Monday, October 19, 2009

Ibrahim Ali : Antara Nikah Cerai dan Political Backstabber

Salam, selamat bertemu kembali..

Ibrahim bin Ali merupakan seorang bekas aktivis mahasiswa ITM sekitar 1970-an. Beliau pernah menggerakkan demonstrasi jalanan bersama-sama Anwar Ibrahim pada tahun 1974. Selepas tamat belajar, Ibrahim Ali mendirikan ‘gerbang perkahwinannya’ dengan Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Malaysia) sekitar tahun 1977. Perkahwinannya hanya bertahan setahun apabila pada tahun 1978, beliau ‘bercerai’ dengan Berjasa dan ‘berkahwin’ dengan UMNO. Ibrahim dan UMNO pun melayari hidup bersama hinggalah satu ketika pada tahun 1988, beliau ‘bercerai’ pula dengan UMNO dan ‘menikahi’ seorang janda bernama Semangat 46. Hampir 7 tahun bersama, pada tahun 1994, Semangat 46 menemui ‘ajal’ akibat kegagalan ‘jantung’.

Ibrahim yang menjadi ‘duda’ mengambil keputusan untuk ‘rujuk’ semula dengan UMNO pada tahun 1995. Dalam perkahwinan keduanya dengan UMNO ini, beliau menjalani kehidupan yang penuh bahagia sehingga pernah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian paling kanan dalam kerajaan. Kehidupan mereka berdua begitu harmoni sehinggalah kira-kira 9 tahun kemudian iaitu pada tahun 2003, perkahwinannya berantakan apabila bapa mentuanya (ayah UMNO) iaitu Pak Lah tidak mahu menyambung ‘kontrak’ Ibrahim sebagai menantu. Dalam erti kata lain, pak mentuanya mahu Ibrahim berpisah dengan UMNO.


Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu bertindak membuat ‘kacau’ dalam pilihanraya umum mencari menantu yang diadakan pak mentuanya di Pasir Mas pada tahun 2004. Beliau yang tewas teruk akhirnya berkelana seorang diri. Bekas pak mentuanya pula terus melucutkan gelaran ‘bekas menantu’ yang ada pada Ibrahim seumur hidup. UMNO pun sudah menyampah kepadanya. Pada pilihanraya kecil cari menantu di Pengkalan Pasir pada tahun 2005, Ibrahim sekali lagi mencuba nasib tetapi kalah juga.

Pada tahun 2008 pula, Ibrahim ingin sekali lagi bertanding dalam pilihanraya umum mencari menantu. Kali ini, jiran sekampungnya, Pok Nik Ajih menawarkan ‘gadisnya’ bernama Pas untuk Ibrahim. Ibrahim senang hati. Tapi peliknya Ibrahim tidak mahu Pas dijadikan sebagai isteri, tapi hanya sebagai teman. Pas memang cukup cantik, tapi mengapa Ibrahim menolaknya sebagai isteri, itu penulis tak tahulah pulak. Pok Nik Ajih setuju. Maka, atas ehsan Pok Nik Ajih itu, maka berkawanlah Ibrahim dengan Pas. Ibrahim tidak tinggal serumah dengan Pas kerana mereka bukan suami isteri, beliau cuma berteduh di bawah rumah Pas. Dapatlah Ibrahim merasai nikmat kehidupan semula selepas beberapa tahun keseorangan..


Namun, peliknya selepas beberapa bulan tumpang berteduh di situ, Ibrahim mula buat hal. Beliau selalu mengata dan mengutuk rumah Pok Nik Ajih. Sana tak kena, sini tak kena. Beliau juga mengutuk Pas dan kawan-kawan Pas seperti PKR dan DAP. Kawan-kawan baik Pok Nik Ajih seperti Pak Syeikh Nuar dan Ayah Chik Hadi Awang pun selalu dihentamnya walaupun semua mereka itu berkawan baik dengan Ibrahim satu ketika dulu.

Ibrahim juga sudah beberapa kali tumpang berteduh di bawah rumah UMNO, bekas isterinya dulu. Selalu juga Ibrahim muncul berucap di bawah rumah UMNO itu bersama-sama NGO-NGO yang berkawan baik dengan UMNO. Mereka berhujah, bersyarah berapi-api konon hanya merekalah pejuang bangsa Melayu. Ibrahim juga berani menjadi presiden sebuah NGO pro-Melayu yang menjemput bekas ayah UMNO pada tahun 1980-an iaitu Tok Det menjadi perasmi penubuhannya.

Keadaan ini berterusan hinggalah pada ketika ini yang menjadikan keadaan semakin panasss.. Situasi di mana Ibrahim secara terang-terang mengakui beliau sebenarnya masih ada hati dengan UMNO, bekas isterinya. Berani betul Ibrahim ni..hehe.. Mungkin sebab bekas pak mentuanya, Pak Lah dah tiada. Pak Lah dah letak jawatan sebagai ayah UMNO pada awal 2009. Sekarang UMNO ada ayah baru, iaitu Tok Jib. Mungkin Ibrahim boleh ambil hati Tok Jib kot, untuk ambil beliau sebagai menantu semula. Mungkin juga Tok Jib terima, kita tengoklah..


Tapi saudara UMNO di Kelantan minta Tok Jib fikir semula untuk terima Ibrahim sebagai menantu semula. Kata mereka, Ibrahim ni banyak sejarah. Banyak kali kahwin cerai.. Takut-takut nanti UMNO tengah sakit tenat, dia bantai cerai bini dia waktu tu.. Kesian la pada UMNO.. Sudahlah sakit, kena cerai pulak.. Paling sedih apakah perasaan Pok Nik Ajih dan Pas yang mengambil Ibrahim berteduh di bawah rumah mereka satu ketika dulu..?? Ketika orang lain tak mahu Ibrahim, Pok Nik Ajih dengan tangan terbuka terima Ibrahim, walaupun Ibrahim orang luar. Sanggup Ibrahim lupa pada jasa Pok Nik Ajih..??

Selepas apa yang Ibrahim lakukan pada Pok Nik Ajih dan Pas termasuklah UMNO, Berjasa dan Semangat 46, adakah beliau layak digelar "political backstabber"..??


p/s : Sekadar melawak jenaka..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...