Wednesday, October 7, 2009

Mereka Telah Pulang Ke Rahmatullah..

Salam, selamat bertemu kembali…

Di kampong penulis, majlis-majlis kenduri perkahwinan sering diserikan dengan majlis berzanji dan marhaban. Sejak kecil, penulis sering dibawa ayah bersama-sama pak cik-pak cik lain turut sama berzanji dan bermarhaban. Mungkin kerana pendedahan sejak kecil itu, penulis sempat juga belajar kelas berzanji ketika di sekolah menengah, bersama Ust.Tn.Haji Azman Mat Amin, seorang guru yang sangat berpengalaman di SMK Jengka Pusat.. Namun, pembelajaran sekerat jalan, memandangkan ketika itu sudah agak hampir dengan peperiksaan SPM, kami bersepakat untuk berhenti dari mengikuti kelas berzanji itu.

Antara penggerak utama acara berzanji di kampong penulis ialah Tn.Haji Shamsuddin Anjam, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie, Tn.Haji Mat Taha Lingga, Pak Cik Arshad Masran termasuk Haji Harun Ahmad, Haji Ahmad Sulaiman, Haji Ismail Ibrahim dan ramai lagi.. Baru-baru ini, Pak Cik Ahmad Badawi Shafie telah meninggal dunia. Hilanglah seorang ‘orang penting’ marhaban di kampong penulis. Penulis sekeluarga agak terkejut dengan berita kematiannya memandangkan beberapa jam sebelum itu, beliau rancak berbual dengan ayah penulis ketika mereka bertemu di kedai runcit. Arwah yang dikenali dengan nama panggilan Mat Awi turut menjadi imam di surau An-Nur yang berdekatan dengan rumah penulis.

Terdahulu sebelum itu iaitu beberapa bulan lepas, seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis iaitu Pak Cik Husin Kadiman telah kembali ke Rahmatullah. Pak Cik Husin merupakan seorang yang mahir dengan kerja pendawaian elektrik (wiring). Mungkin hampir semua penduduk di kampong penulis pernah mendapatkan khidmat beliau. Dari kerja pemasangan plag, soket, lampu sehingga pemasangan wayar di dinding rumah telah menjadi permainan beliau sejak bertahun-tahun. Namun, kini beliau tiada lagi..

Seorang lagi ‘orang penting’ di kampong penulis ialah Pak Cik Yahya Mansor yang dikenali dengan nama Pak Ya di kalangan penduduk kampong. Kini, beliau tiada lagi. Arwah meninggal dunia juga beberapa bulan lepas ketika masyarakat Jengka heboh dengan wabak Chikungunya. Arwah mendirikan sebuah kedai makan bertentangan dengan rumah penulis. Ia dibuka bermula selepas Subuh hingga kira-kira jam 6.30 petang setiap hari kecuali Jumaat dan jika ada kenduri. Menu utama?? Segala jenis juadah mee termasuk mee kari, mee goring, mee rebus, mee rojak. Laksa, cucur udang, keropok lekor dan banyak lagi. Namun, yang paling ‘famous’di kedai Pak Ya ialah nasi lemak, mee goring dan ais batu campur (ABC)

Sejak penulis Darjah 1, penulis bersarapan nasi lemak ikan bilis dari kedai Pak Ya berharga 30 sen, kadang-kadang nasi lemak separuh berlauk ayam masak merah berharga 50 sen. Minuman pula, teh tarik yang hanya berharga 60 sen. Ironinya, harga serendah itu tidak berubah langsung sehingga kini, sudah lebih 15 tahun arwah mengekalkan harganya yang sangat membantu perancangan kewangan (untuk makan sarapan) bagi mereka yang anak ramai. Juadah mee kedai Pak Ya juga turut di’promosi’kan penulis kepada guru-guru penulis di SMK Jengka Pusat ketika itu antaranya Cikgu Sukairi Abu yang tak jemu bertanyakan ‘bila pulak nak makan lagi mee goreng Pak Ya’. Kepulangan Pak Ya ke Rahmatullah pada satu pagi memang mengejutkan semua orang. Masing-masing bersedih dan ada yang menitiskan air mata..

Kenangan bersama ketiga-tiga mereka takkan luput dalam ingatan..

AL-FATIHAH.

p/s : Mudah-mudahan roh Allahyarham Pak Cik Mat Awi, Pak Cik Husin dan Pak Ya akan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman..InsyaAllah..

2 comments:

Nur Qaseh said...

Manusia tiada yang kekal. Budi dan jasa yang akan ditinggalkan.Kalau terkenangkan mereka yang telah pergi. Sedekahkan Al-Fatihah sebagai tanda dia masih diingati.

Nunha said...

Assalammualaikum, terima kasih atas ingatan Pak Tam ke atas Allahyarham bapak aku, Hussin Kadiman.

Al-Fatihah untuk semua yang telah pergi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...