Bermula dengan konsep 1Malaysia, pendekatan turun padang dan mesra rakyat, program Permata Negara tajaan DS Rosmah, NKRA, dan terbaru pembentangan Model Ekonomi Baru dan beberapa agenda dan program lain, sepatutnya BN tiada masalah untuk memenangi kembali hati rakyat bawahan seperti di Hulu Selangor.
Uniknya di Hulu Selangor, walaupun ia kerusi parlimen PKR, ketiga-tiga DUN di dalam nya dikuasai oleh UMNO-BN, iaitu DUN Batang Kali (Mohd.Isa Abu Kasim-UMNO), DUN Hulu Bernam (Datuk Idris Abu Bakar-UMNO) dan DUN Kuala Kubu Baharu (Wong Mun Koon-MCA). Bermaksud ada sebilangan pengundi yang mengundi calon BN di kerusi DUN tetapi memangkah calon PKR di peringkat Parlimen.
Bercakap pula soal calon, sebab masing-masing PR dan BN belum lagi mengumumkan nama calon bertanding. Wujud desakan kuat dari akar umbi yang mahukan TS Muhammad Muhd.Taib diletak sebagai calon memandangkan beliau punya pengaruh besar di negeri Selangor sementelah pernah menjadi pemimpin tertinggi UMNO peringkat pusat dan juga pernah menjadi MB Selangor. Teori digunakan UMNO mudah, ambil iktibar PRK Bagan Pinang di mana yang diletak sebagai calon juga bekas Menteri Besar, TS Isa Samad, pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO, hierarki jawatan sama yang pernah dipegang TS Muhammad. Jadi peratusan BN untuk merampas Hulu Selangor adalah agak tinggi.
Seorang lagi bekas MB Selangor juga sepatutnya wajar dipertimbangkan iaitu Dr.Mohd.Khir Toyo. Walaupun sebelum ini beliau menyokong calon MIC diletak di situ, jika Najib mengumukan beliau yang menjadi calon, nescaya beliau akan menerimanya.. Lagi pulak, bukan sedikit wakil rakyat yang memegang dua jawatan serentak di dewan negeri dan parlimen. Sekadar menyebut nama, DS Ir.Mohammad Nizar (Bukit Gantang, Pasir Panjang), TS Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak, Ijok) dan Lim Guan Eng (Bagan, Air Puteh).
Bagi calon PKR pula, penulis sangat berharap PR akan meletakkan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di JPM, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, bekas Ahli MT UMNO, bekas Senator dan juga peguam berpengalaman. Dua tiga kali mendengar ceramah beliau di pentas Pas dan PKR, hati kecil penulis mengatakan alangkah bagusnya kalau tokoh serupa beliau dihantar mengemukakan hujah di Dewan Rakyat.
Beliau keluar dari UMNO bukan kerana tak dapat jawatan, bukan kerana tak dapat jadi pengarah syarikat dan bukan kerana sebab keuntungan untuk dirinya, tapi beliau keluar dari UMNO kerana prinsipnya yang menentang penggunaan ISA secara tidak terkawal dan kecewa melihat retorik UMNO yang tidak serius membanteras gejala tidak sihat dalam institusi kehakiman.
Dalam ceramah beliau sempena perasmian Orang Muda Geng Kita Peringkat Negeri Pahang di Taman Tas, Kuantan beberapa minggu lalu, beliau menghuraikan secara jelas mengapa beliau bertindak keluar dari UMNO serta kebusukan dan kebobrokan sistem di negara ini yang pincang yang kata beliau, hanya mampu diubah dengan satu cara sahaja iaitu, Tukar Kerajaan. Hal yang sama beliau ungkapkan ketika ceramah sempena Konvensyen Peneroka Felda Kebangsaan di Temin, Jerantut beberapa bulan lalu..
Satu pertembungan yang sangat menarik jika TS Muhammad Muhd.Taib bertanding menentang Datuk Zaid Ibrahim. Kedua-duanya bekas Menteri Kabinet. Muhammad ada kekuatan kerana satu ketika dulu pernah menerajui Selangor manakala Zaid juga tampak gagah kerana partinya, PKR merupakan teraju pemerintahan di Selangor pada masa kini.
Jika angan-angan ini direalisasikan, rakyat Malaysia bakal dipertontonkan dengan episod pilihanraya kecil paling hebat dalam sejarah bila 'buku bertemu dengan ruas'.. Pak Tam Jengka menyokong pencalonan TS Muhammad Muhd.Taib dari UMNO-BN dan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR-PR sebagai calon berentap dalam PRK Hulu Selangor.
Calon Bebas jangan menyempit ye..kalo ada jugak kita panggil 2 000 Orang Asal yang demo di Putrajaya tempoh hari supaya 'sumpit' calon-calon 'nyamuk' ni..
p/s : Mungkinkah terjadi??