Wednesday, September 10, 2008

ISU PERKAUMAN : GERAKAN, MCA, MIC, PPP PERLU SERTAI PAKATAN RAKYAT

Assalamualaikum semua..






Beberapa hari ini, media di Malaysia sedang memfokuskan mengenai kenyataan kononnya berbaur perkauman oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail. Media melaporkan bahawa pemimpin tersebut menyatakan kaum Cina di Malaysia ialah penduduk yang menumpang di negara ini. Kenyataannya itu diucapkan dalam satu majlis ketika berkempen di pilihanraya kecil Permatang Pauh. Sejurus kemudiannya, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon mendesak Datuk Ahmad memohon maaf atas kenyataan itu yang disifatkannya sebagai menyinggung perasaan kaum Cina di negara ini.

Kemudiannya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan bahawa pendirian Ketua UMNO Bukit Bendera itu bukan dasar parti UMNO tetapi pendirian peribadi Datuk Ahmad. Selanjutnya, Najib memohon maaf bagi pihak parti di atas kenyataan Datuk Ahmad itu. Dr.Koh pula kemudiannya menerima permohonan maaf itu tetapi beliau menambah adalah lebih baik dan lebih manis sekiranya Datuk Ahmad sendiri yang membuat permohonan maaf itu. Sebagai respon kepada kenyataan Dr.Koh, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta agar Ketua UMNO Bukit Bendera memohon maaf kepada kaum Cina di Malaysia atas kenyataan berbaur perkaumannya. Tetapi, selepas itu keadaan bukannya semakin baik malah semakin buruk.

Reputasi Pak Lah sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang tercemar teruk ekoran Tsunami 8 Mac semakin rosak apabila kesemua 11 Ketua Bahagian UMNO di Pulau Pinang menyokong pendirian Datuk Ahmad Ismail yang TIDAK akan memohon maaf atas kenyataannya. Gerakan pula telah memutuskan perhubungan dengan UMNO Pulau Pinang yang mana Ketua Perhubungannya ialah Pak Lah sendiri. Datuk Ahmad dilaporkan berkata yang 'kecoh-kecoh' ialah pihak media dan yang membakar hati orang Melayu dengan isu perkauman itu ialah Gerakan. Beliau menyalahkan pihak media yang dikatakan memanipulasikan isu ini sehingga menimbulkan kemarahan kaum Cina.

Kemudian terdapat pula penyokong-penyokong Datuk Ahmad dikatakan mengoyak dan memijak-mijak gambar Pemangku Presiden Gerakan. Tindakan biadap itu bagaimanapun mendapat reaksi segera dari Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe. Dalam satu sidang media, beliau mengecam tindakan ahli UMNO mengoyak gambar Dr.Koh dan menyifatkan tindakan itu sebagai biadap dan terkutuk. Seterusnya beliau mengajukan pertanyaan kepada semua ahli UMNO, apakah perasaan ahli-ahli UMNO sekiranya gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikoyak dan dipijak-pijak. Sudah tentu ahli UMNO akan mengamuk dan melenting. Jadi begitulah juga perasaan ahli Gerakan apabila gambar pemimpin tertinggi mereka dikoyak. Tindakan Datuk Ahmad Ismail itu juga mendapat reaksi dari Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mencadangkan agar gelaran Datuk yang diberi oleh kerajaan negeri pimpinan BN dulu ditarik balik. Pemuda Gerakan pula berkali-kali mendesak agar parti itu perlu keluar dari BN. Pemuda MCA juga berpendapat demikian.

Semua rentetan peristiwa ini berakhir lewat petang semalam apabila Majlis Tertinggi UMNO mengambil keputusan menggantung keahlian Datuk Ahmad Ismail selama 3 tahun berkuatkuasa serta merta. "Sudah tersurat sejak azali lagi", kata Datuk Ahmad ketika ditanya pemberita mengenai reaksinya. Namun satu perkara yang penulis ingin persoalkan ialah mengapa apabila bersabit dengan isu yang dicetuskan oleh pemimpin UMNO, perkara itu perlu dibawa ke jawatankuasa disiplin UMNO, bukan kepada Kementerian Dalam Negeri, tidak didakwa di bawah Akta Hasutan atau ISA. Adakah kerana ini berkenaan hal ehwal orang Melayu. Kalau benar begitu, kita perlu persoalkan UMNO sahajakah yang Melayu, PAS dan PKR juga Melayu.. Ini sudah menjadi DOUBLE STANDARD.. Jika kesalahan dari pembangkang, dirujuk ke ISA, jika kesalahan dari pemimpin kerajaan, dirujuk ke Jawatankuasa Disiplin UMNO, atau MCA atau MIC.. Banyak cantik.!!! Nampaknya pemimpin2 ni sendiri pun tak dapat bezakan antara parti dengan kerajaan...

Jika kita fikirkan sejenak, semua isu-isu berbangkit ketika ini tidak disuarakan sebelum 8 Mac. Kerajaan pemerintah BN ini hanya mula membangkitkan isu ketuanan Melayu, isu perkongsian kuasa, isu perkauman, isu sensitiviti agama dan isu agama Islam apabila mereka mula kehilangan kuasa. Setelah Tsunami 8 Mac membadai Semenanjung Malaysia, 4 negeri yang sebelum ini diperintah BN tumbang kepada pembangkang. Ketika inilah, isu perkauman mula dilagukan oleh UMNO Pulau Pinang. Mereka berdemonstrasi kononnya negeri ini akan tergadai di tangan Cina apabila hampir kesemua kerusi DUN dimenangi DAP.


Yang melucukan, apakah pimpinan UMNO Pulau Pinang tidak menyedari bahawa selama bertahun-tahun sebelum itu, Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan, Ketua Menterinya ialah seorang Cina yang bernama Koh Tsu Koon dan Timbalan Ketua Menterinya seorang Melayu Islam bernama Abdul Rashid Abdullah. Selepas 8 Mac pun sama, cuma Pulau Pinang diperintah oleh DAP, Ketua Menterinya seorang Cina bernama Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menterinya seorang Melayu Islam bernama Mohd.Fairus Khairuddin. Bezanya cuma dahulu BN sekarang PR. Lebih menarik lagi di Pulau Pinang ada 2 'orang besar' dalam Parlimen. Di Parlimen Kepala Batas ada Ketua Kerajaan dan di 'rumah' sebelahnya iaitu di Parlimen Permatang Pauh ada Ketua Pembangkang.

Seusai Tsunami 8 Mac, politik perkauman sudah menjadi sejarah kepada penduduk Malaysia. Lama dahulu, Melayu hanya mengundi UMNO @ PAS, Cina hanya mengundi MCA @ DAP @ Gerakan dan India hanya mengundi MIC @ DAP. Sekarang masyarakat Malaysia sudah tidak takut lagi kepada politik perkauman. Yang paling jelas ialah dalam Pakatan Rakyat. Dalam PAS, ada Melayu seperti Hadi Awang, Nik Aziz, Husam Musa, juga ada Cina seperti Anuar Tan, Hu Pang Chow dan juga kaum India seperti Kumutha yang menjadi calon atas tiket PAS dalam PRU lalu. Dalam PKR pula lebih jelas, ada Melayu seperti Anwar Ibrahim , Azmin Ali, Saifudin Nasution, ada Cina seperti Tian Chua, William Leong, Sim Tze Zin dan ada India seperti N.Gobalakrishan, Manikavasagam dan ramai lagi. Dalam DAP juga kini sudah ada Melayu seperti Tunku Aziz yang serta merta dilantik Naib Presiden DAP, ada India seperti M.Kulasegaran, ada Sikh seperti Karpal Singh dan ada Cina seperti Lim Kit Siang, Guan Eng.

Bagaimana pula dengan BN..? UMNO hanya orang Melayu, MCA hanya orang Cina dan MIC hanya untuk orang India. Terdapat sekurang-kurangnya 2 parti komponen BN yang multi-racial iaitu Gerakan dan PPP. Gerakan mempunyai keahlian Cina dan India. Baru-baru ini, sekali lagi tembok perkauman dipecahkan apabila buat pertama kali dalam sejarah parti majoriti Cina seperti Gerakan, seorang India iaitu Senator A.Kohilan Pillay telah dipilih sebagai Pengerusi Gerakan Selangor. Ini menunjukkan politik perkauman telah terhapus di negara ini. PPP pula bukan sahaja mempunyai ahli Melayu bahkan Timbalan Presiden PPP sendiri seorang Melayu-Islam iaitu Nik Sapiea Nik Ahmad.

Sepatutnya sebaik sahaja berakhirnya PRU lalu, Gerakan dan PPP yang hilang banyak kerusi Parlimen dan DUN harus keluar sahaja dari BN. Ramai pemimpin dari Gerakan, MCA bahkan UMNO sendiri yang bertindak keluar parti dan menyertai PR. Tindakan ini diikuti oleh ahli parti dan penyokong masing-masing. Bekas Naib Ketua Wanita MCA, Dr.Tan Yee Kew umpamanya isytihar sertai PKR bersama-sama 11 000 penyokongnya. Bekas S/U Parlimen Kementerian Kesihatan, Dr.Lee Kah Choon keluar dari Gerakan dan menyertai DAP dan menjawat jawatan di anak syarikat negeri Pulau Pinang. Bekas Timb.Menteri di JPM, Datuk Fauzi Abdul Rahman isytihar keluar UMNO dan menyertai PKR. Di seluruh negara, berbondong-bondong ahli UMNO, MCA dan MIC isytihar keluar parti dan menyertai PR.

Mengikut kajian yang dijalankan selepas PRK Permatang Pauh, 6 orang dari setiap 10 orang Melayu, 7 orang dari setiap 10 orang India dan 8 orang dari setiap 10 orang Cina akan mengundi selain dari BN. Jadi parti-parti majoriti kaum Cina dan India harus mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan parti mereka. Tekad dan aspirasi pemimpin sekarang kononnya untuk memulihkan parti dan ingin meraih kembali sokongan tidak akan berjaya kerana jiwa dan persepsi masyarakat telah berubah. Rakyat telah memberi isyarat dalam Tsunami 8 Mac dan Tsunami 28 Ogos tetapi berapa ramai dari pemimpin BN yang sedar. MCA dan Gerakan mahu tidak mahu harus isytihar keluar BN dan menyertai PR. Seperti mana pesan Angkatan Muda Keadilan kepada Gerakan supaya "jangan tertinggal kapal" kerana "kapal" akan berlabuh beberapa hari lagi
Jika pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan sayangkan UMNO-BN dan tidak memikirkan kelangsungan parti, maka kekallah dalam BN dan nantikan Mega Tsunami pada 2012 nanti. Sebaliknya jika sayangkan parti dan ahli, MCA dan Gerakan harus keluar dari BN dan sertai PR. Ahli2 sudah memberi isyarat, mereka tidak mahu lagi BN. Mereka bukan tidak setia kepada MCA tetapi mereka tidak bersetuju tentang dasar-dasar BN itu sendiri. Sudah berapa kali pemimpin2 UMNO melukakan dan merobek kembali luka di hati kaum-kaum lain. Sudah banyak kali.Penulis sebagai seorang Melayu-Islam langsung tidak dapat menerima perlakuan biadap seperti mengoyak gambar pemimpin sesebuah parti. Mengapa kita perlu berbalah dalam isu kaum, bahasa, agama dan sebagainya. Negara ini negara berperlembagaan dan perlembagaan telah menjamin perkara2 yang sensitif itu. Apa salahnya kita bersama-sam berganding bahu memajukan negara tanpa sibuk berbalah mengenai isu2 sensitif ini.

Dalam banyak2 parti politik di negara ini, UMNO adalah parti yang paling banyak kontroversi sejak penubuhannya pada tahun 1946, kematiannya pada 1987 dan dihidupkan semula pada tahun 1988 dan hingga ke hari ini yang usianya sudah 62 tahun. Sudah terlalu banyak kaum2 lain makan hati dengan UMNO. Sewajarnya, jika MCA, Gerakan, PPP dan MIC mahu mengembalikan sokongan rakyat kepadanya, hanya terdapat satu sahaja caranya. Mereka perlu KELUAR dari BN dan menyertai PR kerana majoriti kaum Cina dan India sudah beralih arah kepada pakatan pembangkang.

50 tahun UMNO-BN memerintah, isu perkauman, perpaduan, keamanan dan kestabilan kaum masih belum berjaya ditangani. Kemiskinan masih ada, kroni untung berjuta-juta, tender dan projek dikaut semua, penipuan dan rasuah bermaharajalela, kononnya pembangunan untuk semua, yang kaya kaum keluarga dia, rakyat bawahan hanya mampu terNGANGA...
"BERJUANGLAH UNTUK RAKYAT, RAKYAT PASTI MEMBANTU ANDA"

1 comment:

Anonymous said...

mu nie asyik politik x abis2
jgn taksub sgt.......

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...