Wednesday, October 14, 2009

Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir Terjawab Malam Ini..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Sepatutnya posting ini disiarkan pada petang semalam, namun kerana ‘masalah teknikal’ dan masalah talian internet, penulis tidak sempat meletakkannya di blog ini. Oleh kerana, sudah puas menaip petang semalam, penulis ingin terbitkan juga petang ini, walaupun persoalan dalam artikel ini sudahpun terjawab...huhu, sedihnya..


Artikel 12 Oktober 2009, jam 2.15 petang :


Rasanya sudah lama penulis tidak menjadi ‘pengulas’ sukan tanahair dalam laman ini. Terasa ‘gatal’ pula tangan hari ini nak tulis bab saingan Piala Malaysia yang semakin ‘hangat’. Walaupun rakan-rakan di tempat kerja penulis asyik saja mengulas tentang perkembangan saingan EPL (Liga Perdana Inggeris), penulis sebenarnya lebih teruja untuk mengikuti perkembangan pasukan ‘favourite’ dulu, kini dan selamanya, pasukan bolasepak Kedah Darul Aman.


Tajuk posting penulis kali ini ialah Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir .?? Dalam saingan Piala Malaysia yang semakin hangat kini, itulah antara persoalan yang bermain-main di fikiran seluruh peminat bolasepak Kedah dan mereka yang mengikuti rapat perkembangan skuad Hijau Kuning itu. Setelah menang 2 kali (Kedah 3 – ATM 0, Kedah 1 – Kelantan 0), satu keputusan seri (Kedah 1 – ATM 1) dan dua kekalahan (Kedah 1 – Kelantan 2, Kedah 0 – Pulau Pinang 1), kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang malam ini sangat penting bagi skuad Azraai Khor Abdullah.


Keadaan kini semakin genting.. Dari 8 pasukan yang diperlukan untuk mengisi slot suku akhir, 2 pasukan selaku juara kumpulan D dan E sudah mengesahkan tempat mereka iaitu Selangor dan Kelantan. 4 pasukan lagi iaitu KL Plus (juara kumpulan A), Negeri Sembilan (juara kumpulan B), Johor FC (juara kumpulan C) dan Terengganu (naib juara kumpulan B) pula dianggap sudah ‘sebelah kaki’ ke suku akhir. Ini juga bermakna hanya tinggal lagi 2 tempat yang mana akan ditentukan menerusi 3 naib juara kumpulan yang mencatat mata tertinggi. Mengambil kira keadaan semasa, 2 naib juara terbaik dihuni oleh Perlis (10 mata) dan Perak (10 mata) dalam kumpulan masing-masing.


Atas kertas, Kedah sudah tidak berupaya lagi. Kedah ketinggalan begitu jauh dari segi mata di mana mereka hanya mampu mengutip 7 mata dari 5 perlawanan. Atas apa alasan sekalipun, Kedah harus menang ke atas Pulau Pinang malam ini sambil mengharapkan semua naib juara kumpulan terutamanya Perlis dan Perak tewas dengan jaringan besar kepada lawan masing-masing. Hanya dengan ‘keajaiban’ itu sahaja, mampu melayakkan Kedah mengisi baki dua tempat berkenaan. Kedah perlu mengutip 3 mata penuh dengan mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan besar, bagi membolehkan mereka berkongsi mata dengan Perak dan Perlis.


Andainya skuad Azraai Khor ‘makan besar’ malam ini dan Perak serta Perlis pula mencatatkan kekalahan besar, pasti Kedah berjaya merebut tempat ke suku akhir.. Namun perlu diingat, Pulau Pinang juga ingin menyelesaikan misi yang sama..

PULUN KEDAH PULUN

p/s : Sekadar sokongan seorang peminat kecil pasukan Kedah dari bumi Pahang


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...