Setelah gah di persada Piala Malaysia selama 2 tahun berturut-turut, juara bertahan merangkap pasukan ‘favourite’ penulis, Kedah akhirnya tersungkur jua dalam saingan Piala Malaysia apabila gagal layak sebagai 8 pasukan terbaik untuk beraksi di pusingan suku akhir piala tertua negara itu.. Sungguhpun menampilkan persembahan bertenaga membelasah Pulau Pinang 4 – 0 malam tadi, kemenangan pasukan Kuala Muda Naza ke atas gergasi merah, Selangor menutup terus intaian Kedah ke suku akhir..
Kedah sudah melakukan sedaya upaya mereka. Benar telahan penulis dalam artikel petang semalam (yang disiarkan petang ini), Kedah perlu menang dengan jaringan besar bagi mencerahkan peluang itu. Kedah berjaya melakukannya, menang dengan jaringan besar ke atas Pulau Pinang. Namun, sangkaan dan ramalan peminat yang mengharap Kuala Muda Naza, Perlis dan Perak tewas teruk kepada lawan masing-masing jauh tersasar. Kuala Muda Naza dengan tidak disangka-sangka berjaya menumbangkan juara tiga piala musim ini, Selangor dengan gol tipis 3 – 2, manakala Perak pula sekadar seri dengan 1 – 1 dengan Johor FC manakala Perlis pula berjaya menewaskan Plus FC dengan jaringan 1 - 0.
Sedih untuk diulas lagi, Kedah tersingkir jua akhirnya. Harapan kini tinggal harapan. Tahniah kepada Azraai Khor dan anak buahnya atas persembahan sepanjang saingan Piala Malaysia ini. Tahniah juga kepada kesemua 8 pasukan layak ke suku akhir :
Sepatutnya posting ini disiarkan pada petang semalam, namun kerana ‘masalah teknikal’ dan masalah talian internet, penulis tidak sempat meletakkannya di blog ini. Oleh kerana, sudah puas menaip petang semalam, penulis ingin terbitkan juga petang ini, walaupun persoalan dalam artikel ini sudahpun terjawab...huhu, sedihnya..
Artikel 12 Oktober 2009, jam 2.15 petang :
Rasanya sudah lama penulis tidak menjadi ‘pengulas’ sukan tanahair dalam laman ini. Terasa ‘gatal’ pula tangan hari ini nak tulis bab saingan Piala Malaysia yang semakin ‘hangat’. Walaupun rakan-rakan di tempat kerja penulis asyik saja mengulas tentang perkembangan saingan EPL (Liga Perdana Inggeris), penulis sebenarnya lebih teruja untuk mengikuti perkembangan pasukan ‘favourite’ dulu, kini dan selamanya, pasukan bolasepak Kedah Darul Aman.
Tajuk posting penulis kali ini ialah Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir .?? Dalam saingan Piala Malaysia yang semakin hangat kini, itulah antara persoalan yang bermain-main di fikiran seluruh peminat bolasepak Kedah dan mereka yang mengikuti rapat perkembangan skuad Hijau Kuning itu. Setelah menang 2 kali (Kedah 3 – ATM 0, Kedah 1 – Kelantan 0), satu keputusan seri (Kedah 1 – ATM 1) dan dua kekalahan (Kedah 1 – Kelantan 2, Kedah 0 – Pulau Pinang 1), kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang malam ini sangat penting bagi skuad Azraai Khor Abdullah.
Keadaan kini semakin genting.. Dari 8 pasukan yang diperlukan untuk mengisi slot suku akhir, 2 pasukan selaku juara kumpulan D dan E sudah mengesahkan tempat mereka iaitu Selangor dan Kelantan. 4 pasukan lagi iaitu KL Plus (juara kumpulan A), Negeri Sembilan (juara kumpulan B), Johor FC (juara kumpulan C) dan Terengganu (naib juara kumpulan B) pula dianggap sudah ‘sebelah kaki’ ke suku akhir. Ini juga bermakna hanya tinggal lagi 2 tempat yang mana akan ditentukan menerusi 3 naib juara kumpulan yang mencatat mata tertinggi. Mengambil kira keadaan semasa, 2 naib juara terbaik dihuni oleh Perlis (10 mata) dan Perak (10 mata) dalam kumpulan masing-masing.
Atas kertas, Kedah sudah tidak berupaya lagi. Kedah ketinggalan begitu jauh dari segi mata di mana mereka hanya mampu mengutip 7 mata dari 5 perlawanan. Atas apa alasan sekalipun, Kedah harus menang ke atas Pulau Pinang malam ini sambil mengharapkan semua naib juara kumpulan terutamanya Perlis dan Perak tewas dengan jaringan besar kepada lawan masing-masing. Hanya dengan ‘keajaiban’ itu sahaja, mampu melayakkan Kedah mengisi baki dua tempat berkenaan. Kedah perlu mengutip 3 mata penuh dengan mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan besar, bagi membolehkan mereka berkongsi mata dengan Perak dan Perlis.
Andainya skuad Azraai Khor ‘makan besar’ malam ini dan Perak serta Perlis pula mencatatkan kekalahan besar, pasti Kedah berjaya merebut tempat ke suku akhir.. Namun perlu diingat, Pulau Pinang juga ingin menyelesaikan misi yang sama..
PULUN KEDAH PULUN
p/s : Sekadar sokongan seorang peminat kecil pasukan Kedah dari bumi Pahang
Malam Ahad lalu, berakhirlah segala penantian seluruh dunia, yang mengamati perjalanan pilihanraya kecil penuh kontroversi dan segala macam kejutan.. Calon UMNO-BN yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Mohd.Isa Samad diangkat oleh 8,013 orang pengundi sebagai wakil rakyat Bagan Pinang. Tahniah diucapkan kepada beliau yang melakukan ‘political comeback’ untuk kembali berada dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selepas kali terakhir pada tahun 2003.
Tahniah juga kepada beliau kerana berjaya ‘menarik kembali’ sokongan pengundi Melayu, Cina dan India apabila menang dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa Samad berjaya memenangi kesemua lapan peti undi (UPU) termasuk merampas tiga UPU yang pernah dimenangi Pas dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa juga berjaya mengurangkan undi pos yang diperoleh Pas kali ini apabila calonnya, Haji Zulkefly Mohamad Omar sekadar meraih 800 undi lebih berbanding 1,000 undi lebih dalam PRU terdahulu.
Tahniah juga kepada semua jentera kerajaan termasuk jabatan-jabatan seperti jabatan kesihatan, jabatan kerja raya yang menurap jalan pagi petang, pihak polis, termasuk kementerian-kementerian terlibat yang begitu gigih menyalurkan bantuan kepada pengundi menjelang pilihanraya. Mereka menunjukkan gerak kerja yang begitu ‘outstanding’ dalam membantu Tan Sri Isa Samad. Sewajarnya gerak kerja ini diteruskan lagi pada masa-masa di luar pilihanraya.
Tahniah juga diucapkan kepada pihak media kerajaan yang melaporkan isu-isu dan laporan berita yang ‘sangat adil’ dalam fasa pilihanraya kali ini. Hampir setiap waktu berita, kita akan melihat ‘keburukan’ parti pembangkang dan media kerajaan juga gemar meminta maklum balas daripada pemimpin kerajaan tentang pelbagai isu tanpa memberi peluang kepada pemimpin Pas untuk menjawab semula. Hal ini sangat memberi’ bonus’ kepada kemenangan Tan Sri Isa Samad. Perkara ini harus dipertahankan dengan kuat kerana media sangat berperanan menyampaikan segala berita dan ‘kebaikan’ serta ‘jasa’ pimpinan kerajaan. Dengan ini, rakyat yang ‘lemah’ akan mudah termakan dengan berita-berita yang belum diketahui kebenarannya..
Tahniah juga kepada 8,013 orang pengundi Bagan Pinang yang telah memilih untuk menerima Tan Sri Mohd.Isa Samad yang telah tercalar rekod perkhidmatannya atas kesalahan politik wang dan beliau didapati salah oleh lembaga disiplin partinya sendiri. Itu hak mereka. Hak pengundi Bagan Pinang. Bukan hak kita. Mereka memilih untuk menerima Isa dan menolak calon Pas. Tahniah juga kepada lebih 2,500 pengundi Bagan Pinang yang memilih untuk tidak mengundi Isa apabila mereka kekal mengundi Pas kali ini. Tahniah juga kepada lebih 1,500 pengundi yang ‘beralih arah’ kembali mengundi Isa dalam PRK kali ini selepas memberi undi mereka kepada calon bukan BN pada 8 Mac tahun lalu.
Salam, selamat bertemu kembali… Di kampong penulis, majlis-majlis kenduri perkahwinan sering diserikan dengan majlis berzanji dan marhaban. Sejak kecil, penulis sering dibawa ayah bersama-sama pak cik-pak cik lain turut sama berzanji dan bermarhaban. Mungkin kerana pendedahan sejak kecil itu, penulis sempat juga belajar kelas berzanji ketika di sekolah menengah, bersama Ust.Tn.Haji Azman Mat Amin, seorang guru yang sangat berpengalaman di SMK Jengka Pusat.. Namun, pembelajaran sekerat jalan, memandangkan ketika itu sudah agak hampir dengan peperiksaan SPM, kami bersepakat untuk berhenti dari mengikuti kelas berzanji itu. Antara penggerak utama acara berzanji di kampong penulis ialah Tn.Haji Shamsuddin Anjam, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie, Tn.Haji Mat Taha Lingga, Pak Cik Arshad Masran termasuk Haji Harun Ahmad, Haji Ahmad Sulaiman, Haji Ismail Ibrahim dan ramai lagi.. Baru-baru ini, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie telah meninggal dunia. Hilanglah seorang ‘orang penting’ marhaban di kampong penulis. Penulis sekeluarga agak terkejut dengan berita kematiannya memandangkan beberapa jam sebelum itu, beliau rancak berbual dengan ayah penulis ketika mereka bertemu di kedai runcit. Arwah yang dikenali dengan nama panggilan Mat Awi turut menjadi imam di surau An-Nur yang berdekatan dengan rumah penulis. Terdahulu sebelum itu iaitu beberapa bulan lepas, seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis iaitu Pak Cik Husin Kadiman telah kembali ke Rahmatullah. Pak Cik Husin merupakan seorang yang mahir dengan kerja pendawaian elektrik (wiring). Mungkin hampir semua penduduk di kampong penulis pernah mendapatkan khidmat beliau. Dari kerja pemasangan plag, soket, lampu sehingga pemasangan wayar di dinding rumah telah menjadi permainan beliau sejak bertahun-tahun. Namun, kini beliau tiada lagi.. Seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis ialah Pak Cik Yahya Mansor yang dikenali dengan nama Pak Ya di kalangan penduduk kampong. Kini, beliau tiada lagi. Arwah meninggal dunia juga beberapa bulan lepas ketika masyarakat Jengka heboh dengan wabak Chikungunya. Arwah mendirikan sebuah kedai makan bertentangan dengan rumah penulis. Ia dibuka bermula selepas Subuh hingga kira-kira jam 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan jika ada kenduri. Menu utama?? Segala jenis juadah mee termasuk mee kari, mee goring, mee rebus, mee rojak. Laksa, cucur udang, keropok lekor dan banyak lagi. Namun, yang paling ‘famous’di kedai Pak Ya ialah nasi lemak, mee goring dan ais batu campur (ABC) Sejak penulis Darjah 1, penulis bersarapan nasi lemak ikan bilis dari kedai Pak Ya berharga 30 sen, kadang-kadang nasi lemak separuh berlauk ayam masak merah berharga 50 sen. Minuman pula, teh tarik yang hanya berharga 60 sen. Ironinya, harga serendah itu tidak berubah langsung sehingga kini, sudah lebih 15 tahun arwah mengekalkan harganya yang sangat membantu perancangan kewangan (untuk makan sarapan) bagi mereka yang anak ramai. Juadah mee kedai Pak Ya juga turut di’promosi’kan penulis kepada guru-guru penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu antaranya Cikgu Sukairi Abu yang tak jemu bertanyakan ‘bila pulak nak makan lagi mee goreng Pak Ya’. Kepulangan Pak Ya ke Rahmatullah pada satu pagi memang mengejutkan semua orang. Masing-masing bersedih dan ada yang menitiskan air mata..
Kenangan bersama ketiga-tiga mereka takkan luput dalam ingatan..
AL-FATIHAH. p/s : Mudah-mudahan roh Allahyarham Pak Cik Mat Awi, Pak Cik Husin dan Pak Ya akan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..InsyaAllah..
Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak"
(Hadis riwayat Thabrani)
Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi"
(Hadis Riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda:
"Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi"
(Hadis riwayat Ahmad)
Daripada Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu
Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja
Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
Zakat dijadikan hutang
Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
Anak derhaka terhadap ibunya
Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.
Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya
Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
Arak sudah diminum secara berleluasa.
Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
Para artis-artis disanjung-sanjung.
Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain"
Berlakunya beberapa peristiwa gempa bumi dan pelbagai bencana alam lain di sekeliling negara kita Malaysia sewajarnya diambil sebagai pengajaran yang menginsafkan umat manusia betapa Allah s.w.t ingin memberikan peringatanNya dan menunjukkan upayaNya, bahawa Dia yang berkuasa ke atas semua perkara atas muka bumi ini..
Dua tiga hari lepas, semasa menonton siaran berita di televisyen, penulis sendiri berasa gerun apabila menyaksikan laporan berlakunya gegaran gempa bumi di merata tempat termasuklah Padang di Sumatra, Papua Barat, sebahagian wilayah di China dan juga di Amerika Syarikat. Apakah rahsia yang ada di bumi dan langit Allah yang berterusan menurunkan bala’ (ujian) kepada umat manusia, mungkinkah kerana dosa-dosa dari tangan-tangan manusia sendiri..??
Dari segi penjelasan sains, fenomena gempa bumi berlaku apabila terjadinya pelanggaran antara plat-plat tektonik yang terdapat di kerak bumi. Ia juga boleh terjadi apabila plat-plat ini berselisih antara satu sama lain. Garisan plat yang paling tidak stabil terletak di rantau Asia, melingkari dari utara Jepun, China, Taiwan, Filipina, Sulawesi hingga ke kepulauan Indonesia (Pulau Jawa dan Sumatra) seterusnya hingga ke selatan India. Zon ini dikenali dengan nama Lingkaran Api Pasifik.
Dalam lingkaran ini, terdapat banyak jajaran gunung-gunung berapi, sering berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir besar yang memusnahkan. Dalam siri gempa bumi dalam sejarah, terdapat 2 peristiwa bencana yang paling diingati dunia. Pertama, peristiwa letusan Gunung Krakatau di Jawa pada tahun 1883. Gempa bumi terbesar itu bukan sahaja menyebabkan letusan yang sangat kuat hingga menghancurkan sebahagian gunung terbabit bahkan menyebabkan paksi bumi bergerak sedikit dari kedudukan asalnya. Bahang panasnya menjulang beberapa kilometer ke langit. Debu dari letusannya pula dilaporkan meliputi sehingga ke Australia yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari Jawa.
Peristiwa kedua berlaku pada 26 Disember 2004, kira-kira 5 tahun lalu. Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter ini mengorbankan hampir 250 000 umat manusia di sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan, dan pantai timur benua Afrika. Gempa bumi tengah laut itu berpusat di dasar Laut Andaman dan mencetuskan ombak tsunami menakutkan setinggi 30 meter menghempas pantai wilayah Acheh di utara Sumatra, menyebabkan wilayah autonomi Islam itu bertukar sekelip mata menjadi padang jarak, padang tekukur. Turut merasai badaian tsunami ialah penduduk di pantai sekitar Kuala Muda, Kedah, pantai Langkawi dan Tanjung Tokong di Pulau Pinang serta pantai-pantai di India, Sri Lanka, Somalia, dan beberapa negara lain.
Walaupun penjelasan sains tentang kejadian gempa bumi ini wajar diketahui dan dipelajari, kita perlu sedar bahawa penjelasan dari Allah sahajalah yang paling benar dan paling perlu dipelajari. Kejadian ini perlu diinsafi dengan sebenar-benarnya oleh semua umat Islam bahawa Allah mendatangkan peringatan kepada manusia dalam bentuk bencana alam agar ia diambil iktibar dan pengajaran.
Allah s.w.t berfirman maksudnya :
“..Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya...”
Surah Al-Israa' : ayat 16
Allah s.w.t berfirman lagi :
“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."
Surah Maryam : ayat 88-91
Sabda Rasulullah SAW:
"...Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)..."
Allahu Akbar...!!
Maka, sewajarnya kita umat Islam menginsafi kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Keadaan muka bumi Malaysia hari ini sudah cukup banyak dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Moga Allah pelihara bumi kita ini dari sebarang malapetaka. Semoga kita semua kembali mematuhi perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi kita, Muhammad s.a.w..
Kurang 2 minggu lagi, pengundi-pengundi di DUN Bagan Pinang bakal menentukan siapakah wakil rakyat baru bagi kawasan mereka susulan kematian wakil rakyat sebelumnya. Hari semalam pula menyaksikan Barisan Nasional (BN) telahpun menamakan Tan Sri Mohd.Isa Samad daripada UMNO sebagai calon mereka manakala Pakatan Rakyat memilih Haji Zulkeply Mohamad Omar daripada Pas.
Menyorot pengalaman kedua-dua parti ‘seteru’ ini, UMNO-BN begitu dahagakan kemenangan dalam pilihanraya lantaran mereka sudah dilemaskan dalam 7 siri pilihanraya kecil melibatkan kawasan DUN dan Parlimen di kawasan semenanjung. Paling terbaru ialah di Permatang Pasir di mana UMNO-BN terus mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil di situ.
Sebaik keputusan diumumkan, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan telah menggariskan LIMA punca kekalahan UMNO-BN di Permatang Pasir. Katanya, punca kekalahan ini harus diambil iktibar untuk dijadikan pengajaran pada masa yang akan datang (baca : PRK Bagan Pinang). Oleh itu, bagi meraikan saranan Ahmad Maslan, puak UMNO-BN harus juga meneliti 5 punca kekalahan di Permatang Pasir sebagai inisiatif untuk mempertahankan Bagan Pinang dalam hari pengundian nanti.
1.Faktor hari mengundi ialah hari bekerja
UMNO-BN menyifatkan kekalahan mereka di Permatang Pasir disebabkan SPR yang menetapkan hari pengundian pada hari bekerja. Hal ini bagi mereka menyebabkan ramai pengundi luar kawasan tidak dapat pulang mengundi. Semua pihak bersetuju dengan hal ini. Namun, kelemahan ini awal-awal lagi sudah diatasi oleh SPR apabila menetapkan hari pengundian di Bagan Pinang adalah pada hari Ahad. Jadi, keputusan SPR selari dengan analisis dibuat Ahmad Maslan dan tuntutan yang dimahukan parti lawan.
2.Faktor pengundi hantu
UMNO-BN juga menyifatkan kekalahan mereka di Permatang Pasir disebabkan wujudnya pengundi hantu yang mengundi bagi pihak Pas, dalam erti kata memenangkan calon Pas ketika itu, Haji SallehMan. Penulis pun agak gusar dengan kenyataan Ahmad Maslan ini. Bagi pihak rakyat marhaen di bawah ini, agak sukar dipercayai yang Pas bersekongkol dengan SPR bagi memasukkan nama pengundi hantu dalam daftar pemilih di Permatang Pasir. (unbelievable).
Jika benar perkara ini, ia bermaksud Pas bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara memasukkan nama pengundi yang tidak wujud seterusnya membawa pengundi dengan bas ke pusat-pusat mengundi bagi memenangkan calon Pas. Hal ini sangat mustahil berlaku kerana bidang kuasa JPN tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Dato’Sri Hishamuddin Hussien.
Bagi penulis, punca kedua ini tidak perlu diulas panjang kerana mustahil Pas boleh membawa pengundi hantu dalam pilihanraya kecil itu. Entah-entah Ahmad Maslan itu sendiri pun tak tahu apa yang diperkatakannya. Ada pulak Pas yang bawa pengundi hantu, pelik..pelik… (mengata dulang paku serpih, mengata Pas, UMNO-BN yang lebih)
Jadi, SPR harus didesak lebih bertanggungjawab dan memastikan proses pengundian perlu diketatkan lagi agar tiada mana-mana pengundi hantu boleh melayang-layang berterbangan masuk ke bilik mengundi.. SPR kena cari ‘bomoh’ untuk mengesan pengundi hantu yang berkeliaran..
3.Faktor pengundi Cina/India memihak Pakatan Rakyat
UMNO-BN juga mengakui bahawa majoriti undi pengundi Cina/India telah menyebelahi Pakatan Rakyat apabila Ahmad Maslan menyebutkan sebagai punca ke-3 mengapa UMNO-BN kalah di Permatang Pasir. Fenomena ini telah menghantui UMNO-BN sejak berakhirnya PRU-12 tahun lalu. BN yang mengharapkan parti terbesar orang Cina, MCA untuk menarik semula sokongan pengundi Cina sekurang-kurangnya dalam PRK Bagan Pinang ternyata akan gagal apabila MCA sendiri sedang bergelut dengan perang dalaman antara Presidennya, Ong Tee Keat dengan bekas orang no.2 parti itu, Dr.Chua Soi Lek.
Jumlah pengundi India yang agak ramai di Bagan Pinang yang dikatakan akan menjadi undi penentu juga perlu diteliti oleh kedua-dua parti bertanding. Penulis difahamkan jentera Pas Pahang diberi peranan di kawasan estet, yang majoritinya penduduk India. Sudah tentu Mr.Balasubramaniam (Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pahang) dan ‘bala tenteranya’ akan menggempur habis-habisan di sana nanti. UMNO-BN juga pasti tidak berdiam diri. Bekas calon Timbalan Presiden MIC, Datuk S.Sothinathan pasti tahu selok belok masyarakat di sini memandangkan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang sebelum ianya ditewaskan PKR dalam PRU tahun lalu.
4.Faktor Anwar
UMNO-BN juga menggariskan faktor Anwar Ibrahim sebagai punca kekalahan mereka di Permatang Pasir. Permatang Pasir terletak di dalam parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu Anwar Ibrahim sejak 1982. Lain halnya di Bagan Pinang. Bagan Pinang bukan kubu Anwar Ibrahim, bukan kubu PKR malah bukan kubu Pas. Ia kubu UMNO-BN. Malah, ia merupakan kampong halaman Isa Samad, calon yang diketengahkan BN. Jadi punca ke-4 ini telah diatasi UMNO-BN dalam PRK kali ini..
5.Faktor calon
UMNO-BN juga mengakui kesilapan mereka meletakkan Rohaizat Othman sebagai calon di Permatang Pasir. Calon ini telah terbukti salah oleh Majlis Peguam malah tauliahnya telah ditarik balik. Isu ini dimainkan Pakatan dengan begitu baik. UMNO-BN pula gagal memberi pukulan balas meyakinkan hingga akhirnya menyebabkan mereka tersungkur teruk atas pasir di permatang.
Di Bagan Pinang, jelaslah UMNO-BN sudah terjerat. Mereka jadi serba salah. Kesemua AJK UMNO Bahagian Teluk Kemang mahukan ketua mereka, Isa Samad sebagai calon. Ia disanggah beberapa pemimpin tertinggi termasuk Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin yang mahukan bahagian itu mengemukakan lebih dari satu nama. Semuanya kerana kerisauan jika Isa tidak dicalonkan, sudah pasti ahli UMNO Bahagian akan memboikot @ memberikan undi mereka kepada parti lawan..
Namun, perlu diingat, bukan semua pengundi di Bagan Pinang menyokong UMNO-BN. Dan bukan semua penyokong UMNO-BN yang menyokong Isa Samad. Ramai penyokong MB, Mohamad Hassan sudah pasti akan melakukan 'sesuatu' dalam PRK nanti. Umum mengetahui MB kurang menyenangi kehadiran Isa dalam pentadbiran negeri, walaupun pengalaman Isa jauh lebih banyak dari MB sekarang. Isa menjadi MB selama 22 tahun (1982-2004).
Isa Samad juga pernah menghadapi tuduhan politik wang dan didapati bersalah. Beliau digantung keahlian dalam UMNO dan berkelana beberapa tahun. Kini, karier politiknya kembali cerah. Mungkinkah pengundi Bagan Pinang akan beri peluang kepada Isa bergelar ADUN Bagan Pinang?? Mungkin Isa boleh menguntum senyuman sekarang namun perlu diingat pepatah Melayu ada berkata, "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari". Mungkin saja ini yang akan berlaku pada Isa. Ditakdirkan Isa kalah, akan gelaplah kembali karier politiknya. Manakan tidak, kalah di kampung halaman sendiri..
Dari 5 punca diutarakan Ahmad Maslan, hanya 2 daripadanya berjaya ditangani secara total, iaitu penetapan hari mengundi pada hari cuti dan ketiadaan faktor Anwar di Bagan Pinang. Punca seterusnya iaitu pengundi Cina/India memihak Pakatan Rakyat ternyata masih gagal diatasi oleh UMNO-BN. Mereka masih kekal menolak BN berdasarkan pemerhatian ramai penganalisis politik, sejak PRU 8 Mac dan berlanjutan kepada 7 siri pilihanraya kecil.
2 punca lain masih dalam kesamaran. Isu pengundi hantu mungkin akan berjaya diatasi SPR. Isu Tan Sri Isa Samad sebagai calon juga memperlihatkan UMNO-BN masih belum mampu mengemukakan calon yang bersih dari latar peribadi dan latar politiknya mahupun calon yang muda dan progresif. Berbeza dengan Pas yang meletakkan Haji Zulkefly Mohamad Omar, usahawan berusia 45 tahun, berjawatan Pesuruhjaya Pas negeri dan berperibadi bersih, jauh dari rekod penyalahgunaan mahupun politik wang.
Selamat merakyatkan demokrasi di Bagan Pinang.
p/s : Teringin juga meninjau suasana kempen di sana..
Blogger Pak Tam Jengka mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepoada seluruh rakan-rakan bloggers, sahabat handai jauh dan dekat, serta seluruh umat Islam di mana jua kalian berada..
Segala keterlanjuran mahupun kekhilafan, silap salah dalam perbuatan mahupun tutur kata penulis yang menyebabkan kalian berkecil hati. penulis memohon beribu-ribu kemaafan..
Dalam kesibukan menjalani ibadah puasa, kali ini penulis ingin curi sedikit kesempatan mengulas mengenai keputusan pemilihan MIC beberapa hari lepas. Sememangnya semua telah sedia maklum akan keputusannya, tersebar siar dalam akhbar dan media televisyen, pasukan pilihan presiden telah berjaya menduduki jawatan-jawatan tertinggi parti itu termasuklah 'bapa'nya sendiri, Datuk Seri S.Samy Vellu yang mengekalkan jawatan presiden sejak 1979, satu jangkamasa yang cukup lama..
Sesungguhnya barisan pimpinan MIC baru ini, harus memerah cari formula baru bagi mengembalikan sokongan masyarakat India kepada MIC, setelah kapal mereka dihempas badai tsunami 8 Mac 2008 sehingga hampir karam. Ketika itu, kaptennya Samy Vellu gagal membawa kapalnya ke haluan yang betul sehingga beliau sendiri pun karam di Sungai Siput. Kesemua pemegang jawatan tertinggi di kapal MIC juga tenggelam. Cuma tinggal anak-anak kapal saja yang bernasib baik seperti S.K Devamany di Cameron Highlands, Datuk S.Subramaniam di Segamat dan beberapa nama lain. Kedua-dua inilah yang berjaya menyelamatkan MIC dari terus tenggelam seawal Mac 2008.
Kedua-dua ini juga terpilih sebagai Naib Presiden MIC yang baru pada pemilihan kali ini. Satu nama lagi ialah M.Saravanan, juga anak kapal MIC satu ketika dulu, kini juga menjadi Naib Presiden atas 'restu' kapten kapal. Orang-orang besar inilah yang bakal membawa MIC kembali relevan menjelang PRU-13. Namun pemulihan ini mungkin sedikit sukar apabila kaptennya belum ditukar, ia masih orang yang sama iaitu S.Samy Vellu. Bekas Presiden UMNO selama 23 tahun, Tun M pun sudah 'condemn' Presiden MIC kerana terlalu lama berkuasa. Tun M secara terbuka memberikan sokongan pada bekas Timbalan Presiden MIC selama lebih 20 tahun, Datuk Subra..
Datuk Subra yang kalah buat kali kedua dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden dilihat oleh ramai pemerhati politik akan mencari platform baru bagi meneruskan legasi politiknya. Terbit juga, angan-angan nakal di kotak fikiran saya, bagaimana jika dua tokoh besar BN yang kini sudah berada dalam PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Chua Jui Meng bergandingan dengan Datuk Subra di atas satu pentas politik. Di kanan mereka ada Tok Guru Haji Hadi Awang, di kiri ada Lim Kit Siang manakala di tengah mereka itu, Tok Guru Nik Aziz bersama berganding tangan dengan Anwar Ibrahim..
Bagaimana agaknya pandangan DS Najib ketika itu..?? Ingauan ngeri BN selepas Mac 2008 pasti akan lebih perit lagi.. Nescaya mereka tidak akan lena tidur. Penulis merasakan jika karier politik Datuk Subra akan lebih cerah lagi jika beliau bersama Pakatan Rakyat. Datuk Subra seorang pemimpin progresif dan berwibawa. Jarang kedengaran orang politik mengutuk beliau, malah Tun M pun bagi sokongan kepadanya. Lagipun, khabarnya Datuk Subra berkawan baik dengan Anwar Ibrahim ketika mantan TPM itu masih dalam UMNO, satu ketika dulu.
Apapun, jika benar Datuk Subra akan menyertai PKR dalam masa terdekat, sudah pasti ratusan ribu ahli MIC akan bersama beliau, berbondong-bondong meninggalkan parti itu. Di kala itu, MIC akan tumbang, tersembam, tersungkur dan akan karam lebih awal sebelum sempat bertarung dalam gelanggang PRU 13 nanti..
Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham YB Azman Mohd Nor, ADUN Bagan Pinang yang telah meninggal dunia pada hari semalam. Sesungguhnya, Allah SWT lebih sayangkan beliau melampaui sayangnya keluarga dan sahabat handainya pada beliau. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, lebih-lebih lagi rohnya dipanggil Ilahi dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini..
Hakikatnya, kurang dari 2 bulan lagi, negara ini akan menyaksikan satu lagi pilihanraya kecil, kali ke-9 sejak PRU 12 pada Mac 2008. Sudah pasti tercatat dalam sejarah negara, pada penggal pemerintahan BN sejak 2008 kali inilah yang menyaksikan banyak PRK terpaksa diadakan kerana pelbagai sebab, antaranya wakil rakyat meninggal dunia dan wakil rakyat meletak jawatan.
Baru-baru ini, timbul konflik di Kedah antara Speaker DUN dengan SPR berkenaan kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh. Speaker kata DUN itu kosong, malah surat pemakluman telah dihantar tetapi SPR memutuskan ADUNnya iaitu Datuk Abu Hasan Sharif masih bergelar ADUN. Takpalah, BN terselamat dari terpaksa bertarung dalam PRK sekali lagi selepas tewas teruk dalam 7 pilihanraya sebelum ini..
Populariti BN di kaca mata rakyat kini jatuh menjunam menghempas lantai. Sebaliknya berlaku di pihak PR. Di sebalik serangan media bertali arus, umpan pembangunan berjuta-juta ringgit, fitnah dan putar belit terhadap pemimpin PR, rakyat nampaknya maih tetap menolak BN.. Kota Seputeh berjaya diselamtkan dari menyaksikan BN sekali lagi dimalukan..
Namun, perancangan ALLAH mengatasi segala-galanya..
Jika dulu di Perak, kerajaan PR ditumbangkan dengan cara tidak sah tetapi pemimpin BN tetap mengatakan ia cara yang betul dan tindakan itu diRESTUi rakyat Perak. Bagi merungkaikan persoalan, Allah takdirkan MP Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum meninggal dunia. PRK trpaksa diadakan dan ia dijadikan referendum oleh rakyat Bukit Gantang, menolak calon BN dan mengangkat DS Nizar sebagai MP yang baru.. Allah bagi jawapan bahawa rakyat Perak tak RESTU tindakan rampas kerajaan..
Jika dulu ketika begitu kuat tuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim yang digambarkan sebagai pengkhianat negara, agen negara asing, peliwat, perasuah dan sebagainya, Allah takdirkan ADUN Permatang Pasir meninggal dunia. ADUN baru, Hj.Salleh Man diangkat dengan majoroit undi yang begitu besar dalam PRK kmudiannya. Allah bagi jawapan bahawa rakyat Permatang Pasir (yang terletak dalam Parlimen Permatang Pauh) menerima DS Anwar Ibrahim yang digelar 'pengkhianat' itu. TS Muhyidin tersenyum malu bila rakyat Permatang Pauh terima pengkhianat.
Dan kini, bila SPR bertindak isytihar kerusi DUN Kota Seputeh kekal milik BN, Allah takdirkan ADUN Bagan Pinang meninggal dunia.. BN terpaksa juga mengharungi pilihanraya kecil akhirnya.. Ingatkan sudah boleh tidur lena, rupa-rupanya terpaksa juga menghadapi mimpi ngeri di Bagan Pinang..
p/s : Mudah-mudahan digandakan balasan Allah terhadap amalan kita..
Pak Tam Jengka ialah anak kelahiran Felda Jengka 16. Mendapat pendidikan rendah di SK Felda Jengka 16 (1992 - 1998) dan pendidikan menengah di SMK Jengka Pusat (1999 - 2005). Melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 2006 dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Kepujian Kelas Dua Atas pada bulan Ogos 2009. Kini, pulang berbakti di tanah kelahiran di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang Darul Makmur.