Monday, October 19, 2009

Ibrahim Ali : Antara Nikah Cerai dan Political Backstabber

Salam, selamat bertemu kembali..

Ibrahim bin Ali merupakan seorang bekas aktivis mahasiswa ITM sekitar 1970-an. Beliau pernah menggerakkan demonstrasi jalanan bersama-sama Anwar Ibrahim pada tahun 1974. Selepas tamat belajar, Ibrahim Ali mendirikan ‘gerbang perkahwinannya’ dengan Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Malaysia) sekitar tahun 1977. Perkahwinannya hanya bertahan setahun apabila pada tahun 1978, beliau ‘bercerai’ dengan Berjasa dan ‘berkahwin’ dengan UMNO. Ibrahim dan UMNO pun melayari hidup bersama hinggalah satu ketika pada tahun 1988, beliau ‘bercerai’ pula dengan UMNO dan ‘menikahi’ seorang janda bernama Semangat 46. Hampir 7 tahun bersama, pada tahun 1994, Semangat 46 menemui ‘ajal’ akibat kegagalan ‘jantung’.

Ibrahim yang menjadi ‘duda’ mengambil keputusan untuk ‘rujuk’ semula dengan UMNO pada tahun 1995. Dalam perkahwinan keduanya dengan UMNO ini, beliau menjalani kehidupan yang penuh bahagia sehingga pernah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian paling kanan dalam kerajaan. Kehidupan mereka berdua begitu harmoni sehinggalah kira-kira 9 tahun kemudian iaitu pada tahun 2003, perkahwinannya berantakan apabila bapa mentuanya (ayah UMNO) iaitu Pak Lah tidak mahu menyambung ‘kontrak’ Ibrahim sebagai menantu. Dalam erti kata lain, pak mentuanya mahu Ibrahim berpisah dengan UMNO.


Ibrahim yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu bertindak membuat ‘kacau’ dalam pilihanraya umum mencari menantu yang diadakan pak mentuanya di Pasir Mas pada tahun 2004. Beliau yang tewas teruk akhirnya berkelana seorang diri. Bekas pak mentuanya pula terus melucutkan gelaran ‘bekas menantu’ yang ada pada Ibrahim seumur hidup. UMNO pun sudah menyampah kepadanya. Pada pilihanraya kecil cari menantu di Pengkalan Pasir pada tahun 2005, Ibrahim sekali lagi mencuba nasib tetapi kalah juga.

Pada tahun 2008 pula, Ibrahim ingin sekali lagi bertanding dalam pilihanraya umum mencari menantu. Kali ini, jiran sekampungnya, Pok Nik Ajih menawarkan ‘gadisnya’ bernama Pas untuk Ibrahim. Ibrahim senang hati. Tapi peliknya Ibrahim tidak mahu Pas dijadikan sebagai isteri, tapi hanya sebagai teman. Pas memang cukup cantik, tapi mengapa Ibrahim menolaknya sebagai isteri, itu penulis tak tahulah pulak. Pok Nik Ajih setuju. Maka, atas ehsan Pok Nik Ajih itu, maka berkawanlah Ibrahim dengan Pas. Ibrahim tidak tinggal serumah dengan Pas kerana mereka bukan suami isteri, beliau cuma berteduh di bawah rumah Pas. Dapatlah Ibrahim merasai nikmat kehidupan semula selepas beberapa tahun keseorangan..


Namun, peliknya selepas beberapa bulan tumpang berteduh di situ, Ibrahim mula buat hal. Beliau selalu mengata dan mengutuk rumah Pok Nik Ajih. Sana tak kena, sini tak kena. Beliau juga mengutuk Pas dan kawan-kawan Pas seperti PKR dan DAP. Kawan-kawan baik Pok Nik Ajih seperti Pak Syeikh Nuar dan Ayah Chik Hadi Awang pun selalu dihentamnya walaupun semua mereka itu berkawan baik dengan Ibrahim satu ketika dulu.

Ibrahim juga sudah beberapa kali tumpang berteduh di bawah rumah UMNO, bekas isterinya dulu. Selalu juga Ibrahim muncul berucap di bawah rumah UMNO itu bersama-sama NGO-NGO yang berkawan baik dengan UMNO. Mereka berhujah, bersyarah berapi-api konon hanya merekalah pejuang bangsa Melayu. Ibrahim juga berani menjadi presiden sebuah NGO pro-Melayu yang menjemput bekas ayah UMNO pada tahun 1980-an iaitu Tok Det menjadi perasmi penubuhannya.

Keadaan ini berterusan hinggalah pada ketika ini yang menjadikan keadaan semakin panasss.. Situasi di mana Ibrahim secara terang-terang mengakui beliau sebenarnya masih ada hati dengan UMNO, bekas isterinya. Berani betul Ibrahim ni..hehe.. Mungkin sebab bekas pak mentuanya, Pak Lah dah tiada. Pak Lah dah letak jawatan sebagai ayah UMNO pada awal 2009. Sekarang UMNO ada ayah baru, iaitu Tok Jib. Mungkin Ibrahim boleh ambil hati Tok Jib kot, untuk ambil beliau sebagai menantu semula. Mungkin juga Tok Jib terima, kita tengoklah..


Tapi saudara UMNO di Kelantan minta Tok Jib fikir semula untuk terima Ibrahim sebagai menantu semula. Kata mereka, Ibrahim ni banyak sejarah. Banyak kali kahwin cerai.. Takut-takut nanti UMNO tengah sakit tenat, dia bantai cerai bini dia waktu tu.. Kesian la pada UMNO.. Sudahlah sakit, kena cerai pulak.. Paling sedih apakah perasaan Pok Nik Ajih dan Pas yang mengambil Ibrahim berteduh di bawah rumah mereka satu ketika dulu..?? Ketika orang lain tak mahu Ibrahim, Pok Nik Ajih dengan tangan terbuka terima Ibrahim, walaupun Ibrahim orang luar. Sanggup Ibrahim lupa pada jasa Pok Nik Ajih..??

Selepas apa yang Ibrahim lakukan pada Pok Nik Ajih dan Pas termasuklah UMNO, Berjasa dan Semangat 46, adakah beliau layak digelar "political backstabber"..??


p/s : Sekadar melawak jenaka..

Wednesday, October 14, 2009

Piala Malaysia : Akhirnya Kedah Tersungkur..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Setelah gah di persada Piala Malaysia selama 2 tahun berturut-turut, juara bertahan merangkap pasukan ‘favourite’ penulis, Kedah akhirnya tersungkur jua dalam saingan Piala Malaysia apabila gagal layak sebagai 8 pasukan terbaik untuk beraksi di pusingan suku akhir piala tertua negara itu.. Sungguhpun menampilkan persembahan bertenaga membelasah Pulau Pinang 4 – 0 malam tadi, kemenangan pasukan Kuala Muda Naza ke atas gergasi merah, Selangor menutup terus intaian Kedah ke suku akhir..

Kedah sudah melakukan sedaya upaya mereka. Benar telahan penulis dalam artikel petang semalam (yang disiarkan petang ini), Kedah perlu menang dengan jaringan besar bagi mencerahkan peluang itu. Kedah berjaya melakukannya, menang dengan jaringan besar ke atas Pulau Pinang. Namun, sangkaan dan ramalan peminat yang mengharap Kuala Muda Naza, Perlis dan Perak tewas teruk kepada lawan masing-masing jauh tersasar. Kuala Muda Naza dengan tidak disangka-sangka berjaya menumbangkan juara tiga piala musim ini, Selangor dengan gol tipis 3 – 2, manakala Perak pula sekadar seri dengan 1 – 1 dengan Johor FC manakala Perlis pula berjaya menewaskan Plus FC dengan jaringan 1 - 0.

Sedih untuk diulas lagi, Kedah tersingkir jua akhirnya. Harapan kini tinggal harapan. Tahniah kepada Azraai Khor dan anak buahnya atas persembahan sepanjang saingan Piala Malaysia ini. Tahniah juga kepada kesemua 8 pasukan layak ke suku akhir :

SELANGOR

KELANTAN

KL PLUS FC

NEGERI SEMBILAN

JOHOR FC

TERENGGANU

PERLIS

KUALA MUDA NAZA

Info Piala Malaysia seterusnya di SINI


p/s : Kedah kena lebih pulun musim depan.. Majulah sukan untuk negara..!!

Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir Terjawab Malam Ini..!!

Salam, selamat bertemu kembali..

Sepatutnya posting ini disiarkan pada petang semalam, namun kerana ‘masalah teknikal’ dan masalah talian internet, penulis tidak sempat meletakkannya di blog ini. Oleh kerana, sudah puas menaip petang semalam, penulis ingin terbitkan juga petang ini, walaupun persoalan dalam artikel ini sudahpun terjawab...huhu, sedihnya..


Artikel 12 Oktober 2009, jam 2.15 petang :


Rasanya sudah lama penulis tidak menjadi ‘pengulas’ sukan tanahair dalam laman ini. Terasa ‘gatal’ pula tangan hari ini nak tulis bab saingan Piala Malaysia yang semakin ‘hangat’. Walaupun rakan-rakan di tempat kerja penulis asyik saja mengulas tentang perkembangan saingan EPL (Liga Perdana Inggeris), penulis sebenarnya lebih teruja untuk mengikuti perkembangan pasukan ‘favourite’ dulu, kini dan selamanya, pasukan bolasepak Kedah Darul Aman.


Tajuk posting penulis kali ini ialah Piala Malaysia : Berjayakah Kedah Ke Suku Akhir .?? Dalam saingan Piala Malaysia yang semakin hangat kini, itulah antara persoalan yang bermain-main di fikiran seluruh peminat bolasepak Kedah dan mereka yang mengikuti rapat perkembangan skuad Hijau Kuning itu. Setelah menang 2 kali (Kedah 3 – ATM 0, Kedah 1 – Kelantan 0), satu keputusan seri (Kedah 1 – ATM 1) dan dua kekalahan (Kedah 1 – Kelantan 2, Kedah 0 – Pulau Pinang 1), kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Pulau Pinang malam ini sangat penting bagi skuad Azraai Khor Abdullah.


Keadaan kini semakin genting.. Dari 8 pasukan yang diperlukan untuk mengisi slot suku akhir, 2 pasukan selaku juara kumpulan D dan E sudah mengesahkan tempat mereka iaitu Selangor dan Kelantan. 4 pasukan lagi iaitu KL Plus (juara kumpulan A), Negeri Sembilan (juara kumpulan B), Johor FC (juara kumpulan C) dan Terengganu (naib juara kumpulan B) pula dianggap sudah ‘sebelah kaki’ ke suku akhir. Ini juga bermakna hanya tinggal lagi 2 tempat yang mana akan ditentukan menerusi 3 naib juara kumpulan yang mencatat mata tertinggi. Mengambil kira keadaan semasa, 2 naib juara terbaik dihuni oleh Perlis (10 mata) dan Perak (10 mata) dalam kumpulan masing-masing.


Atas kertas, Kedah sudah tidak berupaya lagi. Kedah ketinggalan begitu jauh dari segi mata di mana mereka hanya mampu mengutip 7 mata dari 5 perlawanan. Atas apa alasan sekalipun, Kedah harus menang ke atas Pulau Pinang malam ini sambil mengharapkan semua naib juara kumpulan terutamanya Perlis dan Perak tewas dengan jaringan besar kepada lawan masing-masing. Hanya dengan ‘keajaiban’ itu sahaja, mampu melayakkan Kedah mengisi baki dua tempat berkenaan. Kedah perlu mengutip 3 mata penuh dengan mengalahkan Pulau Pinang dengan jaringan besar, bagi membolehkan mereka berkongsi mata dengan Perak dan Perlis.


Andainya skuad Azraai Khor ‘makan besar’ malam ini dan Perak serta Perlis pula mencatatkan kekalahan besar, pasti Kedah berjaya merebut tempat ke suku akhir.. Namun perlu diingat, Pulau Pinang juga ingin menyelesaikan misi yang sama..

PULUN KEDAH PULUN

p/s : Sekadar sokongan seorang peminat kecil pasukan Kedah dari bumi Pahang


ADUN Bagan Pinang : Tahniah Kepada Tan Sri Mohd.Isa Samad

Salam, selamat bertemu kembali..

Malam Ahad lalu, berakhirlah segala penantian seluruh dunia, yang mengamati perjalanan pilihanraya kecil penuh kontroversi dan segala macam kejutan.. Calon UMNO-BN yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, Tan Sri Mohd.Isa Samad diangkat oleh 8,013 orang pengundi sebagai wakil rakyat Bagan Pinang. Tahniah diucapkan kepada beliau yang melakukan ‘political comeback’ untuk kembali berada dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selepas kali terakhir pada tahun 2003.

Tahniah juga kepada beliau kerana berjaya ‘menarik kembali’ sokongan pengundi Melayu, Cina dan India apabila menang dengan majoriti lebih besar berbanding majoriti dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa Samad berjaya memenangi kesemua lapan peti undi (UPU) termasuk merampas tiga UPU yang pernah dimenangi Pas dalam PRU terdahulu. Tan Sri Isa juga berjaya mengurangkan undi pos yang diperoleh Pas kali ini apabila calonnya, Haji Zulkefly Mohamad Omar sekadar meraih 800 undi lebih berbanding 1,000 undi lebih dalam PRU terdahulu.

Tahniah juga kepada semua jentera kerajaan termasuk jabatan-jabatan seperti jabatan kesihatan, jabatan kerja raya yang menurap jalan pagi petang, pihak polis, termasuk kementerian-kementerian terlibat yang begitu gigih menyalurkan bantuan kepada pengundi menjelang pilihanraya. Mereka menunjukkan gerak kerja yang begitu ‘outstanding’ dalam membantu Tan Sri Isa Samad. Sewajarnya gerak kerja ini diteruskan lagi pada masa-masa di luar pilihanraya.

Tahniah juga diucapkan kepada pihak media kerajaan yang melaporkan isu-isu dan laporan berita yang ‘sangat adil’ dalam fasa pilihanraya kali ini. Hampir setiap waktu berita, kita akan melihat ‘keburukan’ parti pembangkang dan media kerajaan juga gemar meminta maklum balas daripada pemimpin kerajaan tentang pelbagai isu tanpa memberi peluang kepada pemimpin Pas untuk menjawab semula. Hal ini sangat memberi’ bonus’ kepada kemenangan Tan Sri Isa Samad. Perkara ini harus dipertahankan dengan kuat kerana media sangat berperanan menyampaikan segala berita dan ‘kebaikan’ serta ‘jasa’ pimpinan kerajaan. Dengan ini, rakyat yang ‘lemah’ akan mudah termakan dengan berita-berita yang belum diketahui kebenarannya..

Tahniah juga kepada 8,013 orang pengundi Bagan Pinang yang telah memilih untuk menerima Tan Sri Mohd.Isa Samad yang telah tercalar rekod perkhidmatannya atas kesalahan politik wang dan beliau didapati salah oleh lembaga disiplin partinya sendiri. Itu hak mereka. Hak pengundi Bagan Pinang. Bukan hak kita. Mereka memilih untuk menerima Isa dan menolak calon Pas. Tahniah juga kepada lebih 2,500 pengundi Bagan Pinang yang memilih untuk tidak mengundi Isa apabila mereka kekal mengundi Pas kali ini. Tahniah juga kepada lebih 1,500 pengundi yang ‘beralih arah’ kembali mengundi Isa dalam PRK kali ini selepas memberi undi mereka kepada calon bukan BN pada 8 Mac tahun lalu.

p/s : Tahniah jentera kerajaan, tahniah media perdana, tahniah pengundi, tahniah ISA..

Wednesday, October 7, 2009

Mereka Telah Pulang Ke Rahmatullah..

Salam, selamat bertemu kembali…

Di kampong penulis, majlis-majlis kenduri perkahwinan sering diserikan dengan majlis berzanji dan marhaban. Sejak kecil, penulis sering dibawa ayah bersama-sama pak cik-pak cik lain turut sama berzanji dan bermarhaban. Mungkin kerana pendedahan sejak kecil itu, penulis sempat juga belajar kelas berzanji ketika di sekolah menengah, bersama Ust.Tn.Haji Azman Mat Amin, seorang guru yang sangat berpengalaman di SMK Jengka Pusat.. Namun, pembelajaran sekerat jalan, memandangkan ketika itu sudah agak hampir dengan peperiksaan SPM, kami bersepakat untuk berhenti dari mengikuti kelas berzanji itu.

Antara penggerak utama acara berzanji di kampong penulis ialah Tn.Haji Shamsuddin Anjam, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie, Tn.Haji Mat Taha Lingga, Pak Cik Arshad Masran termasuk Haji Harun Ahmad, Haji Ahmad Sulaiman, Haji Ismail Ibrahim dan ramai lagi.. Baru-baru ini, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie telah meninggal dunia. Hilanglah seorang ‘orang penting’ marhaban di kampong penulis. Penulis sekeluarga agak terkejut dengan berita kematiannya memandangkan beberapa jam sebelum itu, beliau rancak berbual dengan ayah penulis ketika mereka bertemu di kedai runcit. Arwah yang dikenali dengan nama panggilan Mat Awi turut menjadi imam di surau An-Nur yang berdekatan dengan rumah penulis.

Terdahulu sebelum itu iaitu beberapa bulan lepas, seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis iaitu Pak Cik Husin Kadiman telah kembali ke Rahmatullah. Pak Cik Husin merupakan seorang yang mahir dengan kerja pendawaian elektrik (wiring). Mungkin hampir semua penduduk di kampong penulis pernah mendapatkan khidmat beliau. Dari kerja pemasangan plag, soket, lampu sehingga pemasangan wayar di dinding rumah telah menjadi permainan beliau sejak bertahun-tahun. Namun, kini beliau tiada lagi..

Seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis ialah Pak Cik Yahya Mansor yang dikenali dengan nama Pak Ya di kalangan penduduk kampong. Kini, beliau tiada lagi. Arwah meninggal dunia juga beberapa bulan lepas ketika masyarakat Jengka heboh dengan wabak Chikungunya. Arwah mendirikan sebuah kedai makan bertentangan dengan rumah penulis. Ia dibuka bermula selepas Subuh hingga kira-kira jam 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan jika ada kenduri. Menu utama?? Segala jenis juadah mee termasuk mee kari, mee goring, mee rebus, mee rojak. Laksa, cucur udang, keropok lekor dan banyak lagi. Namun, yang paling ‘famous’di kedai Pak Ya ialah nasi lemak, mee goring dan ais batu campur (ABC)

Sejak penulis Darjah 1, penulis bersarapan nasi lemak ikan bilis dari kedai Pak Ya berharga 30 sen, kadang-kadang nasi lemak separuh berlauk ayam masak merah berharga 50 sen. Minuman pula, teh tarik yang hanya berharga 60 sen. Ironinya, harga serendah itu tidak berubah langsung sehingga kini, sudah lebih 15 tahun arwah mengekalkan harganya yang sangat membantu perancangan kewangan (untuk makan sarapan) bagi mereka yang anak ramai. Juadah mee kedai Pak Ya juga turut di’promosi’kan penulis kepada guru-guru penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu antaranya Cikgu Sukairi Abu yang tak jemu bertanyakan ‘bila pulak nak makan lagi mee goreng Pak Ya’. Kepulangan Pak Ya ke Rahmatullah pada satu pagi memang mengejutkan semua orang. Masing-masing bersedih dan ada yang menitiskan air mata..

Kenangan bersama ketiga-tiga mereka takkan luput dalam ingatan..

AL-FATIHAH.

p/s : Mudah-mudahan roh Allahyarham Pak Cik Mat Awi, Pak Cik Husin dan Pak Ya akan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..InsyaAllah..

Monday, October 5, 2009

15 Perkara Yang Mendatangkan Bala Dari Allah s.w.t

Salam..

Gempa bumi..???


(Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

Drpd Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah hampirnya hari Qiamat itu, berlaku banyak kematian manusia secara mendadak"

(Hadis riwayat Thabrani)

Drpd Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan datang hari qiamat sehinggalah berlakunya banyak gempa bumi"

(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda:

"Sebelum berlakunya hari qiamat, akan terdapatnya kematian yang amat menakutkan dan kemudian dari itu berlakulah tahun-tahun gempa bumi"

(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun kepada mereka, iaitu
  1. Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan
  3. Zakat dijadikan hutang
  4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)
  5. Anak derhaka terhadap ibunya
  6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.
  7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya
  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
  9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
  11. Arak sudah diminum secara berleluasa.
  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
  13. Para artis-artis disanjung-sanjung.
  14. Muzik banyak dimainkan/didendangkan.
  15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain"

Rujukan dari SINI

p/s : Nauzubillahi Min Zalik..

Bencana Alam di Sumatra : Peringatan Allah Kepada Umat Islam Di Malaysia

Salam, selamat bertemu kembali.


Berlakunya beberapa peristiwa gempa bumi dan pelbagai bencana alam lain di sekeliling negara kita Malaysia sewajarnya diambil sebagai pengajaran yang menginsafkan umat manusia betapa Allah s.w.t ingin memberikan peringatanNya dan menunjukkan upayaNya, bahawa Dia yang berkuasa ke atas semua perkara atas muka bumi ini..

Dua tiga hari lepas, semasa menonton siaran berita di televisyen, penulis sendiri berasa gerun apabila menyaksikan laporan berlakunya gegaran gempa bumi di merata tempat termasuklah Padang di Sumatra, Papua Barat, sebahagian wilayah di China dan juga di Amerika Syarikat. Apakah rahsia yang ada di bumi dan langit Allah yang berterusan menurunkan bala’ (ujian) kepada umat manusia, mungkinkah kerana dosa-dosa dari tangan-tangan manusia sendiri..??

Dari segi penjelasan sains, fenomena gempa bumi berlaku apabila terjadinya pelanggaran antara plat-plat tektonik yang terdapat di kerak bumi. Ia juga boleh terjadi apabila plat-plat ini berselisih antara satu sama lain. Garisan plat yang paling tidak stabil terletak di rantau Asia, melingkari dari utara Jepun, China, Taiwan, Filipina, Sulawesi hingga ke kepulauan Indonesia (Pulau Jawa dan Sumatra) seterusnya hingga ke selatan India. Zon ini dikenali dengan nama Lingkaran Api Pasifik.

Dalam lingkaran ini, terdapat banyak jajaran gunung-gunung berapi, sering berlaku bencana alam seperti gempa bumi, ribut taufan dan banjir besar yang memusnahkan. Dalam siri gempa bumi dalam sejarah, terdapat 2 peristiwa bencana yang paling diingati dunia. Pertama, peristiwa letusan Gunung Krakatau di Jawa pada tahun 1883. Gempa bumi terbesar itu bukan sahaja menyebabkan letusan yang sangat kuat hingga menghancurkan sebahagian gunung terbabit bahkan menyebabkan paksi bumi bergerak sedikit dari kedudukan asalnya. Bahang panasnya menjulang beberapa kilometer ke langit. Debu dari letusannya pula dilaporkan meliputi sehingga ke Australia yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya dari Jawa.

Peristiwa kedua berlaku pada 26 Disember 2004, kira-kira 5 tahun lalu. Gempa bumi sekuat 9.0 pada skala Richter ini mengorbankan hampir 250 000 umat manusia di sekitar Asia Tenggara, Asia Selatan, dan pantai timur benua Afrika. Gempa bumi tengah laut itu berpusat di dasar Laut Andaman dan mencetuskan ombak tsunami menakutkan setinggi 30 meter menghempas pantai wilayah Acheh di utara Sumatra, menyebabkan wilayah autonomi Islam itu bertukar sekelip mata menjadi padang jarak, padang tekukur. Turut merasai badaian tsunami ialah penduduk di pantai sekitar Kuala Muda, Kedah, pantai Langkawi dan Tanjung Tokong di Pulau Pinang serta pantai-pantai di India, Sri Lanka, Somalia, dan beberapa negara lain.

Walaupun penjelasan sains tentang kejadian gempa bumi ini wajar diketahui dan dipelajari, kita perlu sedar bahawa penjelasan dari Allah sahajalah yang paling benar dan paling perlu dipelajari. Kejadian ini perlu diinsafi dengan sebenar-benarnya oleh semua umat Islam bahawa Allah mendatangkan peringatan kepada manusia dalam bentuk bencana alam agar ia diambil iktibar dan pengajaran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :

“..Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya...”

Surah Al-Israa' : ayat 16

Allah s.w.t berfirman lagi :

“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."

Surah Maryam : ayat 88-91

Sabda Rasulullah SAW:

"...Sesungguhnya ada sebahagian daripada umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain(bukan arak). (Mereka meminumnya) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa bumi) dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi (setelah mati)..."

Allahu Akbar...!!

Maka, sewajarnya kita umat Islam menginsafi kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Keadaan muka bumi Malaysia hari ini sudah cukup banyak dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Moga Allah pelihara bumi kita ini dari sebarang malapetaka. Semoga kita semua kembali mematuhi perintah Allah dan mengikut ajaran Nabi kita, Muhammad s.a.w..

p/s : Ampunkan kami Ya Allah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...