Thursday, July 16, 2009

Manek Urai : Sekadar Ulasan..

Salam buat semua..


Di laman-laman maya, laporan warta berita, topik sembang di kedai kopi sehingga ke café hotel 5 bintang di ibu kota, para penyokong akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi, semuanya masih dalam ‘mood’ PRK Manek Urai (MU), Selasa lalu berikutan keputusannya yang sangat memeranjatkan kedua-dua belah parti bertanding.

UMNO-BN masih terkejut kerana mendapat pertambahan undi yang begitu besar, hampir 900 undi. Pas juga masih ke’hairan’an kerana pengurangan undi yang agak banyak juga, hampir 400 undi. Pada 8 Mac 2008, calon BN mendapat 4,394 undi dan ia bertambah sebanyak 889 undi pada Selasa lalu menerusi calonnya, Tuan Aziz Tuan Mat. Pas pula pada PRU-12 menerusi Allahyarham Ismail Yaacob memperoleh 5,746 undi dan ia berkurang sebanyak 398 undi Selasa lalu melalui calonnya, Abe Uji yang memperoleh 5,348 undi.

Kemenangan sudah nyata masih berpihak kepada Pas namun yang masih menjadi perdebatan hangat semua pihak ialah berkenaan majoriti undi yang berkurang begitu banyak, iaitu 1,287 undi..!! Perlu diingat bahawa inilah pertama kali UMNO-BN berjaya mengurangkan majoriti kemenangan pihak lawan sejak 5 siri PRK dilangsungkan di semenanjung Malaysia, bermula dengan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti. Walaupun kalah, UMNO-BN sudah bertepuk sorak kerana kejayaan mereka yang berjaya juga menggugat kekuatan Pas di kubu kuat mereka.

Sebagai seorang rakyat biasa, penulis juga turut sedikit sebanyak mengikuti perkembangan pada hari berkempen dan sebelum hari pengundian Selasa lalu. Terasa sedikit kepelikan dan kejanggalan yang berlaku apabila seorang pemimpin Pas Kelantan mengatakan Timb.Presiden Pas, Ust.Nasharudin Mat Isa segan untuk datang ke Manek Urai, sedangkan rupa-rupanya MP Bachok itu berada di hospital, menjalani rawatan.. Pada fikiran masyarakat umum, takkanlah pemimpin Pas berkenaan tak tahu yang Ust.Nasha berada di hospital..?? Persoalan ini yang bermain di benak fikiran rakyat..

Seorang lagi pemimpin Pas pula menegaskan hanya gambar TG Nik Aziz sahaja dibenarkan untuk dipamer di Manek Urai.. Mengikut ulasannya, pemimpin Pas itu berpendapat hanya gambar TG mempunyai lebih nilai komersial.. Benarkah begitu..?? (tak dapat jawab, penulis bukan orang Kelate).

Mungkin penulis tidak layak untuk mempersoal dan mengkritik sesiapa yang nyata lebih arif dalam selok belok politik. Rakyat sedang memerhati dan melihat tingkahlaku serta tutur kata dari pemimpin mereka. Penulis berkata bukan untuk menunjuk pandai. Cuma kita bercakap dan meluahkan kekecewaan dan kekesalan seperti mana yang dikeluh-kesah oleh masyarakat umum di luar sana. Ini sebenarnya hakikat, lebih-lebih lagi kepada golongan muda dan pengundi atas pagar yang pasti memainkan peranan sebagai suara terbanyak dalam PRU-13 nanti..

Beberapa penganalisis politik nyata senada apabila merumuskan keputusan PRK Manek Urai telah menyaksikan golongan muda dan pengundi atas pagar telah menolak Pas sehingga majoriti undi berubah dengan begitu mendadak. Yang menyelamatkan Pas ialah undi pengundi dewasa dan pengundi veteran. Bolehkah kita mengharapkan undian dari saluran 1 dan 2 lagi..? sedangkan hampir 6 juta pengundi muda bakal menentukan hala tuju pemerintahan negara ini menjelang PRU-13.

Apapun sekalung tahniah kepada YB Haji Mohd.Fauzi Abdullah, ADUN Manek Urai yang baru. Semoga terus bekerja untuk Islam dan kemaslahatan ummat. Kepada semua yang bergelar pemimpin, ingatlah bahawa rakyat memerhatikan anda. Pendirian dan tindakan bijak pemimpin ditagih, kebijaksanaan dan strategi parti perlu diperkukuh, kepercayaan rakyat jelata perlu diraih, barulah sebuah kerajaan yang saling memerlukan, antara rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan rakyat dapat direalisasikan.

p/s : Selamat menjalankan tugas kepada Abe Uji..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...