Wednesday, September 30, 2009

Dari Permatang Pasir Ke Bagan Pinang

Salam, bertemu kembali..

Kurang 2 minggu lagi, pengundi-pengundi di DUN Bagan Pinang bakal menentukan siapakah wakil rakyat baru bagi kawasan mereka susulan kematian wakil rakyat sebelumnya. Hari semalam pula menyaksikan Barisan Nasional (BN) telahpun menamakan Tan Sri Mohd.Isa Samad daripada UMNO sebagai calon mereka manakala Pakatan Rakyat memilih Haji Zulkeply Mohamad Omar daripada Pas.



Menyorot pengalaman kedua-dua parti ‘seteru’ ini, UMNO-BN begitu dahagakan kemenangan dalam pilihanraya lantaran mereka sudah dilemaskan dalam 7 siri pilihanraya kecil melibatkan kawasan DUN dan Parlimen di kawasan semenanjung. Paling terbaru ialah di Permatang Pasir di mana UMNO-BN terus mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil di situ.


Sebaik keputusan diumumkan, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan telah menggariskan LIMA punca kekalahan UMNO-BN di Permatang Pasir. Katanya, punca kekalahan ini harus diambil iktibar untuk dijadikan pengajaran pada masa yang akan datang (baca : PRK Bagan Pinang). Oleh itu, bagi meraikan saranan Ahmad Maslan, puak UMNO-BN harus juga meneliti 5 punca kekalahan di Permatang Pasir sebagai inisiatif untuk mempertahankan Bagan Pinang dalam hari pengundian nanti.


1.Faktor hari mengundi ialah hari bekerja


UMNO-BN menyifatkan kekalahan mereka di Permatang Pasir disebabkan SPR yang menetapkan hari pengundian pada hari bekerja. Hal ini bagi mereka menyebabkan ramai pengundi luar kawasan tidak dapat pulang mengundi. Semua pihak bersetuju dengan hal ini. Namun, kelemahan ini awal-awal lagi sudah diatasi oleh SPR apabila menetapkan hari pengundian di Bagan Pinang adalah pada hari Ahad. Jadi, keputusan SPR selari dengan analisis dibuat Ahmad Maslan dan tuntutan yang dimahukan parti lawan.


2.Faktor pengundi hantu


UMNO-BN juga menyifatkan kekalahan mereka di Permatang Pasir disebabkan wujudnya pengundi hantu yang mengundi bagi pihak Pas, dalam erti kata memenangkan calon Pas ketika itu, Haji Salleh Man. Penulis pun agak gusar dengan kenyataan Ahmad Maslan ini. Bagi pihak rakyat marhaen di bawah ini, agak sukar dipercayai yang Pas bersekongkol dengan SPR bagi memasukkan nama pengundi hantu dalam daftar pemilih di Permatang Pasir. (unbelievable).


Jika benar perkara ini, ia bermaksud Pas bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara memasukkan nama pengundi yang tidak wujud seterusnya membawa pengundi dengan bas ke pusat-pusat mengundi bagi memenangkan calon Pas. Hal ini sangat mustahil berlaku kerana bidang kuasa JPN tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Dato’Sri Hishamuddin Hussien.


Bagi penulis, punca kedua ini tidak perlu diulas panjang kerana mustahil Pas boleh membawa pengundi hantu dalam pilihanraya kecil itu. Entah-entah Ahmad Maslan itu sendiri pun tak tahu apa yang diperkatakannya. Ada pulak Pas yang bawa pengundi hantu, pelik..pelik… (mengata dulang paku serpih, mengata Pas, UMNO-BN yang lebih)

Jadi, SPR harus didesak lebih bertanggungjawab dan memastikan proses pengundian perlu diketatkan lagi agar tiada mana-mana pengundi hantu boleh melayang-layang berterbangan masuk ke bilik mengundi.. SPR kena cari ‘bomoh’ untuk mengesan pengundi hantu yang berkeliaran..


3.Faktor pengundi Cina/India memihak Pakatan Rakyat


UMNO-BN juga mengakui bahawa majoriti undi pengundi Cina/India telah menyebelahi Pakatan Rakyat apabila Ahmad Maslan menyebutkan sebagai punca ke-3 mengapa UMNO-BN kalah di Permatang Pasir. Fenomena ini telah menghantui UMNO-BN sejak berakhirnya PRU-12 tahun lalu. BN yang mengharapkan parti terbesar orang Cina, MCA untuk menarik semula sokongan pengundi Cina sekurang-kurangnya dalam PRK Bagan Pinang ternyata akan gagal apabila MCA sendiri sedang bergelut dengan perang dalaman antara Presidennya, Ong Tee Keat dengan bekas orang no.2 parti itu, Dr.Chua Soi Lek.


Jumlah pengundi India yang agak ramai di Bagan Pinang yang dikatakan akan menjadi undi penentu juga perlu diteliti oleh kedua-dua parti bertanding. Penulis difahamkan jentera Pas Pahang diberi peranan di kawasan estet, yang majoritinya penduduk India. Sudah tentu Mr.Balasubramaniam (Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pahang) dan ‘bala tenteranya’ akan menggempur habis-habisan di sana nanti. UMNO-BN juga pasti tidak berdiam diri. Bekas calon Timbalan Presiden MIC, Datuk S.Sothinathan pasti tahu selok belok masyarakat di sini memandangkan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Teluk Kemang sebelum ianya ditewaskan PKR dalam PRU tahun lalu.


4.Faktor Anwar


UMNO-BN juga menggariskan faktor Anwar Ibrahim sebagai punca kekalahan mereka di Permatang Pasir. Permatang Pasir terletak di dalam parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu Anwar Ibrahim sejak 1982. Lain halnya di Bagan Pinang. Bagan Pinang bukan kubu Anwar Ibrahim, bukan kubu PKR malah bukan kubu Pas. Ia kubu UMNO-BN. Malah, ia merupakan kampong halaman Isa Samad, calon yang diketengahkan BN. Jadi punca ke-4 ini telah diatasi UMNO-BN dalam PRK kali ini..


5.Faktor calon


UMNO-BN juga mengakui kesilapan mereka meletakkan Rohaizat Othman sebagai calon di Permatang Pasir. Calon ini telah terbukti salah oleh Majlis Peguam malah tauliahnya telah ditarik balik. Isu ini dimainkan Pakatan dengan begitu baik. UMNO-BN pula gagal memberi pukulan balas meyakinkan hingga akhirnya menyebabkan mereka tersungkur teruk atas pasir di permatang.


Di Bagan Pinang, jelaslah UMNO-BN sudah terjerat. Mereka jadi serba salah. Kesemua AJK UMNO Bahagian Teluk Kemang mahukan ketua mereka, Isa Samad sebagai calon. Ia disanggah beberapa pemimpin tertinggi termasuk Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin yang mahukan bahagian itu mengemukakan lebih dari satu nama. Semuanya kerana kerisauan jika Isa tidak dicalonkan, sudah pasti ahli UMNO Bahagian akan memboikot @ memberikan undi mereka kepada parti lawan..

Namun, perlu diingat, bukan semua pengundi di Bagan Pinang menyokong UMNO-BN. Dan bukan semua penyokong UMNO-BN yang menyokong Isa Samad. Ramai penyokong MB, Mohamad Hassan sudah pasti akan melakukan 'sesuatu' dalam PRK nanti. Umum mengetahui MB kurang menyenangi kehadiran Isa dalam pentadbiran negeri, walaupun pengalaman Isa jauh lebih banyak dari MB sekarang. Isa menjadi MB selama 22 tahun (1982-2004).

Isa Samad juga pernah menghadapi tuduhan politik wang dan didapati bersalah. Beliau digantung keahlian dalam UMNO dan berkelana beberapa tahun. Kini, karier politiknya kembali cerah. Mungkinkah pengundi Bagan Pinang akan beri peluang kepada Isa bergelar ADUN Bagan Pinang?? Mungkin Isa boleh menguntum senyuman sekarang namun perlu diingat pepatah Melayu ada berkata, "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari". Mungkin saja ini yang akan berlaku pada Isa. Ditakdirkan Isa kalah, akan gelaplah kembali karier politiknya. Manakan tidak, kalah di kampung halaman sendiri..

Dari 5 punca diutarakan Ahmad Maslan, hanya 2 daripadanya berjaya ditangani secara total, iaitu penetapan hari mengundi pada hari cuti dan ketiadaan faktor Anwar di Bagan Pinang. Punca seterusnya iaitu pengundi Cina/India memihak Pakatan Rakyat ternyata masih gagal diatasi oleh UMNO-BN. Mereka masih kekal menolak BN berdasarkan pemerhatian ramai penganalisis politik, sejak PRU 8 Mac dan berlanjutan kepada 7 siri pilihanraya kecil.

2 punca lain masih dalam kesamaran. Isu pengundi hantu mungkin akan berjaya diatasi SPR. Isu Tan Sri Isa Samad sebagai calon juga memperlihatkan UMNO-BN masih belum mampu mengemukakan calon yang bersih dari latar peribadi dan latar politiknya mahupun calon yang muda dan progresif. Berbeza dengan Pas yang meletakkan Haji Zulkefly Mohamad Omar, usahawan berusia 45 tahun, berjawatan Pesuruhjaya Pas negeri dan berperibadi bersih, jauh dari rekod penyalahgunaan mahupun politik wang.


Selamat merakyatkan demokrasi di Bagan Pinang.

p/s : Teringin juga meninjau suasana kempen di sana..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...