Assalamualaikum w.b.t..
Khutbah Jumaat di Masjid Ar Rahman hari ini membawa tajuk "Tenggelam Punca". Khutbah disampaikan oleh Imam Besar masjid berkenaan, Imam Khalid Isa yang antara intipatinya ialah berkenaan ancaman menularnya ajaran sesat di negara ini..
Perkampungan Ayah Pin di Terengganu.
Islam adalah satu agama yang benar. Ia suci, lengkap dan penuh kesempurnaan serta sesuai sepanjang zaman. Kedatangan agama Islam juga membawa manusia ke jalan selamat yang diredhai Allah s.w.t kerana Islam itu sendiri ialah satu-satunya agama yang diredhai Allah s.w.t.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 85 yang bermaksud :
"...Dan barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka tidak sama sekali akan diterima (oleh Allah) daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi..."
Sejak dahulu lagi, kemunculan ajaran sesat telah membimbangkan masyarakat Islam di seluruh dunia. Penganut ajaran sesat ini seringkali menuduh orang beriman sebagai kafir dan sesat padahal merekalah yang sesat sebenarnya. Semua ini merupakan pengajaran dari sirah baginda Rasulullah s.a.w bilamana baginda menyeru ajaran Islam sebagai satu ajaran yang benar kepada kaum kafir Quraisy. Kaum kafir itu pula menuduh baginda sebagai pembawa ajaran baru dan sesat, padahal merekalah yang sesat.
Dalam pada itu, otak penulis juga ligat memutar ingatan bilamana melihat rakaman rancangan Edisi Siasat NTV7 yang menyiarkan tentang ajaran sesat Rasul Melayu satu ketika dulu. Pengasas ajaran itu, Abdul Kahar Ahmad Jalal, (gambar kiri) diangkat sebagai rasul dan nabi bagi seluruh umat Melayu di nusantara oleh pengikutnya. Pengikutnya memperlekehkan orang lain yang tidak mahu mengikut ajaran Kahar Ahmad seperti mereka. Situasi ini sama sahaja seperti zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulu. Inilah sebenarnya salah satu bukti bahawa Islam itu sesuai sepanjang zaman. Kisah Nabi s.a.w itu menjadi pengajaran dan tauladan kepada umat Islam sampai ke hari ini.
Allah s.w.t juga mengingatkan manusia tentang golongan sesat ini dalam Surah Al-Fatihah yang dibaca berulang kali oleh kita setiap hari. Terdapat dua golongan iaitu Yahudi dan Nasrani. Allah s.w.t murka kepada golongan Yahudi kerana menentang ajaran Islam dan Allah s.w.t murka kepada golongan Nasrani kerana mereka menyeleweng dari ajaran Islam. Umat Islam yang beriman perlu patuh kepada semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Allah s.w.t.
Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 36 yang bermaksud:"...Tiadalah lagi pilihan lain bagi orang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara/hukum (melainkan mereka hendaklah mematuhinya)..."
Ayah Pin bersama madu-madunya
Umat Islam juga harus berwaspada dengan pengaruh yang datang dari ajaran sesat kerana sebarang keraguan terhadap kesempurnaan Islam itu sebenarnya sengaja mengundang kepada kemurkaan Allah. Selepas kewafatan Nabi s.a.w, terdapat beberapa fahaman yang mencetuskan penyelewengan akidah dan penyebaran akidah yang karut seperti wujudnya Nabi palsu dan sebagainya.Fahaman atau ajaran sesat ini semestinya wujud di Asia seperti ajaran Qadiani oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani. (gambar bawah). Beliau mengaku kononnya menerima wahyu daripada Allah yang mengandungi perintah membatalkan amalan jihad dalam kalangan penganut Islam. Pihak penjajah British di India ketika itu yang menghadapi tentangan kuat dari pejuang Islam sangat mengalu-alukan ajaran ini yang memberi banyak keuntungan kepada mereka. Keadaan inilah yang perlu dihindar kerana ajaran sesat dan karut ini hanya membawa kepada kemurkaan Allah, pecah-belah masyarakat dan mengancam keselamatan awam.
Fenomena ini juga berlaku di Malaysia, sebagai contoh ajaran Bahai, ajaran Ahmadiah / Qadiani, ajaran Al-Arqam, ajaran Tarikat Abul Razak, ajaran Ayah Pin, ajaran Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, ajaran Rasul Melayu dan banyak lagi. Ajaran-ajaran ini bertentangan dengan hukum-hukum dari Al-Quran, sunnah, dan ahlil sunnah wal jamaah..
Hj.Ashaari Muhammad, pengasas Al-Arqam
Kesimpulannya, seluruh umat Islam perlu berhati-hati dengan ajaran sesat yang disebar dalam negara ini. Kita perlu lebih kuat dan gigih memperdalamkan ilmu agama dalam diri kita. Sedarlah bahawa Islam itu sudah cukup sempurna dan tidak perlu kepada sebarang penambahan atau pengurangan. Segala urusan hendaklah berpandukan kepada Al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias iaitu sumber utama kepada masyarakat Islam. Jika kita sudah mendalami ajaran Islam dengan sebenar-benarnya, pengaruh dari ajaran sesat dan karut ini dapat ditangkis dengan begitu mudah. Wallahua'lam..
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 83 yang bermaksud :
"...Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan..."
p/s : Segala yang baik datang daripada Allah s.w.t, segala yang buruk datang dari kelemahan penulis sendiri. Jika terdapat sebarang kekhilalafan dalam entri ini, sila maklumkan.. Saya budak baru belajar..
No comments:
Post a Comment