Thursday, September 25, 2008

MINYAK OH MINYAK...

Assalamualaikum w.b.t..

Semalam Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga bahan api sebanyak 10 sen berkuatkuasa hari ini. Ini menjadikan harga terbaru petrol di pasaran ialah RM2.45 seliter bagi RON 97 dan RM2.30 seliter bagi RON92. Pada masa sama, harga runcit diesel juga dikurangkan 10 sen iaitu daripada RM2.50 seliter kepada RM2.40 seliter. (Syukur alhamdulliah)
Ini merupakan kali kedua kerajaan menurunkan harga minyak selepas pertama kali harganya diturunkan sebanyak 15 sen pada 23 Ogos lalu. Pada hemat penulis, penurunan sebanyak 25 sen ini tidak memberi kesan secara langsung kepada pengguna dan masyarakat bawahan. Apa yang kita perhatikan pada 23 Ogos lalu, walaupun harga minyak telah turun sebanyak 15 sen, semua barangan di pasaran masih kekal pada harga Jun 2008 bilamana kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen.

Jika seorang kakitangan kerajaan yang gaji RM2000 masih mengerut dahi memikirkan kos sara hidup anak bini, bagaimana dengan Pak Mat penoreh getah di pedalaman Felda yang mempunyai 3 hingga 4 orang anak bersekolah. Kerajaan beri bonus pada kakitangan awam, kononnya untuk meringankan beban, habis Pak Mat tadi dapat bonus kah?? Walaupun benar kos sara hidup di kampung lebih rendah, namun harga barangan di kampung lebih mahal di bandar. Lebih teruk lagi kepada sahabat kita di kawasan terpencil seperti di Ulu Rajang, Sarawak. Bagaimanakah nasib mereka???
Menyorot selayang pandang kepada sejarah, pada 5 Jun 2008 , kerajaan telah menaikkan harga minyak secara besar-besaran sebanyak RM 0.78 untuk petrol dan RM 1.00 untuk diesel. Pada ketika itu harga minyak bagi negara-negara Opec adalah pada kadar 118.75 setong. Semalam kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen selepas penurunan mendadak harga minyak di pasaran dunia, iaitu sekitar AS$ 109 setong. Pada 19 September 2008 pula harga minyak turun pada paras AS$ 88.53 setong sebelum harga meningkat naik sehingga naik pada paras AS$ 109 setong.
Berbalik kepada isu utama, adakah penurunan harga sebanyak 25 sen dalam tempoh 3 bulan ini akan mampu membuatkan seluruh rakyat menguntum secebis senyuman. Berdasarkan reaksi yang penulis dengar-dengar dan lihat-lihat, nyatalah seluruh rakyat Malaysia menyambut dengan hambar pengumuman Perdana Menteri itu. Tiada langsung elemen "surprise" dalam setiap pengumuman yang dibuat Perdana Menteri. Rakyat mengharapkan minyak akan turun sekurang-kurangnya 30 sen. Rakan-rakan penulis sendiri membuat "prediction" bahawa harga minyak akan diturunkan lebih daripada 15 sen.

Tidakkah kerajaan menyedari bahawa dalam masa 3 bulan iaitu Jun hingga Ogos, inflasi telah meningkat dengan begitu mendadak iaitu 8.5 peratus, paras tertinggi sejak 1981 iaitu kira-kira 27 tahun yang lalu. Kos pengangkutan meningkat sebanyak 21.8 peratus dan kos makanan dan minuman meningkat sebanyak 11.7 peratus. Bagi rakyat bawahan, semua angka ini telah memberi tendangan padu yang menyakitkan ke perut mereka. Bagi mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pula, semua angka itu telah me"liang lahad"kan mereka lebih awal tanpa sempat dikapankan. Ish..Ish..Ish..
TIADA GENTAR, TIADA BERPIHAK

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...