakala Perlis pula berjaya menewaskan Plus FC dengan jaringan 1 - 0.

Sedih untuk diulas lagi, Kedah tersingkir jua akhirnya. Harapan kini tinggal harapan. Tahniah kepada Azraai Khor dan anak buahnya atas persembahan sepanjang saingan Piala Malaysia ini. Tahniah juga kepada kesemua 8 pasukan layak ke suku akhir :

SELANGOR

KELANTAN

KL PLUS FC

NEGERI SEMBILAN

JOHOR FC

TERENGGANU

PERLIS

KUALA MUDA NAZA

Info Piala Malaysia seterusnya di SINI


p/s : Kedah kena lebih pulun musim depan.. Majulah sukan untuk negara..!!

Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir Terjawab Malam Ini..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Sepatutnya posting ini disiarkan pada petang semalam, namun kerana ‘masalah teknikal’ dan masalah talian internet, penulis tidak sempat meletakkannya di blog ini. Oleh kerana, sudah puas menaip petang semalam, penulis ingin terbitkan juga petang ini, walaupun persoalan dalam artikel ini sudahpun terjawab...huhu, sedihnya..


Artikel 12 Oktober 2009, jam 2.15 petang :


Rasanya sudah lama penulis tidak menjadi ‘pengulas’ sukan tanahair dalam laman ini. Terasa ‘gatal’ pula tangan hari ini nak tulis bab saingan Piala Malaysia yang semakin ‘hangat’. Walaupun rakan-rakan di tempat kerja penulis asyik saja mengulas tentang perkembangan saingan EPL (Liga Perdana Inggeris), penulis sebenarnya lebih teruja untuk mengikuti perkembangan pasukan ‘favourite’ dulu, kini dan selamanya, pasukan bolasepak Kedah Darul Aman.


Tajuk posting penulis kali ini ialah Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir .?? Dalam saingan Piala Malaysia yang semakin hangat kini, itulah antara persoalan yang bermain-main di fikiran seluruh peminat bolasepak Kedah dan mereka yang mengikuti rapat perkembangan skuad Hijau Kuning itu. Setelah menang 2 kali (Kedah 3 – ATM 0, Kedah 1 – Kelantan 0), satu keputusan seri (Kedah 1 – ATM 1) dan dua kekalahan (Kedah 1 – Kelantan 2, Kedah 0 – Pulau Pinang 1), kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang malam ini sangat penting bagi skuad Azraai Khor Abdullah.


Keadaan kini semakin genting.. Dari 8 pasukan yang diperlukan untuk mengisi slot suku akhir, 2 pasukan selaku juara kumpulan D dan E sudah mengesahkan tempat mereka iaitu Selangor dan Kelantan. 4 pasukan lagi iaitu KL Plus (juara kumpulan A), Negeri Sembilan (juara kumpulan B), Johor FC (juara kumpulan C) dan Terengganu (naib juara kumpulan B) pula dianggap sudah ‘sebelah kaki’ ke suku akhir. Ini juga bermakna hanya tinggal lagi 2 tempat yang mana akan ditentukan menerusi 3 naib juara kumpulan yang mencatat mata tertinggi. Mengambil kira keadaan semasa, 2 naib juara terbaik dihuni oleh Perlis (10 mata) dan Perak (10 mata) dalam kumpulan masing-masing.


Atas kertas, Kedah sudah tidak berupaya lagi. Kedah ketinggalan begitu jauh dari segi mata di mana mereka hanya mampu mengutip 7 mata dari 5 perlawanan. Atas apa alasan sekalipun, Kedah harus menang ke atas Pulau Pinang malam ini sambil mengharapkan semua naib juara kumpulan terutamanya Perlis dan Perak tewas dengan jaringan besar kepada lawan masing-masing. Hanya dengan ‘keajaiban’ itu sahaja, mampu melayakkan Kedah mengisi baki dua tempat berkenaan. Kedah perlu mengutip 3 mata penuh dengan mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan besar, bagi membolehkan mereka berkongsi mata dengan Perak dan Perlis.


Andainya skuad Azraai Khor ‘makan besar’ malam ini dan Perak serta Perlis pula mencatatkan kekalahan besar, pasti Kedah berjaya merebut tempat ke suku akhir.. Namun perlu diingat, Pulau Pinang juga ingin menyelesaikan misi yang sama..

PULUN KEDAH PULUN

p/s : Sekadar sokongan seorang peminat kecil pasukan Kedah dari bumi Pahang


ADUN Bagan Pinang : Tahniah Kepada Tan Sri Mohd.Isa Samad

Salam, selamat bertemu kembali..

Malam Ahad lalu, berakhirlah segala penantian seluruh dunia, yang mengamati perjalanan pilihanraya kecil penuh kontroversi dan segala macam kejutan.. Calon UMNO-BN yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Mohd.Isa Samad diangkat oleh 8,013 orang pengundi sebagai wakil rakyat Bagan Pinang. Tahniah diucapkan kepada beliau yang melakukan ‘political comeback’ untuk kembali berada dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selepas kali terakhir pada tahun 2003.

Tahniah juga kepada beliau kerana berjaya ‘menarik kembali’ sokongan pengundi Melayu, Cina dan India apabila menang dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa Samad berjaya memenangi kesemua lapan peti undi (UPU) termasuk merampas tiga UPU yang pernah dimenangi Pas dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa juga berjaya mengurangkan undi pos yang diperoleh Pas kali ini apabila calonnya, Haji Zulkefly Mohamad Omar sekadar meraih 800 undi lebih berbanding 1,000 undi lebih dalam PRU terdahulu.

Tahniah juga kepada semua jentera kerajaan termasuk jabatan-jabatan seperti jabatan kesihatan, jabatan kerja raya yang menurap jalan pagi petang, pihak polis, termasuk kementerian-kementerian terlibat yang begitu gigih menyalurkan bantuan kepada pengundi menjelang pilihanraya. Mereka menunjukkan gerak kerja yang begitu ‘outstanding’ dalam membantu Tan Sri Isa Samad. Sewajarnya gerak kerja ini diteruskan lagi pada masa-masa di luar pilihanraya.

Tahniah juga diucapkan kepada pihak media kerajaan yang melaporkan isu-isu dan laporan berita yang ‘sangat adil’ dalam fasa pilihanraya kali ini. Hampir setiap waktu berita, kita akan melihat ‘keburukan’ parti pembangkang dan media kerajaan juga gemar meminta maklum balas daripada pemimpin kerajaan tentang pelbagai isu tanpa memberi peluang kepada pemimpin Pas untuk menjawab semula. Hal ini sangat memberi’ bonus’ kepada kemenangan Tan Sri Isa Samad. Perkara ini harus dipertahankan dengan kuat kerana media sangat berperanan menyampaikan segala berita dan ‘kebaikan’ serta ‘jasa’ pimpinan kerajaan. Dengan ini, rakyat yang ‘lemah’ akan mudah termakan dengan berita-berita yang belum diketahui kebenarannya..

Tahniah juga kepada 8,013 orang pengundi Bagan Pinang yang telah memilih untuk menerima Tan Sri Mohd.Isa Samad yang telah tercalar rekod perkhidmatannya atas kesalahan politik wang dan beliau didapati salah oleh lembaga disiplin partinya sendiri. Itu hak mereka. Hak pengundi Bagan Pinang. Bukan hak kita. Mereka memilih untuk menerima Isa dan menolak calon Pas. Tahniah juga kepada lebih 2,500 pengundi Bagan Pinang yang memilih untuk tidak mengundi Isa apabila mereka kekal mengundi Pas kali ini. Tahniah juga kepada lebih 1,500 pengundi yang ‘beralih arah’ kembali mengundi Isa dalam PRK kali ini selepas memberi undi mereka kepada calon bukan BN pada 8 Mac tahun lalu.

p/s : Tahniah jentera kerajaan, tahniah media perdana, tahniah pengundi, tahniah ISA..

Wednesday, October 7, 2009

Mereka Telah Pulang Ke Rahmatullah..

Salam, selamat bertemu kembali…

Di kampong penulis, majlis-majlis kenduri perkahwinan sering diserikan dengan majlis berzanji dan marhaban. Sejak kecil, penulis sering dibawa ayah bersama-sama pak cik-pak cik lain turut sama berzanji dan bermarhaban. Mungkin kerana pendedahan sejak kecil itu, penulis sempat juga belajar kelas berzanji ketika di sekolah menengah, bersama Ust.Tn.Haji Azman Mat Amin, seorang guru yang sangat berpengalaman di SMK Jengka Pusat.. Namun, pembelajaran sekerat jalan, memandangkan ketika itu sudah agak hampir dengan peperiksaan SPM, kami bersepakat untuk berhenti dari mengikuti kelas berzanji itu.

Antara penggerak utama acara berzanji di kampong penulis ialah Tn.Haji Shamsuddin Anjam, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie, Tn.Haji Mat Taha Lingga, Pak Cik Arshad Masran termasuk Haji Harun Ahmad, Haji Ahmad Sulaiman, Haji Ismail Ibrahim dan ramai lagi.. Baru-baru ini, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie telah meninggal dunia. Hilanglah seorang ‘orang penting’ marhaban di kampong penulis. Penulis sekeluarga agak terkejut dengan berita kematiannya memandangkan beberapa jam sebelum itu, beliau rancak berbual dengan ayah penulis ketika mereka bertemu di kedai runcit. Arwah yang dikenali dengan nama panggilan Mat Awi turut menjadi imam di surau An-Nur yang berdekatan dengan rumah penulis.

Terdahulu sebelum itu iaitu beberapa bulan lepas, seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis iaitu Pak Cik Husin Kadiman telah kembali ke Rahmatullah. Pak Cik Husin merupakan seorang yang mahir dengan kerja pendawaian elektrik (wiring). Mungkin hampir semua penduduk di kampong penulis pernah mendapatkan khidmat beliau. Dari kerja pemasangan plag, soket, lampu sehingga pemasangan wayar di dinding rumah telah menjadi permainan beliau sejak bertahun-tahun. Namun, kini beliau tiada lagi..

Seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis ialah Pak Cik Yahya Mansor yang dikenali dengan nama Pak Ya di kalangan penduduk kampong. Kini, beliau tiada lagi. Arwah meninggal dunia juga beberapa bulan lepas ketika masyarakat Jengka heboh dengan wabak Chikungunya. Arwah mendirikan sebuah kedai makan bertentangan dengan rumah penulis. Ia dibuka bermula selepas Subuh hingga kira-kira jam 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan jika ada kenduri. Menu utama?? Segala jenis juadah mee termasuk mee kari, mee goring, mee rebus, mee rojak. Laksa, cucur udang, keropok lekor dan banyak lagi. Namun, yang paling ‘famous’di kedai Pak Ya ialah nasi lemak, mee goring dan ais batu campur (ABC)

Sejak penulis Darjah 1, penulis bersarapan nasi lemak ikan bilis dari kedai Pak Ya berharga 30 sen, kadang-kadang nasi lemak separuh berlauk ayam masak merah berharga 50 sen. Minuman pula, teh tarik yang hanya berharga 60 sen. Ironinya, harga serendah itu tidak berubah langsung sehingga kini, sudah lebih 15 tahun arwah mengekalkan harganya yang sangat membantu perancangan kewangan (untuk makan sarapan) bagi mereka yang anak ramai. Juadah mee kedai Pak Ya juga turut di’promosi’kan penulis kepada guru-guru penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu antaranya Cikgu Sukairi Abu yang tak jemu bertanyakan ‘bila pulak nak makan lagi mee goreng Pak Ya’. Kepulangan Pak Ya ke Rahmatullah pada satu pagi memang mengejutkan semua orang. Masing-masing bersedih dan ada yang menitiskan air mata..

Kenangan bersama ketiga-tiga mereka takkan luput dalam ingatan..

AL-FATIHAH.

p/s : Mudah-mudahan roh Allahyarham Pak Cik Mat Awi, Pak Cik Husin dan Pak Ya akan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..InsyaAllah..