Thursday, November 20, 2008

ISU MATAU : SATU CATATAN DARI UNIVERSITI MALAYA

Assalamualaikum w.b.t..

Tidak berapa lama dahulu, penulis ada melawat seorang sahabat, Sdr.Ahmad Tarmizi Mat Din (bekas Presiden GAMIS) bersama Ust.Mohd.Nasaie Ismail ketika tercetusnya isu perobohan setinggan Kg.Berembang. Tarmizi ketika itu baru sahaja dibebaskan dari tahanan polis selepas beliau terlibat kononnya menghalang pihak berkuasa merobohkan setinggan tersebut.


Berdasarkan cerita beliau kepada kami, turut bersama di Kg.Berembang ketika itu ialah Ketua Pemuda PAS, Haji Salahudin Ayub dan beberapa aktivis pelajar dari UIA, UKM dan UM beserta penduduk kampung mempertahankan kampung mereka dari dirobohkan.


Tidak berapa lama selepas itu, timbul satu persatu peristiwa perobohan setinggan. Bagaikan satu episod cerita yang sama, setinggan-setinggan ini telah diduduki selama lebih dari 30 tahun dan setiap tahun diberi lesen TOL (lesen menduduki sementara). Apabila tiba musim pilihanraya, kerajaan ditunjangi BN akan terhegeh-hegeh mengeluarkan borang permohonan hak milik tanah dan apabila calon bertanding menang, borang tadi tiba-tiba "hilang" dalam simpanan.


Episod cerita inilah yang berlaku kepada perobohan setinggan Kg.Rimba Jaya, Kg.Plentong dan banyak lagi kes yang sama berlaku di seluruh negara. Baru-baru ini, isu perobohan setinggan ini bergema lagi namun kini ia berlaku di kampung halaman penulis sendiri di Bandar Jengka.

Penghuni setinggan atau disebut Matau oleh penduduk setempat terletak di Jalan Besar ke Bandar Jengka diberi tempoh sehingga April 2009 untuk mengosongkan rumah dan premis mereka yang telah diduduki sejak 40 tahun lalu. Tidak kira arahan ini dipatuhi atau tidak, nasib setinggan Matau akan berakhir sama sahaja seperti episod cerita setinggan Kg.Berembang dan Kg.Rimba Jaya.


Penulis berharap kerajaan negeri dan Majlis Daerah Maran agar mencari jalan penyelesaian yang paling efektif dalam menangani masalah ini. Cukuplah penderitaan yang dialami oleh setinggan yang lain. Di Kg.Berembang contohnya, masih ada penghuninya yang tinggal di dalam pondok yang diperbuat dari kotak-kotak, plastik, dan puing-puing yang tinggal di atas tapak rumah asal mereka.


Peranan berkesan juga perlu dimainkan oleh ADUN Jengka, YB Wan Salman Wan Ismail dan Ahli Parlimen Kuala Krau, YB Tuan Haji Ismail Mohd.Said. Bangkitkan isu ini di DUN Pahang dan Dewan Rakyat. Wakil rakyat perlu membawa suara rakyat, tanpa mengira apa pegangan atau fahaman politik mereka.


"...Masalah utama penduduk Matau ialah penempatan sementara (TOL). Pihak berkuasa mempertikaikan kerana keadaan pekan itu tidak tersusun dan mencacatkan pemandangan. Masalahnya, bagaimana penduduk terbabit mahu membina premis yang tersusun dan elok. Kenapa kerajaan tidak memberikan sahaja "Geran" kepada mereka?. Bukankah dengan adanya geran, mereka boleh membina premis yang lebih baik dan tersusun..."


Dato'Hj.Tuan Ibrahim Tuan Man,
Pesuruhjaya PAS Pahang.



BACA LAGI DI :



1 comment:

Anonymous said...

nak tanya penduduk matau 100 anak pahang jati ke...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...