Tuesday, May 25, 2010

ALLAHU AKBAR ; Wilayah Atas Awan di Iran

Salam, selamat bertemu kembali..

Bersama hayati kebesaran Allah..




Monday, May 24, 2010

Pergerakan Himpunan Penyokong UMNO??

Salam, selamat bertemu kembali..

Terlebih dahulu diucapkan sekalung tahniah kepada PAS kerana sekali lagi mengorak langkah menubuhkan satu lagi sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS. Rata-rata pandangan umum memuji langkah berani yang diambil PAS yang satu ketika dulu dituduh sebagai parti ekstrem dan parti pelampau agama. Baca di SINI..

Hal ini menunjukkan PAS merupakan satu parti yang terbuka kepada semua hamba rakyat dan tidak bersifat perkauman seperti mana UMNO. Lama dahulu sejak sebelum merdeka lagi, UMNO menolak cadangan diutarakan Presiden mereka sendiri, Allahyarham Dato'Onn Jaafar yang ingin membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Malah ia menyebabkan tok wan Dato'Hishamuddin Hussien itu akhirnya keluar dari UMNO dan menubuhkan IMP dan seterusnya Parti Negara.

Kini apabila DS Najib Razak yang juga sepupu kepada Dato'Hisham mengutarakan konsep 1 Malaysia, PAS seolah-olah dilihat lebih awal menyambutnya dengan realisasi penubuhan DHPP yang 'menyerap' keahlian bukan Islam ke dalam parti yang memperjuangkan Islam. Mungkin saja ini merupakan salah satu langkah diambil PAS dalam mekanisme dakwah, selain daripada berpidato ceramah, berkuliah tazkirah dan bermuzakarah dan berusrah, juga mekanisme yang baru diwujud baru-baru ini, seperti konsert alternatif, bacaan puisi, teater dan drama..

Siapa tahu hidayah Allah akan diturunkan kepada siapa, kerana Allah berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikendakiNya. Saidina Umar yang ditakuti syaitan itupun 'cair hati' dengan Islam yang syumul selepas mendengar beberapa potong ayat Al-Quran sahaja. Mustahilkah 20,000 ahli DHPP akan terbuka hati dengan Islam menerusi PAS selepas secara rasmi mereka berada dalam 'rumah' PAS???

Cuma, yang meresahkan UMNO-BN, mereka masih tidak berupaya menarik kembali sokongan kaum Cina yang semakin jauh daripada mereka sejak 8 Mac 2008. Mereka sudah berbuat habis cara untuk menarik kaum Cina. Janji pembangunan di Hulu Selangor dan Sibu langsung tidak dijilat oleh mereka, hidu pun tidak. Masakan tidak, lebih 70 peratus undi kaum Cina berpihak kepada PR. Hal ini kerana UMNO-BN sering memain2kan isu perkauman.

Mereka tidak berubah sejak 1969 sehingga kini. UMNO, MCA dan MIC ketiga-tiganya parti perkauman. Sentimen perkauman sebenarnya langsung tidak menjadi isu besar kepada masyarakat Malaysia kini yang berfikiran lebih terbuka dan lebih positif. Dalam PRU 13, penulis percaya dengan yakin, mana-mana parti yang berjuang atas dasar perkauman akan tersungkur ke dalam pasir keangkuhan masing-masing.

Komponen parti PR sudah mempunyai asas yang betul dalam kerangka ini. Secara realiti, lihat sahaja pimpinan dalam setiap parti PR, semuanya mempunyai lebih dari satu bangsa, lebih dari satu kaum, bukan parti untuk satu-satu kaum seperti parti komponen BN. PAS sendiri terlihat Haji Hadi Awang, Hu Pang Chaw dan Balasubramaniam dari DHPP; PKR pula lebih jelas dengan keberadaan Anwar Ibrahim, Tian Chua, Gobalakrishan sementara gandingan DAP seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Tunku Aziz yang dilantik DAP sebagai ahli Dewan Negara.

Dengan situasi segenting ini, UMNO-BN sudah tentu 'ketaq lutut' tambahan pula Sabah dan Sarawak dilihat bukan lagi menjadi fix deposit bagi BN.

Maka, UMNO harus berbuat sesuatu. Tak salah meniru apa yang PAS buat.. Shahrizat Jalil pun sudah mahu tiru kerajaan Kelantan yang memberi cuti bersalin 90 hari.. Jadi, demi menarik sokongan bukan Melayu kepada UMNO, adakah UMNO pula akan mewujudkan sayap Pergerakan Himpunan Penyokong UMNO Malaysia???


p/s : Sekadar pandangan peribadi..

Tuesday, May 18, 2010

Guru Membakar Diri..

Salam, selamat bertemu kembali..

Belum terlambat rasanya..

SELAMAT HARI GURU

Penulis pernah dididik di :

Tabika Kemas Jengka 16 (1992)

SK Felda Jengka 16 (1993-1998)

SAR Al-Huda Jengka 16 (1994-1997)

SMK Jengka Pusat (1999-2005)

RPPP, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur
(2006-2009)

dan pernah mengajar sementara di SMK Jengka 21
(Ogos- Dis 2009)

Tak mampu nak tulis seorang demi seorang nama cikgu-cikgu di sini, cuma ingin penulis mengaku di sini, tanpa
ajaran,
didikan,
tunjuk ajar,
marah,
kritik,
pukul,
rotan,
tarik telinga,
baling duster,
denda berdiri atas kerusi,
denda jalan itik,
duduk bawah meja,
berendam dalam kolam ikan,
berdiri bawah lampu jalan,
dan seribu satu cara lain yang dilakukan oleh guru-guru,
entah siapalah saya pada hari ini..

SELAMAT HARI GURU kepada semua cikgu-cikgu Pak Tam Jengka, terima kasih cikgu, semoga terus tabah mendidik anak bangsa..

SELAMAT HARI GURU paling utama kepada kedua orang tua saya, Ramli bin Din dan Wan bt.Udoh, merekalah guru saya yang paling utama..


p/s : Lama tak jumpa cikgu yang lama-lama

Dengar Sendiri Dari Mulut Mazlan Aliman..


PROGRAM DIALOG DAN PENERANGAN ISU-ISU PENEROKA

bersama YBhg.Saudara Mazlan Aliman
(Presiden ANAK)

Markaz Baitussalam Felda Jengka 16
Jumaat, 21 Mei 2010
Jam 5.00 petang (solat Asar di markaz)

SELURUH GENERASI PENEROKA DIPERSILAKAN HADIR BERAMAI-RAMAI

Penulis ingin mendengar sendiri dari mulut Presiden ANAK ini :

- benarkah dakwaan mengatakan ANAK sebuah pertubuhan yang haram???
- benarkah Mazlan memfitnah Felda melalui bukunya, Felda Dulu Tolong Sekarang Along???
- mengapakah Mazlan dimasukkan ke lokap di IPD Raub???
- apa cerita sebenar kes saman RM11 juta di Kemahang 3???
- benarkah berlaku kes penipuan penggredan sawit di kilang-kilang milik Felda???
- apa cerita sebenar Felda Technoplant dan Akta GSA 1960???
- jika semua dakwaan Mazlan semuanya FITNAH BELAKA, apakah Felda ada mengambil tindakan mahkamah ke atas Mazlan???


p/s : Harapan agar pengurusan Felda bersikap profesional..

Wednesday, May 12, 2010

Inilah Dia Tokoh Melayu Terbilang

Salam, selamat bertemu kembali..

Dari Malaysiakini

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena ulang tahun ke-64 Umno, menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau selama 40 tahun dalam dunia kewartawanan dan dunia politik yang singkat.

Beliau berkata kepimpinan Umno telah menjadikan hidupnya lebih berharga kerana memberi sesuatu yang tidak pernah dicita-citakan sebelum ini. Zainuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu daripada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada majlis sambutan ulang tahun ke-64 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam semalam.

"Saya sekali lagi dilimpahi rahmat Allah untuk mendapat apa yang tidak merupakan cita-cita saya dalam hidup saya daripada awal saya jadi wartawan. Kemudian saya tidak ingat nak menjadi ketua pengarang... saya menjadi ketua pengarang. "Kemudian jadi senator. Setakat itulah saya ingat. Kemudian Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) melantik saya menjadi Setiausaha Parlimen. Setiap tahun saya naik pangkat. Kemudian jadi timbalan menteri dan seterusnya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) melantik saya menjadi menteri penuh. Semua ini adalah di luar buku kehidupan saya," katanya penuh kesyukuran. Zainuddin, 71, berkata anugerah itu juga adalah pengiktirafan kepada Utusan Melayu yang dianggap sebagai universiti beliau.

[Pernahkah anda menonton video liputan Al-Jazeera ketika Himpunan 100 000 Rakyat BERSIH tahun 2007 lalu. Ketika itu, penyampai berita yang mengendalikan slot siaran langsung temuramah dengan Tokoh Melayu Terbilang ini hanya mampu geleng kepala dengan maklum balas yang kurang wajar dilontarkan dari mulut seorang yang bergelar Menteri Penerangan, lihat video berkenaan di SINI]


Saturday, May 8, 2010

Selamat Hari Ibu


SELAMAT HARI IBU KEPADA IBUKU TERSAYANG
Puan Wan Bt.Udoh

juga kepada semua ibu-ibu di luar sana..

Aeman - Buatmu Ibu

Ibu bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tak pula kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat kubalasi akan semua ini
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu

Ibu kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amatlah aku harapkan
Kerana disitu letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasihanilah Tuhan ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana...

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang engkau berikan
Ibu... dengarlah rintih hatiku untukmu ibu


p/s : Ibu....ibu...engkaulah ratu hatiku..

Thursday, May 6, 2010

Malaysia Boleh : Kerajaan Benarkan Rakyat Berjudi Untuk Pertaruhan Kejohanan Piala Dunia 2010

Salam, selamat bertemu kembali..

Rentetan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein dalam Malaysiakini berbunyi kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Beberapa kenyataan Awang Adek dalam isu ini :

Dari Malaysiakini

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.


p/s : Menunggu suara lantang Ibrahim Ali Al-Perkasa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...