Thursday, September 4, 2008

12 HARI LAGI...

Assalamualaikum semua..

Pasti semua tertanya-tanya apa yang akan berlaku 12 hari lagi.. 12 hari lagi merujuk kepada tarikh 16 September 2008. Berdasarkan sejarah, 16 September merupakan tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Pada tarikh yang sama juga, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaannya apabila bergabung dengan Malaysia pada tarikh berkenan. Kepada pemerhati yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, 16 September 2008 yang bertepatan dengan ulangtahun penubuhan Malaysia dan kemerdekaan Sabah /Sarawak ke 45 bakal menjadi satu lagi detik penting tercatat dalam lembaran sejarah negara.

16 September 2008 juga bakal menjadi medan perhitungan terbesar dalam sejarah politik negara. Semua pihak kini sedang menghitung hari, mengira masa dalam perjalanan yang disifatkan Ketua Pembangkang, Dato'Seri Anwar Ibrahim, sebagai perjalanan Menuju Putrajaya. Penulis melihat semenjak 9 Mac lepas lagi, iaitu kira-kira 5 bulan lalu, DSAI sangat konsisten mengatakan 16 September 2008 pasti berlaku pertukaran kerajaan di peringkat pusat. Selama 5 bulan ini juga, seluruh pimpinan UMNO dan BN menafikan sekeras-kerasnya mengenai ada Ahli Parlimen (MP) BN akan melompat parti ke Pakatan Rakyat (PR).

Umum mengetahui pada ketika ini, BN mempunyai 140 MP, PR mempunyai 81 MP dan 1 MP merupakan MP Bebas iaitu Dato'Ibrahim Ali. BN mempunyai kelebihan 58 kerusi berbanding PR. Untuk menyaksikan berlaku pertukaran kerajaan pusat, PR memerlukan sekurang-kurangnya 30 MP BN untuk melompat kepadanya. Jika ini benar-benar berlaku, pembahagian kerusinya ialah BN - 110 kerusi, PR - 111 kerusi, Bebas - 1 kerusi. Ini bererti pihak pembangkang mempunyai kelebihan 2 kerusi. Situasi ini membolehkan buat pertama kalinya selepas 51 tahun, rakyat Malaysia dan seluruh dunia dapat melihat pakatan pembangkang iaitu PKR-DAP-PAS-Bebas akan menjadi kerajaan Malaysia yang baru, UMNO-BN akan menjadi pembangkang di Parlimen, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Ketua Pembangkang dan Tun.Dr.Mahathir lari ke luar negara (ni bukan saya cakap, Tun sendiri yg cakap)

<-(Gambar Fail- Pak Lah dan DSAI)

Kini tinggal 12 hari lagi, seluruh lapisan masyarakat, dari pemimpin politik atasan hingga pesawah padi dan penoreh getah, di cafe hotel 5 bintang hingga di kedai kopi hujung kampung, semuanya berbicara mengenai tarikh keramat ini. Sekitar sebulan dua pasca PRU-12 Mac lalu, ramai penganalisis politik yang beranggapan bahawa agak sukar berlakunya pertukaran kerajaan berikutan DSAI ketika itu masih belum menjadi MP walaupun dalam masa yang sama ramai MP dari Sabah dan Sarawak yang meluahkan kekecewaan mereka secara terbuka dalam Parlimen mengenai layanan kerajaan pusat kepada Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Nada suara mereka yang mempersoalkan kemampuan PR mengambil alih kerajaan September ini pula tiba-tiba berubah pasca 26 Ogos lalu. Kemampuan DSAI meningkatkan majoriti dalam PRK Permatang Pauh sebanyak hampir 1,000 undi berbanding undi yang diperoleh isterinya, DSWA pada PRU-12 memberi isyarat jelas kemahuan rakyat yang mahukan perubahan segera. Semua pemimpin UMNO yang tebal muka akibat kekalahan memalukan dengan majoriti 15,195 undi itu masih belum menyedari isyarat rakyat. Hanya seorang daripada mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin, Naib Presiden UMNO yang mahukan UMNO melakukan post mortem terhadap kekalahan mereka. Muhyiddin beranggapan kekalahan itu merupakan perkara serius kerana beliau risaukan trend penolakan BN oleh pengundi akan berlaku di kawasan lain pula.

Seusai DSAI secara rasmi bergelar MP Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang pada 28 Ogos lalu, ramai penganalisis politik yang mengatakan perubahan kerajaan pusat TIDAK MUSTAHIL akan berlaku. Keyakinan masyarakat terhadap DSAI kian bertambah hari demi hari. Dalam berita arus perdana, TV dan media sudah tidak mendendangkan lagi lagu "Saiful Kena Liwat" atau lagu "Mari Bersumpah", kerana dipercayai kedua-dua lagu itu sudah kurang mendapat undian SMS penonton, menyebabkan kedudukannya dalam carta lagu jatuh merudum. Masyarakat tidak percaya langsung pada tuduhan yang dikenakan ke atas DSAI. Permatang Pauh membuktikannya.

Hari ini pula kerajaan mengumumkan harga minyak mungkin turun lagi, setakat hari ini, sudah 2 kali kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak. Bukankah ini mengiyakan kata-kata dan hujah DSAI dalam Debat Harga Minyak dengan Dato'Ahmad Shabery Cheek. DSAI dalam program itu berkata harga minyak tidak akan berterusan naik, ia akan berhenti pada satu takat harga dan cenderung akan turun selepas itu. Kata-kata DSAI dibuktikan oleh kerajaan sendiri pada hari ini. Kerana itulah, DSAI berani berjanji menurunkan harga minyak sehingga 50 sen sebagai langkah awal.

Penulis teringat pada kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak kira-kira 6 bulan lalu, sebelum PRU-12. Beliau mengulas hasrat DSAI dan manifesto PKR yang berjanji untuk menurunkan harga minyak jika dapat memerintah negara. Timbalan Presiden UMNO itu berkata negara akan bangkrap jika harga minyak diturunkan. Penulis beranggapan dalam situasi harga minyak hari ini, Dato'Najib pun pasti tersenyum ketika ini apabila membaca kembali muka depan Utusan Malaysia yang tertulis "NEGARA AKAN BANGKRAP-NAJIB"

12 hari lagi juga menjanjikan percaturan bijak oleh kedua-dua pihak. BN dan PR masing-masing memasang strategi terbaik memancing MP-MP terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Mengikut berita yang tersebar luas di internet kini, terdapat 43 MP sudah bersedia melakukan penghijrahan besar-besaran pada 16 September ini. Penulis terfikir patutlah semalam Pak Lah dan rombongan buat program berbuka puasa di Malaysia Timur. Mungkin saja Pak Lah mahu memantau pergerakan MP-MP Sabah/Sarawak tetapi Pak Lah kan seorang Perdana Menteri, apa yang salahnya berbuka puasa dengan rakyat. Risau Pak Lah tetap ada sebenarnya.

Dalam masa 12 hari lagi jika benarlah 43 MP akan berhijrah ke PR, maka kerajaan akan bertukar pada 16 September. Perdana Menteri Malaysia yang baru akan ditabalkan. Selamat berjuang pejuang rakyat..


BERJUANGLAH UNTUK RAKYAT, RAKYAT PASTI MEMBANTU ANDA..

1 comment:

Anonymous said...

Bleh caye ke..

16 September ni kalo tak jadi, hehe malu wooo...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...