Pada 28 Februari 2006, kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga bahan api sebanyak 30 sen berkuatkuasa pada hari yang sama. Harga runcit baru petrol premium RON97 di Semenanjung Malaysia naik kepada RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram. Dalam sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Dwitahunan Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) di ibu pejabat bank pusat itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kenaikan harga minyak itu adalah bagi mengurangkan pergantungan terhadap subsidi yang dinikmati rakyat. Rakyat tidak boleh selamanya bergantung kepada subsidi kerajaan. Penjimatan subsidi oleh kerajaan yang menjangkau kira-kira RM 4.4 billion itu kata Perdana Menteri, akan digunakan untuk meningkatkan tahap pengangkutan awam di negara ini. Beliau seterusnya menambah, jika projek kemudahan pengangkutan awam itu siap nanti, baki dari RM 4.4 billion itu akan digunakan untuk projek yang lain pula.
``Kita akan pulangkan balik kepada rakyat, gunakan wang ini untuk projek yang akan menelan kos agak banyak iaitu pengangkutan awam yang pada hari ini keadaannya tidak memuaskan hati sehingga menyusahkan rakyat dan memaksa mereka membeli kereta.
``Kalau ada pengangkutan awam cekap hari ini untuk digunakan oleh rakyat, ia akan menyenangkan serta memudahkan kita semua selain turut membantu dalam hal-hal berkaitan ekonomi,'' katanya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Utusan Malaysia, 1 Mac 2006.
Itu cerita 2 tahun lalu. Kini sudah penghujung bulan September 2008. Penulis nampak apa yang diutarakan Perdana Menteri pada 28 Februari 2006 itu tidak sampai objektifnya. Perdana Menteri berharap jika negara ini sudah mempunyai pengangkutan awam yang cekap, rakyat akan berasa senang melakukan urusan seharian sekaligus meningkatkan ekonomi negara.
Hakikatnya kini, tahap pengangkutan awam di Malaysia masih di takuk lama. Walaupun kerajaan menggantikan bas-bas lama dengan bas-bas baru, itu sebenarnya belum cukup untuk meredakan keresahan rakyat. Apa yang rakyat atau pengguna mahu, tahap perkhidmatan yang lebih efisyen dari pihak yang bertanggungjawab terhadap sistem pengangkutan di Kuala Lumpur. Penulis melihat dalam konteks Kuala Lumpur kerana penulis merupakan pengguna setia bas Rapid KL T632, T631, tren aliran Kelana Jaya, tren Aliran Sri Petaling, KL Monorail dan KTM Komuter.
Saban hari, penulis akan menunggu bas di Stesen Universiti untuk ke kelas, bersama-sama ratusan lagi pengguna yang ingin menuju ke destinasi masing-masing. Kadang-kala hampir sejam kami menunggu kehadiran bas di tengah panas. Berdozen pengguna yang ”menyampah” menunggu bas terpaksa menaiki teksi yang tambangnya berkali ganda dari tambang bas. Sudahlah basnya lambat, apabila tiba di stesen, pengguna dibiarkan berasak-asak di depan pintu bas sedangkan pemandunya masuk berehat di pondok Rapid KL di stesen terbabit.
Salah satu keadaan di mana pengguna terpaksa bersesak-sesak di dalam bas
Pengguna terpaksa menunggu lagi bagi ”membolehkan” pemandu bas berehat. Kita faham akan keletihan pemandu yang melayan kerenah pengguna. Apa yang patut dibuat ialah bilangan bas harus ditambah, perbanyakkan bas. Situasi sekarang, dalm masa 1 jam menunggu, belum tentu ada sebuah bas yang sampai. Hal ini terjadi kerana bilangan bas yang terlalu sedikit. Jika alasan kekurangan dana yang diberikan, ke manakah menghilangnya lebihan subsidi RM 4.4 billion pada 2006 itu. Takkanlah jumlah sebanyak itu habis dibelanjakan dalam masa 2 tahun sahaja?? Jika di negara-negara maju, bas akan tiba setiap 10 atau 15 minit. Pengguna tidak perlu menunggu lama. Pemandunya pula berhemah, sangat menghormati pengguna. Hal ini sangat-sangat berbeza dengan negara kita. Infrastruktur di negara ini bolehlah dikatakan canggih jika dibandingkan dengan negara-negara serantau tetapi tahap perkhidmatannya, mintak maaf cakap la, amat menyedihkan.
Keadaan yang sudah lama berlarutan ini diburukkan lagi dengan keputusan kerajaan menaikkan lagi harga minyak sebanyak 78 sen, kenaikan tertinggi harga minyak di dunia di sesebuah negara. Kenaikan mendadak ini sangat dikesali dalam keadaan di mana tahap perkhidmatan sistem pengangkutan awam terutamanya bas berada dalam keadaan yang sangat buruk. Rakyat bawahan yang semakin tersepit terpaksa berasak-asak menaiki bas dan LRT, lantaran ingin menjimatkan ”isi poket” yang kian kekeringan menjelang hujung bulan. Harga beras naik, harga gula naik, harga tol naik, semua naik, yang turunnya, hujan saja.
Apa lagi yang rakyat mampu lakukan, rakyat tiada pilihan. Jika harga minyak dinaikkan dengan tujuan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian dan dalam masa yang sama sistem pengangkutan awam berada pada tahap terbaik, sudah tentu kenaikan itu tidak menjadi bantahan yang berpanjangan. Ini tidak. Sudahnya, rakyat juga yang menjadi mangsa. Semuanya kerana peranan yang dimainkan oleh golongan atasan yang mungkin tidak pernah dan tidak mahu langsung mendengar keluh-kesah masyarakat bawahan. Apa yang mereka tahu dan tersemat dalam kamus pemikiran mereka ialah perkataan UNTUNG sahaja.
Ratusan bas di depoh Rapid KL Kuala Kubu Bharu yang hanya dibiarkan "mereput"
Penulis sebagai seorang pengguna pengangkutan awam berasa sangat kecewa dengan pihak bertanggungjawab terhadap pengangkutan awam di Kuala Lumpur lantaran tahap perkhidmatan yang amat menyedihkan. Penulis juga percaya perasaan ini turut dikongsi oleh beribu-ribu pengguna pengangkutan awam di seluruh negara. Bagaimana kita sebagai pengguna harus bertindak bagi mengubah keadaan ini. Perlukah kita mengadakan mogok besar-besaran membantah atau memprotes terhadap tahap perkhidmatan pengangkutan awam itu, seperti mana yang dilakukan di negara-negara luar.. ataupun penulis mengesyorkan kita berjalan kaki sahaja, boikot pengangkutan awam.. penulis telah melakukan dengan cara yang tersendiri, sebagai bantahan dan protes kepada bas T632 yang sering lewat tiba mengambil penumpang, penulis akan pulang berjalan kaki ke rumah dari kampus setiap malam..
No comments:
Post a Comment