Tuesday, September 1, 2009

Kemerdekaan Rakyat : Apakah Penanda Arasnya??

Salam, selamat bertemu kembali..

Merdeka, merdeka, merdeka...

Ungkapan keramat yang sentiasa diulang-ulang tatkala 31 Ogos kian menjelang. Semalam, ia bergema lagi di seluruh negara Malaysia, bumi bertuah bagi kira-kira 27 juta umat manusia, meraikan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 52..

Kemerdekaan Tanah Melayu diisytihar oleh Tunku Abdul Rahman Putra, 52 tahun lalu di Stadium Merdeka yang menggamit memori itu. Bermula dari detik itu, kerajaan melakukan pelbagai perkara bagi memastikan rakyat terbela dan dibela. Namun, di sebalik tema @ motto sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan itu, kita masih tidak dapat meletakkan penanda aras, apakah yang menunjukkan rakyat itu sudah merdeka??

Adakah dengan terbinanya pembangunan mega berbilion-bilion itu saja dianggap rakyat telah merdeka?? Adakah dengan mampunya beberapa orang rakyat dapat menjejak kaki ke bulan, berenang merentasi Selat Inggeris, menakluk punca Everest atau belayar mengelilingi dunia itu sahaja dianggap rakyat telah merdeka?? Adakah dengan dua tiga orang tokoh Melayu dapat menempatkan diri sebagai antara 10 yang terkaya di Malaysia sudah boleh dianggap rakyat telah merdeka?? Ini perlu kita perlu fikirkan bersama...

Logik akal menjelaskan negara ini sudah mampu memberi kemerdekaan sebenar kepada rakyatnya kerana sudah berusia 52 tahun, sudah separuh abad. Jika Malaysia ini seorang manusia, entah berapa orang cucu dapat ditimangnya. Negara yang punya hasil mahsul melimpah ruah, dan dikurniakan bumi dan tanah yang subur, serta kedamaian dan keamanan sudah pasti dapat diurus dengan bijaksana, dan manfaat ini dapat ditebarkan kepada seluruh rakyat yang 27 juta itu, tanpa kecuali..

Namun, memikirkan nasib entah berapa ribu nelayan dan petani miskin, entah berapa puluh ribu mahasiswa/mahasiswi yang masih terbeban dengan hutang PTPTN, entah berapa ramai pula yang tidak dapat bersekolah lantaran ibu bapa tiada wang, entah berapa kampung yang tiada bekalan air dan elektrik dan banyak lagi kemusykilan yang berlaku ketika ini.. Ke manakah wang negara? Tidakkah mencukupi untuk membantu mereka ini?? Pada pandangan semua, jika ditanya kepada petani miskin yang terpaksa ikat perut untuk mencari rezeki,

"..Adakah pak cik merasa merdeka tinggal di negara ini..?", agak-agak apa jawapannya..

Perlu diingat bahawa segala keperluan asas di bahtera Malaysia ini ialah tanggungjawab dan kewajipan kerajaan, tak kiralah siapa pun nakhodanya.. Jadi, jika sudah 52 tahun merdeka pun, masih ada kampung yang tiada bekalan air, masih ada rumah yang tiada talian elektrik dan masih ada jalan kampung yang berdebu ketika terik panas dan becak ketika hujan lebat, adalah sesuatu yang janggal bagi sebuah negara bernama Malaysia. Jika dunia luar tahu akan perkara ini dan mereka melihatnya dengan mata hati, nescaya semua ini akan dituding kepada kerajaan.

Keharmonian dan keamanan yang dikurniakan Allah kepada seluruh umat Malaysia wajar disyukuri oleh semua di mana pelbagai kaum dapat hidup bersama dan bersatu padu. Namun, insiden Mengarak Kepala Lembu di Shah Alam sehari sebelum merdeka yang lalu itu wajar difikir panjang oleh semua. Mengapa setelah 52 tahun, masih ada sentimen perkauman dan agama sebegini. Kemarahan dan ketidakpuasan hati memanglah lumrah, namun tindakan sekumpulan berkenaan sangat tidak wajar, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Semalam Menteri PDNKK, Dato'Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekali lagi kenaikan harga minyak sebanyak 5 sen. Mungkin alasan kerajaan boleh diterima dan agak realistik memandangkan situasi semasa harga minyak dunia. Namun, apakah tiada formula di pihak kerajaan untuk menstabilkan harga minyak di Malaysia kerana negara ini merupakan pengeluar minyak dunia. Di pihak pembangkang (Anwar Ibrahim) pula, mereka cukup yakin dan komited untuk menurunkan harga minyak sejak dahulu lagi..

Sewajarnya, pihak kerajaan mengadakan perbincangan, forum, mesyuarat dengan mereka, bagi meminta pendapat bagaimana caranya untuk menurunkan harga minyak.. Rasanya DSAI telah memberi beberapa cadangannya ketika Debat Perdana bersama Ahmad Shabery Chek, setahun yang lalu.. Mungkin ketika ini, saranan ini kurang praktikal memandangkan ada pihak dengan begitu lantang menuduh DSAI sebagai pengkhianat negara, masakan mereka mahu mendengar cadangan bekas TPM itu..

Kerajaan mempunyai tanggungjawab cukup berat dalam usaha meMERDEKAkan rakyat, walaupun usianya sudah 52 tahun.. Harapnya jangan jadi seperti parti pemerintah Jepun, yang tumbang selepas berkuasa 54 tahun.... mungkin kerana parti berkenaan gagal meMERDEKAkan rakyatnya..

p/s : Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 52..

Wednesday, August 26, 2009

Tahniah YB Haji Mohd.Salleh Man

Salam, selamat bertemu kembali...


Sekalung tahniah diucapkan kepada ADUN Permatang Pasir yang baru, YB Ustaz Haji Mohd.Salleh Man. Semoga tanggungjawab terbaru beliau ini, dapat dipikul dengan penuh amanah, insyaAllah..

Banyak sekali pengajaran yang boleh dikutip sepanjang tempoh pilihanraya ini, baik di pihak Pakatan Rakyat mahupun UMNO-Barisan Nasional...

Salam tahniah sekali lagi, buat YB..

p/s : Akan ada lagikah pilihanraya kecil selepas ini?

Monday, August 24, 2009

Tak Guna Kita Berpuasa Jika....

Salam Ramadhan Al-Mubarak...

Pertamanya selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak, Bulan yang penuh dengan keberkatan...


Bermula kelmarin, umat Islam seluruh dunia menunaikan ibadat puasa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT, kita meneruskan amalan yang telah dilakukan oleh umat-umat sebelum kita, seperti yang telah disebut oleh Nya dalam Al-Quran..Namun, sebenarnya ada beberapa perkara yang penulis rasa kita perlu berfikir demi kebaikan bersama :

Jika dilihat pada masyarakat sekeliling, amalan berpuasa sekadar dilihat sebagai ikut-ikutan. Orang berpuasa, kita berpuasa. Kalau tak puasa, nanti malu pada orang.. Itu yang sering kita dengar.. Ada juga yang sekadar puasa, tapi tak solat lima waktu, padahal solat itu yang lebih utama dan datang lebih dahulu dari puasa dalam urutan rukun Islam yang lima itu.. Memang benar, tak guna kita letih berpuasa seharian, tetapi tak tunaikan solat lima waktu..

Ada juga yang cukup rajin ke solat terawih tetapi Isyak pun tak solat.. Padahal terawih itu hukumnya sunat, Isyak itu yang hukumnya wajib.. Inilah hakikat yang berlaku bukan sahaja kepada anak muda bahkan ada juga di kalangan para 'datuk'. Banyak hal seperii ini yang berlaku dalam kehidupan masyarakat kita sekarang ini..

Dalam kalangan perempuan pula, ada yang berpuasa dengan cukup bagus, tetapi sepanjang hari mendedahkan aurat di khalayak ramai. Tudung tak pakai, baju ketat singkat nampak pusat, seluar ketat dan sendat, bahkan ada yang berpeluk-pelukan dengan teman lelaki ketika membeli juadah di bazar Ramadhan..Astaghfirullah...


Bagaimanalah puasa mereka di sisi Allah, wallahua'lam.. Kita kaum lelaki ni yang seksa, terpaksa me'natap' mereka-mereka ini... Tinggal kurus pahala kita..

p/s : Selamat berpuasa kepada semua..

Thursday, August 20, 2009

Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Salam, bertemu kembali..



Mafhumnya:

"..Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.."

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)


Daripada rumah kayu ini :

Kepada banglo ini :


Subhanallah... Allahu Akbar..

Maka, benarlah janji Allah yang menjanjikan bahawa barangsiapa di kalangan hambaNya yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan melepaskannya dari masalah hidup, dan Allah juga akan memberikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak terlintas di hatinya..

Begitulah keajaiban Allah yang menurunkan keadaan yang serupa kepada adik Nik Madihah.. Semoga beliau terus mencipta kejayaan sebagai muslimah sejati yang dibanggakan seluruh umat Islam..

Takbir..!!!

Tuesday, August 18, 2009

Bergelar Pemegang Sarjana Muda Akhirnya

Salam semua, selamat bertemu kembali..

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kepada Allah SWT, Tuhan Pemerintah Sekalian Alam..

Setelah kira-kira 17 tahun mengerah tenaga dan minda, menimba ilmu di pelbagai lapangan pendidikan, bermula pada tahun 1992 di Tabika Kemas Jengka 16, kemudian bersekolah rendah dari 1993 - 1998 di SK Jengka 16, bersekolah menengah dari 1999 - 2005 di SMK Jengka Pusat dan menimba pengetahuan dari 2006 - 2009 di Universiti Malaya, akhirnya pada Khamis lalu, lebih tepat lagi pada tanggal 13 Ogos 2009, penulis berjaya juga memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Perbandaran dan Perancangan).

Satu lagi sejarah keluarga telah tercipta bila mana penulis merupakan yang pertama dari 8 beradik yang berjaya menggenggam Sarjana Muda, sebelumnya abang penulis telahpun berjaya meraih Diploma Perakaunan dari UiTM pada tahun 2002.

Sesungguhnya tanggungjawab semakin berat sedang dipikul di pundak penulis, baik tanggungjawab kepada keluarga mahupun kepada masyarakat sekeliling. Namun, tanggungjawab kepada Allah dan diri sendiri lebih besar dari segala-galanya.. Mudah-mudahan Allah SWT membantu kita meredah ombak kehidupan yang semakin membadai kini.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengungkapkan terima kasih tidak terhingga kepada kedua ibu bapa penulis, Ramli b.Din dan Wan Bt.Udoh atas pengorbanan mak dan ayah yang terlalu besar. Sudah berpuluh tahun mak dan ayah berhempas pulas memerah keringat bagi melihat anak yang seorang ini berjaya.. Terima kasih mak.. terima kasih ayah..

Terima kasih juga kepada ratusan warga pendidik, cikgu-cikgu, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah dan semua pensyarah yang pernah mencurah ilmu dan pengalaman kalian kepada penulis, sejak dari penulis di tadika hinggalah ke menara gading.. Terima kasih banyak-banyak..

Tidak lupa juga kepada keluarga penulis yang sangat banyak membantu. Sekalung penghargaan ditujukan kepada abang-abang, kakak-kakak dan adik yang banyak membantu.. Terima kasih tak terhingga kepada Kak Jah dan Abang Mat di Gemencheh, Abang Ya dan Kak Mas di Sepang, Kak Sidah dan Abang Adi di Felda Tembangau, Abang Jai dan Kak Na di Jengka 19, Abang Zaidi di Jengka 16 yang rela berkorban apa sahaja seterusnya kepada adik penulis, Shukri dan anak buah, Amiruddin yang selalu menceriakan suasana.. Budi baik dan pengorbanan kalian, hanya Allah sahajalah yang dapat membalasnya.. Al-Fatihah kepada abang sulung penulis, Allahyarham Azizan bin Ramli.. Terima kasih abang, semoga rohmu tenang di sisiNya..

Kepada rakan-rakan penulis, terutamanya di RPPP, di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, di Kolej Kediaman Ketiga, rakan-rakan di Universiti Malaya dan rakan-rakan bekas pelajar SMK Jengka Pusat, terima kasih banyak-banyak atas tunjuk ajar dan nasihat kalian.. Kepada mereka-mereka yang tak dapat penulis coretkan di sini, semoga budi baik kalian dibalas dengan kerahmatan dan kurniaan setimpal di sisi Allah SWT..

Terima kasih semua..

p/s : Gambar-gambar konvo menyusul kemudian..

Thursday, August 6, 2009

Himpunan Mansuhkan ISA




Salam, selamat bertemu kembali..

Sudah seminggu Himpunan Mansuhkan ISA berlalu, baru ini kesempatan untuk penulis mencoretkan sesuatu mengenai peristiwa bersejarah ini.

Penulis sebenarnya tidak dapat turun bersama dengan ribuan rakyat di Kuala Lumpur 1 Ogos lalu. Atas bantahan kedua orang tua yang berkeras tidak membenarkan penulis ke himpunan tersebut memaksa penulis berdemo sendirian di Jengka.. Apapun sempat juga merasai roh 'bantahan ISA' dalam ceramah Kak Laila dan Ust.Suhaimi Saad di Jengka 20 beberapa hari sebelum itu..

Gambar di bawah ini pula menjadi saksi betapa segenap lapisan rakyat membantah akta zalim ISA. Pemuda yang memakai lilit kepala ISA AKTA ZALIM ini ialah Sdr.Rozi Idris, (tiga dari kiri) anggota Unit Amal Kawasan Kuala Krau, yang juga sahabat sekampung penulis.


Kami generasi muda berbangga dengan perjuangan mu wahai sahabat hingga memaksa mu berkampung sementara di Kem FRU Cheras. Semoga semua ini menjadi pengalaman dan peniup semangat kepada kami generasi muda yang sudah tentu akan membawa angin perubahan yang besar pada masa akan datang.. Tahniah Rozi..

ISA AKTA ZALIM

p/s : Dapat tahu rentetan peristiwa tangkapan besar-besaran lebih 500 rakyat secara detail dari sahabat..

Wednesday, July 29, 2009

Permohonan Maaf Utusan Malaysia Kepada Tok Guru Nik Aziz

PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.


Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu. Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.

Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.


p/s : Takbir, Allahu Akbar..

Tuesday, July 28, 2009

Kem Ibadah SAR Al-Huda Jengka 16

Salam, selamat bertemu kembali..

Pada malam 24hb Julai lepas, penulis berkesempatan memberi sedikit pengisian dalam kem ibadah yang dianjurkan oleh sekolah lama penulis, SAR Al-Huda Felda Jengka 16.







p/s : Terima kasih kepada Ust.Hj.Harun Ahmad (mudir), Ust.Hj.Ahmad Sulaiman serta seluruh tenaga pengajar di SAR Al-Huda Jengka 16.

Friday, July 24, 2009

Respon Dato'Noh Omar Terhadap Komen Saya

Salam, bertemu kembali..


Menjengok blog Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Noh Omar, penulis menghantar komen mengenai satu posting beliau bertajuk Larangan Pegawai Pertanian Hadiri Mesyuarat Di Negeri Pembangkang.

Berikut komen penulis dan komen balas Dato'Noh Omar..
Pak Tam Jengka said...

salam dato'

secara dasarnya saya memahami apa yang dato' katakan bahawa kerajaan PR tak memberi kerjasama kepada kementerian dato'. saya juga sedar saya seorang yang masih cetek pengetahuan berbanding dato' yang sudah lama dalam politik dan kerajaan.

namun, sebagai seorang rakyat biasa, izinkan saya meluahkan apa yang ada di hati saya. apabila dato'mengumumkan larangan itu, adakah dato'mengambil kira kepentingan seluruh rakyat jelata. di selangor contohnya, walaupun ia kerajaan PR tetapi masih ramai rakyat Selangor yang menyokong BN..

begitu juga di negeri johor.walaupun ia kerajaan BN, ada juga rakyat Johor yang menyokong parti PR.

Pada pandangan saya, larangan ini menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa. sungguhpun perbalahan politik itu tak dapat dielakkan, rakyat sangat berharap agar mereka tidak di'mangsa'kan..

jika larangan ini berkuatkuasa, maka peruntukan di negeri PR akan melalui UPEN masing2, ada kemungkinan langsung tiada peruntukan, rakyat menunggu peruntukan dari pusat pula, pun tidak ada kerana larangan telah dikeluarkan..

jadi siapa jadi mangsa, rakyat...

jika kerajaan pusat bertolak ansur dengan kerajaan PR, beri apa yang patut tanpa kira fahaman politik, saya yakin BN akan kembali dapat kepercayaan rakyat pada PRU akan datang..

Tetapi jika pusat terus menerus meminggirkan rakyat di negeri PR, rakyat akan terus membenci BN..

maaf dato' jika kata2 saya agak kasar dan tak beradap..

hanya luahan dari rakyat biasa..


Noh Omar said...

Terima kasih kepada semua atas komen-komen yang diberikan.

kepada Pak tam Jengka :
Larangan ini tidak akan mengenepikan hak rakyat yang perlu kita bela.Kerajaan BN sentiasa prihatin dan akan terus membela rakyat.Yang pentingnya rakyat perlulah berterima kasih kepada BN.Janganlah tangan yang menghulur dikerat pula..

Terima kasih dan tahniah Dato'..

Walau apapun, saya hormat Dato' kerana sudi melayani komen dalam blog dari seorang rakyat biasa..bukan macam sesetengah ahli politik yang langsung tak 'update' blog, macam2 'haiwan' dah ber'sarang' kat situ..hehe


p/s : Ahli politik yang sudi layan rakyat biasa..

Thursday, July 23, 2009

SMK Jengka Pusat : 30 Tahun Menyusuri Kegemilangan


SMK Jengka Pusat
30 Tahun Menyusuri Kegemilangan
Kemahuan Asas Kejayaan
(1979 - 2009)

Blogger Pak Tam Jengka mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun Ke-30
Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat
(SMKJP)

En.Abdul Razak Ahmad

(02.01.1979 hingga 31.12.1979)


En.Fadzilah Mohd.Noor

(01.01.1980 hingga 31.03.1982)


Tn.Hj.Abas Awang

(01.04.1983 hingga 15.06.1984) kini Ketua Penerangan PKR Pahang


En.Othman Busu

(16.06.1984 hingga 15.04.1986)


En.Yau Hock Leong

(16.04.1986 hingga 30.09.1986) memangku


Tn.Hj.Kamaruzzaman Abd.Hamid

(01.03.1987 hingga 28.02.1991)


Tn.Hj.Ibrahim Omar

(01.03.1991 hingga 08.01.1993) memangku


Pn.Hjh.Hamedah Wok Awang

(09.01.1993 hingga 16.11.1994)


Tn.Hj.Ibrahim Omar

(17.11.1994 hingga 1.12.1994)


Tn.Hj.Omar Dollah

(01.02.1995 hingga 16.06.1995) memangku


Pn.Noraini Bakar

(17.06.1995 hingga 31.08.1995)


Tn.Hj.Mamat Abdullah

(01.09.1995 hingga 15.11.1995)


Pn.Hjh.Noraleena Abas

(16.11.1995 hingga 01.04.1998)


Tn.Hj.Nayan Bakar

(02.04.1998 hingga 30.04.1999) kini Pengetua di Langkawi


Pn.Hjh.Zabedah Osman

(01.05.1999 hingga 15.01.2003) kini Pegawai PPD Rompin


Pn.Zainab Mat Wazir

(16.04.2004 hingga sekitar 2007 )


Pn.Hjh.Hafidzah Jono

(sekitar 2007 hingga Kini)


Pengiktirafan SMK Jengka Pusat sebagai penerima Anugerah Sekolah Bestari FELDA baru-baru ini sangat signifikan dengan ulangtahun ke 30 penubuhannya..

Semoga SMK Jengka Pusat terus sukses di masa akan datang.


Lagu Sekolah : SMJP TERCINTA


SMJP

Sekolah yang tercinta

Berdiri megah di tengah desa

Untuk mendidik anak-anak bangsa

Menjadi insan yang berguna

Pada agama nusa dan bangsa


SMJP

Kau lambing kemegahan

Kejayaan jadi kebanggaan

Dengan cogannya ke arah wawasan

Kemahuan asas kejayaan

Berazam capai kecemerlangan


SMJP

Kami tetap setia

Menuju ke era baru

Menuju ke era baru


Penulis lirik : Faizah Mohd.Nor

Pencipta Lagu : En.Mohd.Salleh Mat Nor

Lagu Dicipta : 1993


Facebook Produk Israel ???

Salam..

Tahukah anda bahawa Facebook telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD300 juta pada tahun 2008? Ini tidak menghairankan kerana ia disokong oleh 140 juta pengguna aktif di seluruh dunia dan sejumlah 8.5 juta foto dimuat turun setiap hari.

Tahukah anda bahawa pengasas Facebook, iaitu Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi-Amerika dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County , New York ?

Tahukah anda bahawa Mark Zuckerberg semasa menuntut di Universiti Harvard telah menggodam laman sesawang universiti untuk mendapatkan profail peribadi para pelajar tanpa kebenaran mereka? Maka, adakah jaminan terhadap profail peribadi para pelanggan Facebook tatkala kini beliau adalah merupakan CEO-nya?

Tahukah anda bahawa Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara 'tokoh paling berpengaruh dunia 2008, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama?

Tahukah anda bahawa majalah Forbes Top 400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008? Namun apa yang lebih penting, Zuckerberg merupakan individu termuda pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1..5 billion.

Tahukah anda bahawa Mark Zuckerberg, CEO Facebook adalah merupakan seorang ahli aktif kepada sebuah pertubuhan persaudaraan Yahudi Amerika Utara, Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi)?

Sedikit Info tentang AEPi:


1) Diasaskan untuk membantu lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya.

2) Ia juga bertujuan untuk mengekal dan menguatkan hubungan sesama Yahudi diperingkat sekolah tinggi dan di bidang pekerjaan nanti...

3) Mengekalkan idealisme Yahudi supaya terjaga di sudut nilai, etika, dan menyiapkan peserta untuk menjadi pemimpin negara dan organisasi Yahudi pada masa depan dan dalam pelbagai lapangan bidang profesional.

4) Mark Zuckerberg termasuk dalam senarai alumni AEPi yang masyhur namanya.

5) AEPi berkait secara langsung dengan Israel melalui Ikatan Inisiatif Israel

6) AEPi sangat berkait rapat dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi/Zionis antarabangsa seperti AIPAC, Hillel, Israel on Campus Coalition, Aish HaTorah, Chabad on Campus, Hasbara Fellowships, B'inai Brith International, Shaare Zedek, Chai Lifeline, Holocaust Museum, dan Gift of Life.

Dan tahukah anda bahawa keuntungan Facebook datang daripada iklan-iklan yang dipapar. Semakin banyak pengguna dan pengunjung Facebook, maka semakin banyak pulalah keuntungannya. Pergi ke manakah pula semua keuntungan tersebut?

Persoalan paling besar di sini ialah, adakah keuntungan besar yang diperolehi oleh Facebook turut digunakan untuk membiayai dana perang Israel menentang umat Islam di Gaza, Palestin dan umat Islam di seluruh dunia?

Diambil dari http://catatanseoranginsan.blogspot.com/2009/07/facebook-milik-siapa.html


p/s : Fikir-fikirkanlah..

Tuesday, July 21, 2009

Siapa Ismail bin Hashim..?


Salam, selamat bertemu kembali..


Dato' Hj. Ismail bin Hashim

Qari Pertama Menjadi Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Sebanyak 9 Kali Diperingkat Kebangsaan.

Qari Pertama Menjadi Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Sebanyak 8 Kali Diperingkat Antarabangsa.


Dato' Hj. Ismail bin Hashim dilahirkan pada 16 April 1933 di Jerlun, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran ke Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Seterusnya, pada tahun 1947 beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Star.

Nama Allahyarham Dato' Ismail b. Hashim tidak asing lagi dalam Majlis Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan ayat suci al-Quran bukan saja dikagumi masyarakat tempatan malah masyarakat Islam di luar negara. Selepas pertama kali diadakan musabaqah membaca Al-Quran pada tahun 1956, Allahyarham merupakan satu-satunya Qari pertama yang menjadi johan sebanyak sembilan kali di peringkat Kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa.

Allahyarham merupakan peserta tunggal negara yang telah mencapai peringkat tertinggi dalam pertandingan musabaqah al-Quran. Allahyarham juga merupakan anak Melayu pertama dimana bacaan al-Qurannya telah disiarkan secara langsung di televisyen dan radio Sudan semasa beliau melawat negara tersebut pada tahun 1966 dan kemudiannya di Mesir pada tahun 1976. Allahyarham yang bersara daripada jawatannya sebagai Nazir Sekolah Agama Kedah pada tahun 1988, pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Negara Thailand untuk memperdengarkan bacaan al-Qurannya pada Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Bangkok pada tahun 1963.

Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya beliau telah dianugerahkan Johan Setia Mahkota (J.S.M) dan Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang DiPertuan Agung serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K), Perkhidmatan Setia Kedah (P.C.K), Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis. Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Ogos 1997 kerana mengidap sakit jantung ketika Allahyarham berusia 64 tahun.

Sumber : http://www.mykedah2.com/20hall_fame/201a_8.htm

Penulis sedang mencari-cari rakaman suara Allahyarham ketika mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran secara tarannum.. Kata mak ayah penulis, suara Allahyarham memang tiada tolok bandingnya dengan qori-qori ketika ini..

Siapa boleh bantu penulis dapatkan rakaman video/mp3 tarannum Allahyarham? Penulis tak jumpa cari dalam internet..

p/s : Dalam Youtube, hanya ada satu rakaman tarannum Allahyarham, tapi suaranya kedengaran kurang jelas..tolonglah pelayar sekalian, bantu saya, huhu

Monday, July 20, 2009

Israk Wa Mikraj

Salam bertemu kembali..

Hari ini merupakan hari Israk Mikraj yang merupakan salah satu peristiwa besar dalam Islam. Setiap 27 Rejab, umat Islam seluruh dunia, Malaysia terutamanya akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memperingati hari bersejarah ini. Khutbah Jumaat akan berkisar tentang peristiwa Israk Mikraj, manakala ceramah-ceramah di surau-surau dan masjid-masjid juga kebiasaannya akan me’mutar’ kronologi dan peristiwa ketika Nabi s.a.w dibawa Jibril a.s bertemu Allah s.w.t di Sidratul Muntaha.

Antara peristiwa yang penting ketika Baginda di’mikraj’kan ke langit ialah apabila bilaman abaginda digambarkan diganggu oleh satu suara di kiri dan kanan baginda ketika perjalanan baginda untuk bertemu Allah. Tetapi, baginda Nabi tidak menoleh dan tidak menghiraukan sebarang panggilan dan usikan berkenaan. Usikan berkenaan sebenarnya datang dari iblis, puak Yahudi dan Nasrani yang selalu mengganggu manusia hinggalah ke hari ini.

Gambaran yang diterjemahkan pada masa itu, benar-benar berlaku sekarang, di mana umat Islam sedikit demi sedikit akan mengikut cara Yahudi dan Nasrani dalam menjalankan kehidupan seharian di atas dunia ini. Secara umumnya, banyak perbuatan dan perlakuan kita hari ini, bukan berlandaskan ajaran dan syariat Islam sebenar yang dibawa Nabi s.a.w. bermula dari bangun tidur di awal pagi hingga masuk tidur di lewat malam.

Dalam amalan seharian, berapa banyak pula amalan yang telah kita terikut-ikut dengan cara Yahudi dan Nasrani. Bukti paling jelas ialah apabila kita melihat program-program di televisyen hari ini. Hampir 24 jam, rakyat Malaysia dihiburkan, dilalaikan dan dialpakan oleh media sehinggakah tiada masa untuk kita termasuklah pemimpin kita, untuk memikirkan permasalahan umat Islam. Program-program ini sebenarnya melalaikan masyarakat, terutamanya anak-anak kecil yang masih bersekolah. Inilah permainan Yahudi dan Nasara, sedikit-sedikit umat Islam hanyut ke dalam perangkap mereka..

Bagaimanalah agaknya nasib kita umat Islam dalam keadaan masa semakin suntuk menuju ke akhir zaman..semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan yang beriman kepadaNya..Amin..

SELAMAT MENYAMBUT ISRAK MIKRAJ..


Thursday, July 16, 2009

Manek Urai : Sekadar Ulasan..

Salam buat semua..


Di laman-laman maya, laporan warta berita, topik sembang di kedai kopi sehingga ke café hotel 5 bintang di ibu kota, para penyokong akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi, semuanya masih dalam ‘mood’ PRK Manek Urai (MU), Selasa lalu berikutan keputusannya yang sangat memeranjatkan kedua-dua belah parti bertanding.

UMNO-BN masih terkejut kerana mendapat pertambahan undi yang begitu besar, hampir 900 undi. Pas juga masih ke’hairan’an kerana pengurangan undi yang agak banyak juga, hampir 400 undi. Pada 8 Mac 2008, calon BN mendapat 4,394 undi dan ia bertambah sebanyak 889 undi pada Selasa lalu menerusi calonnya, Tuan Aziz Tuan Mat. Pas pula pada PRU-12 menerusi Allahyarham Ismail Yaacob memperoleh 5,746 undi dan ia berkurang sebanyak 398 undi Selasa lalu melalui calonnya, Abe Uji yang memperoleh 5,348 undi.

Kemenangan sudah nyata masih berpihak kepada Pas namun yang masih menjadi perdebatan hangat semua pihak ialah berkenaan majoriti undi yang berkurang begitu banyak, iaitu 1,287 undi..!! Perlu diingat bahawa inilah pertama kali UMNO-BN berjaya mengurangkan majoriti kemenangan pihak lawan sejak 5 siri PRK dilangsungkan di semenanjung Malaysia, bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti. Walaupun kalah, UMNO-BN sudah bertepuk sorak kerana kejayaan mereka yang berjaya juga menggugat kekuatan Pas di kubu kuat mereka.

Sebagai seorang rakyat biasa, penulis juga turut sedikit sebanyak mengikuti perkembangan pada hari berkempen dan sebelum hari pengundian Selasa lalu. Terasa sedikit kepelikan dan kejanggalan yang berlaku apabila seorang pemimpin Pas Kelantan mengatakan Timb.Presiden Pas, Ust.Nasharudin Mat Isa segan untuk datang ke Manek Urai, sedangkan rupa-rupanya MP Bachok itu berada di hospital, menjalani rawatan.. Pada fikiran masyarakat umum, takkanlah pemimpin Pas berkenaan tak tahu yang Ust.Nasha berada di hospital..?? Persoalan ini yang bermain di benak fikiran rakyat..

Seorang lagi pemimpin Pas pula menegaskan hanya gambar TG Nik Aziz sahaja dibenarkan untuk dipamer di Manek Urai.. Mengikut ulasannya, pemimpin Pas itu berpendapat hanya gambar TG mempunyai lebih nilai komersial.. Benarkah begitu..?? (tak dapat jawab, penulis bukan orang Kelate).

Mungkin penulis tidak layak untuk mempersoal dan mengkritik sesiapa yang nyata lebih arif dalam selok belok politik. Rakyat sedang memerhati dan melihat tingkahlaku serta tutur kata dari pemimpin mereka. Penulis berkata bukan untuk menunjuk pandai. Cuma kita bercakap dan meluahkan kekecewaan dan kekesalan seperti mana yang dikeluh-kesah oleh masyarakat umum di luar sana. Ini sebenarnya hakikat, lebih-lebih lagi kepada golongan muda dan pengundi atas pagar yang pasti memainkan peranan sebagai suara terbanyak dalam PRU-13 nanti..

Beberapa penganalisis politik nyata senada apabila merumuskan keputusan PRK Manek Urai telah menyaksikan golongan muda dan pengundi atas pagar telah menolak Pas sehingga majoriti undi berubah dengan begitu mendadak. Yang menyelamatkan Pas ialah undi pengundi dewasa dan pengundi veteran. Bolehkah kita mengharapkan undian dari saluran 1 dan 2 lagi..? sedangkan hampir 6 juta pengundi muda bakal menentukan hala tuju pemerintahan negara ini menjelang PRU-13.

Apapun sekalung tahniah kepada YB Haji Mohd.Fauzi Abdullah, ADUN Manek Urai yang baru. Semoga terus bekerja untuk Islam dan kemaslahatan ummat. Kepada semua yang bergelar pemimpin, ingatlah bahawa rakyat memerhatikan anda. Pendirian dan tindakan bijak pemimpin ditagih, kebijaksanaan dan strategi parti perlu diperkukuh, kepercayaan rakyat jelata perlu diraih, barulah sebuah kerajaan yang saling memerlukan, antara rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan rakyat dapat direalisasikan.

p/s : Selamat menjalankan tugas kepada Abe Uji..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...