Friday, September 5, 2008

PERGINYA INSAN BERJASA.

Assalamualaikum semua...
Malam semalam, penulis berkesempatan menonton Buletin Utama TV 3 di rumah sebaik selesai berbuka puasa di Masjid Ar-Rahman. Berita utama yang disampaikan pembaca berita mengejutkan penulis dan pasti seluruh negara turut merasai kesedihannya. Segenap masyarakat berkongsi kesedihan tatkala mengetahui Tokoh Wartawan Negara dan pejuang kemerdekaan, Datuk A.Samad Ismail telah kembali ke Rahmatullah pada jam 5.58 petang semalam.
Seperti mana ungkapan bercampur esak tangis Tan Sri Aishah Ghani ketika ditemuramah media, begitu jugalah suara hati rakyat Malaysia tatkala mengetahui Allahyarham dipanggil kembali ke pangkuan-Nya. Tokoh politik wanita itu menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tiada galang gantinya.
Umum mengetahui Allahyarham turut sama menyertai rombongan kemerdekaan bersama Tunku di London, berjuang menerusi tulisannya, pernah dipenjara beberapa lama dan seribu satu jerih payah dihadapinya demi agama, bangsa dan negara.
Pemergian Allahyarham ketika umat Islam baru 4 hari menunaikan ibadah puasa sesungguhnya satu rahmat yang diturunkan Allah kepadanya. Penulis merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kaum kerabat Allahyarham.. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.. AL-FATIHAH.
"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...