Thursday, December 10, 2009

Bercuti Panjang Demi Ayahanda Tercinta

Salam, selamat bertemu kembali..

Penulis bercuti panjang dari menulis blog ini kerana ayah penulis jatuh sakit pada awal pagi hari kedua umat Islam merayakan Aidiladha 28 November lalu. Ayah penulis mengadu sakit di bahagian dalm perut pada jam 1.00 pagi hari Sabtu lantas dikejarkan ke Hospital Jengka. Sejam kemudian, dikejarkan pula ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS). Beliau dimasukkan ke Wad Kenanga 8 kira-kira jam 2.40 pagi.


Mengikut penerangan doktor, ayah menderita sakit usus (rektum). Oleh kerana situasi ayah yang agak serius, doktor menasihati agar pembedahan dilakukan segera. Jadi pada pagi esoknya, 29 November kira-kira jam 9.00 pagi, ayah dimasukkan ke dewan bedah. Pembedahan mengambil masa kira-kira 3 jam. Kami 8 beradik, termasuk ibu penulis serta beberapa orang jiran terdekat setia menunggu di ruang legar dewan bedah. Setelah pembedahan selesai, ayah dimasukkan semula ke wad kira-kira jam 12.40 tengahari.

Selepas berada di wad 3 hari, akhirnya ayah dibenarkan pulang ke rumah. Kini, walaupun ayah sudah semakin sembuh, namun ayah masih perlu berehat panjang. Kata ibu, ayah mula bekerja sejak berumur 15 tahun lagi. Ayah sekarang berusia 62 tahun. Ertinya sudah 47 tahun ayah bekerja. Mengikut cerita nenek, ketka di kampung dulu, untuk mencari rezeki, ayah pernah berbasikal menjual ikan dari kampung ke kampung, mengambil upah menanam padi selain mengerjakan sawah seluas 4 relung milik ibu penulis.

Tahun 1976, ayah, ibu serta abang sulung penulis (Allahyarham) berkelana ke Felda Wilayah Jengka dan ditempatkan di Jengka 16, rumah kami sekarang. Sejak itu kata emak, ayah tak pernah berhenti bekerja untuk keluarga membesarkan kami 8 beradik. Jasa ayah dan ibu terlalu besar. Sering bergolok bergadai untuk keperluan anak-anak. Sepotong ayat pernah terpacul dari mulut ayah sebelum tiba STPM tahun 2005, "..Kalau sebab nak belajaq..hang mintak RM1,000,000 (sejuta ringgit) pun ayah akan cari..".

Ayat itu akan penulis kenang hingga akhir hayat..

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, ayah semakin sembuh.. Mudah-mudahan keadaan ayah akan kembali sihat seperti sedia kala.

Biarlah kami pula, anak-anak yang bekerja untuk ayah..

Sekalung perhargaan dan terima kasih kepada semua doktor dan petugas jururawat Wad Kenanga 8,HoSHAS, rakan-rakan ayah,masyarakat Jengka 16, jiran-jiran serta kenalan, Pak Teh (Nazri Amin J.11), Cikgu Sukairi dan lain-lain yang sudi melawat ayah di hospital tempoh hari. Terima kasih juga kepada kawan-kawan penulis, Cikgu Zaidi, Kirul Fahmi, cikgu-cikgu SMK Jengka 21 dan lain-lain yang sudi menelefon atas dasar keprihatinan mengenai ayah penulis. Terima kasih atas doa kalian..

Terima kasih semua..



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...