Tuesday, September 16, 2008

SELAMAT HARI MALAYSIA KE-45

Assalamulaikum semua..

Sudah beberapa hari, jari jemari ini tidak bermain di keyboard komputer. Hari ini mengambil kesempatan masa senggang selepas Asar, penulis dapat juga mengirim satu lagi posting ke blog ini.


Pertamanya, SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE-45 kepada seluruh rakyat Malaysia di seluruh negara termasuk sahabat2 di Sabah Sarawak dan warga Malaysia yang bertebaran di seluruh pelusuk dunia. Sesungguhnya, hari ini merupakan ulangtahun yang ke 45 kepada satu detik bersejarah yang dicatat dalam lembaran sirah dunia dan negara ini tentunya akan sebuah penyatuan beberapa negeri dan wilayah sehingga terbentuknya Malaysia pada tanggal 16 September 1963. Signifikannya tetap ada, terutama apabila mengenangkan betapa gagasan sebuah negara baru yang bernama Malaysia itu ditentang hebat oleh negara-negara jiran seperti Brunei, Filipina dan Indonesia. Semua mehnah tersebut berjaya diharungi dengan tabah.


Malaysia kemudiannya digugat lagi dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Cabaran kedua ini diranduk dengan penuh bijaksana hasil kepimpinan Tun Haji Abdul Razak Hussien, Perdana Menteri Malaysia Kedua dengan penyusunan semula kaum dan usaha membasmi kemiskinan menerusi Dasar Ekonomi Baru. Pada akhir dekad 1990-an pula berlaku kemelesetan ekonomi dunia yang mengakibatkan ekonomi Malaysia hampir-hampir lumpuh sama sekali. Dengan kebijaksanaan pemimpin juga yang menolak bantuan 'along' IMF ketika itu, negara tercinta ini dapat pulih dengan sendirinya, keluar dari kepompong kelembapan ekonomi, membina semula negara yang hampir lumpuh. Malaysia turut melopongkan 'mulut' negara asing kerana pada ketika negara-negara jiran bergelut dengan kemelut ekonomi, negara ini dapat membina kekuatan sehinggalah Ratu Elizabeth selamat merasmikan Sukan Komanwel ke-16 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 1998.




10 tahun berlalu, tarikh 16 September tiba lagi pada hari ini. Wujud suara-suara ingin perubahan dalam negara. Inginkan reformasi segera dilakukan. Hampir separuh rakyat Malaysia inginkan pembaharuan dilakukan. Hal ini dizahirkan dalam bentuk undi pada 8 Mac 2008 apabila kira-kira 49 peratus pengundi TIDAK mengundi parti memerintah dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Tarikh 16 September sudah melewati waktu Asar kini, namun janji Ketua Pembangkang, DSAI untuk mengambil alih kerajaan belum nampak akan benar-benar terjadi dalam masa terdekat ini. Terbaru, DSAI memberi tempoh 2 minggu untuk berbincang dengan PM, Pak Lah.. Jika benar kerajaan akan bertukar pada tahun ini, harapan rakyat agar kerajaan baru nanti akan benar-benar membela nasib rakyat Malaysia.

Sudah 51 tahun rakyat Malaysia makan 'nasi' dari beras jenama yang sama. Memang rasa sedap, maklumlah dah 51 tahun asyik beras yang sama saja. Apalah salahnya jika tahun ini, rakyat Malaysia cuba makan 'nasi' dari beras jenama lain pulak, mana la tahu lagi sedap dari beras yang lama. Kalu sedap kita kekalkan, kalau tak sedap kita makan la beras yang lama semula.. tak susah kan???

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.....

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...