Thursday, February 26, 2009

Bila Rakyat Tidak Gentar Bersuara, Menteri Jadi Takut

Assalamualaikum w.b.t..

Selamat bertemu kembali. Posting kali ini penulis titipkan sebagai respon kepada tiga perkara yang mungkin dianggap kecil tetapi besar impaknya di seluruh negara.


Pertamanya penulis kagum dengan ketegasan Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, tokoh bahasa berusia 76 tahun yang tanpa gentar meluahkan pendiriannya MEMBANTAH tindakan kerajaan meneruskan dasar PPSMI yang dimulakan sejak 6 tahun lalu. Malah beliau sanggup hilang gelaran "Sasterawan Negara" yang dianugerahkan kepadanya jika kerajaan masih berdegil dan angkuh untuk meneruskan dasar berkenaan.


"..Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong,..." katanya.

Keduanya, rasa teruja penulis apabila Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mendapat pula sokongan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) apabila Pengerusinya, Prof.Madya Datuk Mohamad Ali Hassan menyatakan sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"...Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram. "Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.


Ketiganya, mengenai keangkuhan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussin yang menolak pelawaan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk berdebat berkenaan isu PPSMI. Penulis menganggap kenyataan beliau ini kerana takut akan suara rakyat bawahan yang sudah mula bersuara.

"...Jemputan kepada mereka untuk ke persidangan meja-meja bulat telahpun dipanjangkan. Kalau tak salah saya pihak PAS pun hadir sama. "Jadi debat untuk apa. Bagi saya dalam konteks dah sampai ke peringkat akhir rumusan kita, panjangkan padangan-pandangan mereka supaya diambilkira.

"Lainlah kalau nak cari publisiti, nak cari populariti, tapi hal-hal berhubungkait dengan masa depan anak kita, nak debatkan suatu yang telah difikirkan oleh kementerian untuk diubahsuai, saya rasa tidak sesuai," katanya.

Tidakkah boleh Ketua Pemuda UMNO ini mencontohi sikap Naibnya, YB Khairy Jamaluddin yang lebih "berjiwa besar", menerima dengan baik pelawaan ikhlas Pemuda PAS. Datuk Hishammuddin suruh Pemuda PAS panjangkan pandangan-pandangan mereka. Bukankah dalam debat itu nanti pandangan-pandangan itu boleh dipanjangkan, didebatkan malah dihujah dan diperhaluskan lagi. Sekurang-kurangnya, perbezaan pendapat itu dapat menjana idea dan pendekatan baru dalam mengatasi kemelut ini.

Pada pandangan penulis selaku seorang warga yang bebas bersuara, penolakan Menteri Pelajaran untuk berdebat adalah sifat penakut yang tidak mahu, tidak berani berhadapan dengan rakyat bawahan yang membantah PPSMI. Penulis bersetuju dengan pandangan Datuk Ali Hassan bahawa
penduduk negara ini tidak lagi khuatir untuk berdemonstrasi, seperti yang diamalkan di negara-negara maju lainnya di mana demonstrasi dibenarkan sebagai satu tuntutan hak kebebasan bersuara dalam amalan negara demokrasi.

Jika pada 10 November 2007 lalu, PM Pak Lah dengan tegas berkata, "..Saya Pantang Dicabar..!", 7 Mac 2009 nanti, sama-samalah kita lihat, siapa yang PANTANG DICABAR..!!!!


p/s : Himpunan 100,000 Rakyat Mansuhkan PPSMI akan diadakan pada 7 Mac 2009 di Istana Negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...