Thursday, October 9, 2008

MENANTI TIBANYA MAC 2009

Assalamualaikum wbt..

Lewat petang semalam, negara akhirnya mengetahui pendirian Presiden UMNO, Pak Lah yang akhirnya akur pada desakan umum untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan MT UMNO Mac tahun depan. Pendirian beliau itu sekaligus mengesahkan Najib bakal bergelar Presiden UMNO dan secara tradisinya Perdana Menteri baru selepas tarikh tersebut. Ini juga beerti Najib akan berhadapan dengan Ku Li untuk pertandingan jawatan Presiden nanti.

Putera raja dari Gua Musang itu sudah terlalu lama mengidamkan jawatan tertinggi parti sejak percubaan pertamanya pada tahun 1987. Najib juga menghadapi ancaman dari Naib Presiden paling berani, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sangat vokal mempersoalkan tempoh peralihan kuasa. Jawatan Timbalan Presiden juga menarik minat beberapa calon lain iaitu Datuk Dr.Zahid Hamidi, Datuk Mohd Ali Rustam dan Datuk Nur Jazlan Mohamad. Sebentar tadi seorang lagi calon menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua parti itu iaitu Tan Sri Muhammad Mohd.Taib.


Itu cerita di dalam UMNO. Di luar UMNO pula iaitu rakan-rakan parti dalam BN, ada suara yang lantang bergema mempersoalkan mengapa peralihan kuasa hanya dibincang dalam UMNO. Akur dengan suara itu, Pak Lah mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam yang menyaksikan keputusannya tidak mempertahankan jawatan. Bagi penulis, tindakan ini sedikit lambat berbanding tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang awal-awal lagi sudah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatannya. Pada hemat penulis, Presiden MCA itu sudah memahami isyarat masyarakat Cina yang semakin jauh dengan MCA seusai 8 Mac lalu. Inilah sebenarnya sikap pemimpin yang bertanggungjawab. Bukan hanya menunggu desakan kuat dan suara akar umbi yang lantang mempersoalkan kepimpinannya. Kira faham-faham sendirilah..


NASIB KHAIRY...

Adakah Khairy mampu menggantikan Hishammuddin..??

Penulis juga terfikir bagaimana nasib Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selepas Mac 2009. Terbaru, Pemuda UMNO Machang pula mencalonkan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan tahun depan. Ahli Parlimen Rembau itu akan menghadapi sekurang-kurangnya 3 calon lain iaitu Datuk Mukhriz Mahathir, Dato'Dr.Mohd.Khir Toyo dan Datuk Zahidi Zainul Abidin. Adakah Khairy akan tersungkur tika berdepan dengan generasi pewaris tokoh ulung negara seperti Mukhriz atau sekurang-kurangnya bersaing dengan bekas ketua kerajaan negeri paling maju di Malaysia, Dr.Khir Toyo.

Umum masih ingat bagaimana Khairy tiba-tiba dijulang sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO selepas pak mentuanya, Pak Lah dilantik sebagai PM pada 2003. Kita juga tak lupa bagaimana kontroversi kontrak-kontrak diberi kepada syarikat kroni Khairy seperti Patrick Lim. Tun Dr.Mahathir juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negara ini dinasihati oleh 'orang tingkat 4', iaitu orang-orang Khairy. Baru-baru ini, Khairy juga pernah menegaskan bahawa jawatannya ketika ini ialah hasil usahanya sendiri, bukannya tumpang tuah pak mentua. Tapi sebenarnya, tanggapan umum terhadap Khairy yang 'naik' begitu cepat kerana Pak Lah agak sukar ditepis.


Ia berlainan dengan legasi politik lainnya, seperti Najib dengan Tun Razak, Mukhriz dengan Mahathir, Hishammudin dengan Tun Hussien ataupun Hamid Albar dengan Jaafar Albar. Lebih-lebih lagi mereka ini semuanya anak dengan bapa kandung bukan menantu dengan pak mentua. Mahathir sendiri melarang anak-beranaknya terlibat aktif dengan politik sepanjang pemerintahannya. Apapun, penulis tak menafikan Khairy salah seorang tokoh politik muda yang tak kurang hebatnya. Kehadirannya yang disedari dan selalu diberi perhatian oleh kawan dan lawan sudah cukup membuktikan dirinya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng dalam politik negara.

5 BULAN LAGI..

Muhyiddin layak menjadi Presiden UMNO

Menanti tibanya Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009, semua pihak termasuk Pak Lah, Najib dan Muhyiddin masih mempunyai 5 bulan lagi untuk berbuat 'sesuatu'. Adakah Pak Lah akan memegang janjinya..??? Adakah Muhyiddin akan mempersoal lagi peralihan kuasa atau beliau akan bertanding jawatan Presiden..?? Adakah Pak Lah akan menyerah kerajaan kepada Pakatan Rakyat..?? Kemungkinan ini tetap ada kerana dalam politik, segala-galanya tidak mustahil..


LANGKAH ANWAR..

Senyuman Anwar yang penuh tersirat

Ramai juga rakan-rakan yang bertanyakan bagaimana dengan usaha Anwar bagi merealisasikan peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat. Penulis sendiri agak 'blurr' dengan perkara ini. Semuanya bertitik tolak dari kegagalan 916 (September 16). Ramai rakan-rakan penulis yang sebelum itu cukup bersemangat berbicara soal ini. Hari-hari berlumba-lumba membuka internet dan blog, mencari informasi terkini. Namun selepas kegagalan itu, terus terang mereka perkatakan kepada penulis, "Kami dah hilang semangat", sepotong ayat yang terpacul dari mulut seorang sahabat di Vista Angkasa.

Penulis yakin perubahan kerajaan di peringkat pusat pasti akan berlaku, cuma masa saja yang menentukannya. Dalam jangkamasa 5 bulan ini, bila-bila sahaja kita akan mendapat Perdana Menteri baru seandainya lebih 30 Ahli Parlimen BN masih berpendirian untuk melompat parti ke Pakatan Rakyat, atau, usul undi tidak percaya berjaya dibentang di Parlimen dalam sidangnya minggu depan.
Kami rakyat Malaysia menanti Perdana Menteri Malaysia baru yang berjuang demi agama, bangsa dan negara bukan Perdana Menteri demi kontrak, kroni, kekayaan dan kemewahan anak beranak dan menahantu (menantu)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...