Monday, October 5, 2009

Bencana Alam di Sumatra : Peringatan Allah Kepada Umat Islam Di Malaysia

Salam, selamat bertemu kembali.


Berlakunya beberapa peristiwa gempa bumi dan pelbagai bencana alam lain di sekeliling negara kita Malaysia sewajarnya diambil sebagai pengajaran yang menginsafkan umat manusia betapa Allah s.w.t ingin memberikan peringatanNya dan menunjukkan upayaNya, bahawa Dia yang berkuasa ke atas semua perkara atas muka bumi ini..

Dua tiga hari lepas, semasa menonton siaran berita di televisyen, penulis sendiri berasa gerun apabila menyaksikan laporan berlakunya gegaran gempa bumi di merata tempat termasuklah Padang di Sumatra, Papua Barat, sebahagian wilayah di China dan juga di Amerika Syarikat. Apakah rahsia yang ada di bumi dan langit Allah yang berterusan menurunkan bala’ (ujian) kepada umat manusia, mungkinkah kerana dosa-dosa dari tangan-tangan manusia sendiri..??

Dari segi penjelasan sains, fenomena gempa bumi berlaku apabila terjadinya pelanggaran antara plat-plat tektonik yang terdapat di kerak bumi. Ia juga boleh terjadi apabila plat-plat ini berselisih antara satu sama lain. Garisan plat yang paling tidak stabil terletak di rantau Asia, melingkari dari utara Jepun, China, Taiwan, Filipina, Sulawesi hingga ke kepulauan Indonesia (Pulau Jawa dan Sumatra) seterusnya hingga ke selatan India. Zon ini dikenali dengan nama Lingkaran Api Pasifik.

Dalam lingkaran ini, terdapat banyak jajaran gunung-gunung berapi, sering berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir besar yang memusnahkan. Dalam siri gempa bumi dalam sejarah, terdapat 2 peristiwa bencana yang paling diingati dunia. Pertama, peristiwa letusan Gunung Krakatau di Jawa pada tahun 1883. Gempa bumi terbesar itu bukan sahaja menyebabkan letusan yang sangat kuat hingga menghancurkan sebahagian gunung terbabit bahkan menyebabkan paksi bumi bergerak sedikit dari kedudukan asalnya. Bahang panasnya menjulang beberapa kilometer ke langit. Debu dari letusannya pula dilaporkan meliputi sehingga ke Australia yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari Jawa.

Peristiwa kedua berlaku pada 26 Disember 2004, kira-kira 5 tahun lalu. Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter ini mengorbankan hampir 250 000 umat manusia di sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan, dan pantai timur benua Afrika. Gempa bumi tengah laut itu berpusat di dasar Laut Andaman dan mencetuskan ombak tsunami menakutkan setinggi 30 meter menghempas pantai wilayah Acheh di utara Sumatra, menyebabkan wilayah autonomi Islam itu bertukar sekelip mata menjadi padang jarak, padang tekukur. Turut merasai badaian tsunami ialah penduduk di pantai sekitar Kuala Muda, Kedah, pantai Langkawi dan Tanjung Tokong di Pulau Pinang serta pantai-pantai di India, Sri Lanka, Somalia, dan beberapa negara lain.

Walaupun penjelasan sains tentang kejadian gempa bumi ini wajar diketahui dan dipelajari, kita perlu sedar bahawa penjelasan dari Allah sahajalah yang paling benar dan paling perlu dipelajari. Kejadian ini perlu diinsafi dengan sebenar-benarnya oleh semua umat Islam bahawa Allah mendatangkan peringatan kepada manusia dalam bentuk bencana alam agar ia diambil iktibar dan pengajaran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :

“..Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya...”

Surah Al-Israa' : ayat 16

Allah s.w.t berfirman lagi :

“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."

Surah Maryam : ayat 88-91

Sabda Rasulullah SAW:

"...Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)..."

Allahu Akbar...!!

Maka, sewajarnya kita umat Islam menginsafi kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Keadaan muka bumi Malaysia hari ini sudah cukup banyak dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Moga Allah pelihara bumi kita ini dari sebarang malapetaka. Semoga kita semua kembali mematuhi perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi kita, Muhammad s.a.w..

p/s : Ampunkan kami Ya Allah..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...